TEPAT. TELUS. TERKINI.

Sultan Muhammad Jiwa II Kedah (1710-1778): Pembangun Hukum Ketatanegaraan Kedah (Bhg 2)


oleh: Tun Suzana Tun Hj Othman

Tidak keterlaluan jika dikatakan, bahawa kehebatan Sultan Muhammad Jiwa, adalah sebaris dengan Sultan-sultan Melaka dan Sultan Iskandar Muda, Aceh, yang membangunkan empayar meluas serta undang-undang ketata negaraan atau kanun negeri masing-masing. Sebagai seorang Sultan, lagikan ulama baginda amat memberatkan muafakat dengan alim-ulama serta para pembesar negeri, khususnya apabila melibatkan urusan negeri yang rumit dan sulit.

Sahabat karib yang merupakan penasihat peribadi baginda sekaligus Mufti negeri Kedah, Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani (al-Mahdali) telah menasihati baginda memerintah menurut resam Bani Abbasiyah. Perkara ini dinukilkan di Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Berikut diringkaskan sebahagian daripada terjemahan peraturan-peraturan tersebut, khususnya terkait disiplin para Menteri-menteri;

Moga menjadi iktibar dan tauladan bagi para pentadbir tanah air tercinta

Nasihat Kepada Para Menteri

Sifat yang perlu ada pada menteri-menteri adalah sekurang-kurangnya 13 perkara.

Pertama;
Menteri-menteri haruslah patuh Syariah dan setia pada Rajanya supaya kelak menjadi tauladan kepada anak-anak buah dan rakyat jelata. Menteri-menteri haruslah bersyukur pada Allah dan menjunjung kasih kepada Rajanya

Fasal Pertama menyentuh kepentingan pengetahuan Agama Islam serta keluhuran budi menteri-menteri:

i) Menteri-menteri haruslah patuh Syariah dan setia pada Rajanya supaya kelak menjadi tauladan kepada anak-anak buah dan rakyat jelata.
ii) Menteri-menteri haruslah bersyukur pada Allah atas nikmat kurniaan Allah atasnya dan menjunjung kasih kepada Rajanya

Kedua:
Hendaklah menteri-menteri itu berbicara tiap-tiap hari mengenai suatu pekerjaan yang sebenarnya boleh menghasilkan harta menggantikan yang telah dikeluarkan dan jangan keluarkan wang dari perbendaharaan untuk perbelanjaan yang sia-sia

Fasal Kedua menyentuh kepentingan ekonomi negara
i) Menteri-menteri harus mempunyai disiplin ekonomi yang kuat.
ii) Menteri-menteri harus menambah hasil negara supaya Perbendaharaan tidak susut malah bertambah hasilnya.
iii) Menteri-menteri harus berhemah dalam mengeluarkan belanjawan dan mengelakkan pembaziran.

Ketiga:
Hendaklah menteri-menteri itu benar-benar menjaga hukum-hukum Raja supaya jangan bersalahan dengan hukum-hukum Allah dan adat yang diadatkan dalam undang-undang negeri.

Fasal Ketiga menyentuh kepatuhan Undang-undang:
Menteri-menteri harus patuh kepada Kerajaan Duli yang di-Pertuan sebagai Ketua Negara dan Raja yang berdaulat, memelihara undang-negara dan memastikan ia dibingkai di dalam Hukum Syariah dan Hukum Adat Negeri

Keempat:
Hendaklah menteri-menteri itu melihat bahawa orang di bawahnya yang mengerjakan pekerjaan bid’ah yang bersalahan dengan Hukum Syarak atau Adat dan hendaklah dengan sedaya upayanya supaya terbuang perbuatan yang salah itu dan keadaan ‘aib segala raja-raja dan menteri-menteri. Jika dibiarkan perkara itu berlaku, akan terjadi kecelakaanlah negeri itu.

Fasal Keempat menyentuh perkara Amar Makruf Nahi Mungkar:
i) Menteri-menteri adalah bertanggung jawab memastikan anak buah atau rakyat jelata supaya tidak melanggar Hukum Syariah dan Hukum Adat Negeri.
ii) Menteri-menteri perlu menasihati atau mengenakan denda atau hukuman bersesuaian dengan kesalahannya. Rakyat yang tidak mengikut hukum itu mencemarkan imej serta nama baik pemerintah dan boleh mengundang bala dari Allah ke atas negeri.

Kelima:
Hendaklah menteri-menteri itu jangan sekali-kali menunjukkan kerasnya atas segala rakyat dengan membesar-besar diri, dan menteri-menteri itu tentukan harta Perbendaharaan yang belum masuk kedalam Perbendaharaan. Dan janganlah sesekali Menteri yang memegang khazanah itu cuba mengambil khazanah itu untuk pekerjaan sendiri. Apabila mengambilnya tiadalah ia dapat bersabar lagi kerana dunia ini tempat bala dan fitnah. Hendaklah menteri-menteri mengambil bicara atas hal segala hulubalang pahlawan dan juga lengkapkan mereka itu alat-alat senjata dan pakaian dan kenaikan kerana datangnya sesuatu bala dan fitnah itu tidaklah diketahui. Jika harta dihimpunkan manakala hulubalang pahlawan dan alat senjata itu semua tidak diambil bicara, dan apakala datang seteru itu dalam alpa maka jadi sia-sialah harta yang dihimpunkan itu.

Fasal Kelima ini menyentuh dua perkara;

Integriti Penjawat Awam:
i) Menteri-menteri diminta berlemah-lembut kepada rakyat dan mendengar keluhan mereka;
ii) Tidak membesarkan diri dan ego di hadapan rakyat;
iii)Jangan membuat tuntutan yang berlebih-lebihan semasa bertugas;
iv)Bagi Menteri yang memegang jawatan Menteri Kewangan, perlu menegah diri dari pecah amanah, perbuatan itu berdosa kerana melebihkan dunia dari akhirat;

Menteri Pertahanan:
Hendaklah Menteri mengambil berat akan hal-ehwal pertahanan. Perlu memastikan tentera negeri mempunyai kekuatan, kelengkapan, peralatan serta kesiap siagaan untuk menempuh apapun ancaman yang mungkin dihadapi negeri.

Keenam:
Hendaklah Menteri-menteri sentiasa menyuruh orang-orang yang diharapnya di dalam hal ehwal negeri supaya membawa khabar yang diketahuinya mengenai dari sebelah mana akan datangnya bahaya-bahaya dan bagaimana nak menolak bahaya tersebut

Fasal Keenam menyentuh fungsi Majlis Keselamatan Negara:
i) Majlis Keselamatan Negara perlu mendapat maklumat dari para perisik dan pakar-pakar bidang yang berada di dalam dan luar negeri.
ii) Majlis ini juga bertanggungjawab memberi maklumat mengenai ancaman-ancaman negara dan menasihati Raja akan tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan.

Ketujuh:
Hendaklah Menteri-menteri itu memeliharakan segala dagang dan fakir miskin yang timbul dari kejahatan orang yang berkuasa didalam negeri supaya Allah Ta’ala memelihara menteri-menteri itu dan rajanya daripada segala orang-orang yang kuasanya lebih daripada mereka itu

Fasal Ketujuh menyentuh fungsi Badan Hisbah:
i) Perlu diwujudkan badan rasmi atau tribunal yang bertanggung jawab menerima dan menyiasat aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan apa-apa perkara yang berkaitan dengan jentera kerajaan, supaya peliharaan Allah tetap berlaku atas negeri dari ancaman musuh.

Kelapan:
Hendaklah menteri-menteri itu menjalankan satu pekerjaan dengan ingat dan hemat akan kesudahan pekerjaannya pada kemudian hari. Dan hendaklah Menteri-menteri mempunyai hati yang luas terhadap segala bicara dan hendaklah ia berperangai baik dan sentiasa sabar

Fasal Kelapan menyentuh disiplin menteri-menteri ketika bertugas:
i) Menteri-menteri hendaklah mempunyai pengetahuan agama yang secukupnya disamping kelayakan serta pengalaman luas dalam bidang dan lapangan yang akan mewujudkan kebijaksanaan serta kebolehan berfikir panjang, yang dapat menjurus pertimbangan yang wajar dan saksama dalam segala tindak tanduk dan keputusannya
ii) Menteri-menteri perlu mempunyai integriti dan keperibadian yang baik serta sentiasa bersabar dalam melaksanakan kewajibannya.


Kesembilan:
Apabila seorang Menteri itu melihat orang yang membuat kebaktian pada Raja atau Negeri, hendaklah Menteri itu pinta naikkan pangkat orang itu. Jangan Menteri itu takut kalau-kalau orang-orang itu menjadi lebih besar daripadanya. Maka takut yang demikian itulah sejahat-jahat pekerjaan dan Menteri itu tiada layak jadi menteri.

Fasal Kesembilan menyentuh keadilan Menteri keatas anak buahnya:
i) Apabila seorang Menteri mengetahui dan mengesahkan bahawa anak buahnya telah menunjukkan prestasi kerja dengan cemerlang, beliau perlu mencadangkan kenaikan pangkat untuk anak buahnya itu, kerana perkara ini akan mendatangkan faedah yang besar bagi kerajaan kerana ditadbir urus oleh mereka yang benar-benar berkelayakan.
ii) Keengganan melakukan perkara ini merujuk sifat tercela, maka tidak layak untuknya memikul amanah sebagai menteri.

Kesepuluh:
Apabila menteri-menteri itu melihat seseorang yang melalui titah Raja atau melalui undang-undang hendaklah menteri-menteri itu berikan nasihat kepadanya dengan halus. Jika ia tiada turut nasihat itu, hendaklah ia dihukum supaya jangan orang lain menurutnya

Fasal Kesepuluh ini menyentuh Keluhuran Undang-Undang:
i) Menteri harus memberi amaran kepada pesalah laku yang tidak patuh pada titah diraja atau undang-undang negeri
ii) Mereka yang degil harus dihukum agar menjadi pedoman kepada semua

Kesebelas:
Hendaklah menteri-menteri itu mencari taulan yang baik akal dan budi pekerti di antara menteri-menteri yang banyak itu untuk dijadikan sahabat yang rapat supaya dapat menolongnya dalam sesuatu hal yang sukar mengenai pekerjaan negeri

Fasal Kesebelas menyentuh hubungan sesama menteri:
Menteri haruslah memilih sahabat yang tinggi intelek, bijaksana dan baik keperibadiannya dari kalangan Jemaah Menteri supaya dapat saling bantu membantu dalam memikul amanah tugas yang berat, rumit dan sulit.

Keduabelas:
Hendaklah menteri-menteri jangan sekali-kali biarkan berlaku perselisihan antara menteri-menteri dan segala hulubalang-hulubalang dan penggawa sekelian. Apabila terjadi perselisihan antara sekelian penggawa-penggawa yang demikian itu, dan apabila datang pekerjaan yang sukar-sukar didalam negeri, nescaya masing-masing akan membawa diri masing-masing

Fasal Keduabelas menyentuh keperluan menjaga hubungan baik serta keharmonian dalam jentera kerajaan:
i) Menteri-menteri perlu memastikan wujud hubungan baik, keharmonian serta permuafakatan dalam jentera kerajaan supaya dapat berjalan dengan licin, demi kemakmuran dan kerukunan serta kestabilan negara
ii) Apabila keharmonian tidak dijaga dan diurus selia dengan baik, nescaya penjawat awam akan hanya mementingkan diri masing-masing, tiada permuafakatan sehingga mengganggu kelicinan urusan pentadbiran negara, khususnya dalam tempuh mencabar yang mampu mengundang banyak keburukan serta memberi mudarat kepada negara

Ketigabelas:
Hendaklah menteri-menteri itu minta doa supaya Rajanya itu dijadikan Allah SWT adil dan insaf keatas segala isi negeri. Dan hendaklah menteri-menteri janganlah alpa dari membuat kebajikan akan segala hamba Allah tatkala dianugerahkan Allah SWT kebesaran dan kemuliaan kepadanya

Fasal Ketigabelas menyentuh amalan mendoakan Raja dan peringatan kepada menteri-menteri:
i) Menteri-menteri haruslah sentiasa mendoakan Raja, supaya Allah mengurniakan baginda sifat adil, kasih sayang, cakna dan prihatin kepada rakyat jelata
ii) Menteri-menteri juga diingatkan tentang nikmat Allah atas dirinya berupa pangkat kebesaran serta kemuliaan, namun hakikatnya adalah amanah besar dan ujian untuk terus melaksanakan tugas dengan baik, berintegriti dan berihsan.

al Fatihah kepada al-Marhum nenda Sultan Muhammad Jiwa

Kepada yang ingin mendapatkan maklumat sejarah Sultan-Sultan Soleh di Alam Melayu, termasuk sejarah Sultan Muhammad Jiwa, saya rekomen buku 'Raudhatus Salatin', dapatkannya dari Wan Shidi, mewakili Penerbit Alami Sdn Bhd
Labels:
Reactions:

Post a comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget