SOP pelajar pulang perlu diperkemas : Mahasiswa Sabah



TAWAU: Kerajaan Negeri Sabah diminta memperkemas Prosedur Operasi Standard (SOP) penghantaran pulang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dari luar ke negeri ini sebelum beroperasi semula.

Presiden Markas Siswa-Siswi Islam Sabah (MARSIS), Mohd Zofrie Zulhilmi Ruslee berkata, banyak aduan negatif berkaitan kelemahan SOP isu berkenaan diterima pihaknya daripada mahasiswa yang terlibat.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Sabah boleh mengambil contoh mekanisme dan pendekatan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dalam menerima pelajar mereka yang datang dari luar Sarawak.

“Kami ada membuat perbincangan bersama rakan-rakan NGO mahasiswa dari Sarawak dan mendapat laporan tiada seorang pun yang membuat aduan dan keluhan secara terbuka ini kerana kemudahan dan fasiliti yang disediakan amat menyenangkan,” katanya.

Jelasnya, beliau difahamkan ketika ini SOP pelajar IPT pulang ke Sabah tidak selaras dan terdapat kebimbangan berkaitan risiko kesihatan yang bakal melanda pelajar dan ahli keluarga yang terlibat.

Katanya, Sabah seolah-olah tidak bersedia untuk menerima kedatangan para pelajar ini berikutan terdapat insiden yang mengakibatkan pelajar menunggu dalam jangka masa lama sebelum dapat masuk ke pusat kuarantin.

Sementara itu Presiden Gabungan Mahasiwa Islam Se-Malaysia Sabah (GAMIS), Mhd Asisal Abbas turut senada meminta kerajaan negeri Sabah menambahbaik SOP sedia ada.

Katanya, beberapa kelemahan didapati berlaku yang diadukan pelajar antaranya isu bagasi pelajar yang tidak dinyah kuman sepanjang pengurusan penghantaran sehingga tiba di pusat kuarantin.

Selain itu pelajar terlibat juga tidak mendapat kit penjagaan seperti topeng muka dan cecair pembasmi kuman dan gelang tangan penanda tidak dipasang kepada sebahagian pelajar yang perlu menjalani kuarantin.

Sehubungan itu beliau meminta penambahbaikan SOP apabila usaha membawa pelajar pulang ke Sabah beroperasi semula selepas dihentikan pada 18 Mei lepas.

“Kami berharap agar perkara ini mendapat perhatian daripada pihak yang berwajib agar semua pelajar tidak Cuma berjaya dihantar pulang tetapi juga terhindar dan tidak menjadi pembawa Covid-19 kepada keluarga mereka,’’ katanya lagi.

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post