TEPAT. TELUS. TERKINI.

Selamatkah kerajaan Mukhriz di Kedah?



Oleh: Mod Shuhaimi Al Maniri

Sejak Tun Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri dan membubarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) diketuai beliau pada hujung Februari lepas, sebuah kerajaan Perikatan Nasional (PN) diwujudkan mulai 1hb Mac, 2020 pimpinan Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sejak itu, beberapa kerajaan negeri Perikatan Nasional juga dibentuk. Bermula di Johor, kemudian Melaka dan terakhir setakat ini di Perak telah bertukar dari Kerajaan PH kepada PN di negeri berkenaan.

Spekulasi sedang bertiup kencang, kerajaan Kedah dibawah Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir Bersatu Plus Pakatan Harapan di Kedah kemungkinan akan digantikan oleh kerajaan PN juga.

Keyakinan itu bersandarkan kerjasama Muafakat Nasional antara PAS dengan UMNO yang kini memiliki 17 kerusi DUN, selain masalah yang didakwa berlaku dalam kalangan Adun PH. Ketika ini, komposisi DUN Kedah menyaksikan kerusi DUN PAS (15), PKR (7), Bersatu (6), Amanah (4), Umno (2) dan DAP (2).

Walaubagaimanapun, Phahrolrazi Mohd Zawawi. Pengerusi Amanah Kedah dilaporkan media berkata, tiada apa-apa yang berlaku kepada kerajaan negeri Kedah dan pihaknya mendapati kerajaan negeri masih berfungsi seperti biasa disebabkan tiada mana-mana Adun PH atau Bersatu negeri itu membuat kenyataan rasmi memberikan sokongan kepada kumpulan Muafakat Nasional.

Pemerhati politik berpendapat perkembangan mendadak itu berlaku kesan tindakan PKR memecat dan menggantung sejumlah anggota mereka baru-baru ini dan dipercayai memberi kesan terhadap pendirian wakil rakyat parti itu di Kedah.

Dari sumber tidak rasmi yang tersebar di media sosial, terdapat 5 ADUN dari PKR dan Bersatu dijangkakan beralih arah dalam perjalanan politik mereka.

Kedah mendapat Menteri Besar baharu?

Pada 7 Mei lepas, PAS Kedah menyuarakan keyakinan mereka untuk mengambil alih kerajaan negeri tersebut daripada Pakatan Harapan (PH) Plus Bersatu yang kini dipimpin oleh Mukhriz Mahathir.


Jika pertukaran Menteri Besar ini berlaku, Mukhriz satu-satunya ketua kerajaan yang “meletak jawatan Menteri Besar Kedah” sebanyak 2 kali sebelum tamat penggal pemerintahannya..

Sebelum ini pada tahun 2016, Mukhriz juga terpaksa meletakkan jawatan Menteri Besar kerana hilang sokongan ADUN UMNO dan BN di Kedah.

Politik Mukhriz di Kedah ibarat, telur dihujung tanduk dan sukar untuk diselamatkan lagi serta menghitung hari untuk kerajaan “Bersatu-PH Plus” Mukhriz dengan majoriti kelebihan 2 kerusi sahaja itu berakhir.

Selepas pertemuan yang melibatkan 15 ADUN Pas dan 2 ADUN UMNO di Alor Setar, Kedah menyebabkan ramai yang berpendapat kerajaan Mukriz yang sudah lama goyang dan akan berakhir bila-bila kerana sudah tidak lagi disokong sepenuhnya oleh ADUN PH dan Bersatu di Kedah.

Selain itu, Pengerusi Umno negeri, Jamil Khir Baharom; Pesuruhjaya PAS negeri, Ahmad Yahaya dan Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor turut hadir pertemuan itu.

Dipercayai, pertemuan itu diadakan bagi membincangkan peralihan kuasa kerajaan negeri.Turut dilaporkan hadir dalam pertemuan tertutup tersebut pada hujung minggu lalu (Ahad 10 Mei) adalah Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu.

Sementara itu, Takiyuddin yang ditanya spekulasi mengenai pertukaran Menteri Besar Kedah, juga berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. “Itu atas Sultan,” katanya ringkas kepada media.

Begitu juga Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan menjelaskan PAS masih belum memuktamadkan calon untuk dilantik menjadi Menteri Besar Kedah yang baharu dengan berkata, "Calon Menteri Besar terserah kepada Tuanku (Sultan Kedah), sekarang masih ada Menteri Besar. Buat masa ini, Mukhriz (Mahathir) masih Menteri Besar," katanya seperti dipetik portal BH Online.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget