NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perlembagaan jadi asas citra perpaduan, jati diri

oleh: Dr Kamarudin

Pada Ogos 2017, genap 60 tahun usia kemerdekaan Malaysia dan 60 tahun adalah satu angka keramat. Jika dinisbahkan kepada manusia, maka usia itu adalah usia yang hadir dengan penuh kematangan serta pengalaman hidup yang beragam. Namun begitu, dalam konteks pemikiran sosial masyarakat Malaysia, umumnya masih terbelah dalam realiti untuk mempertahan kepentingan kelompok etnik dan sukuan masing-masing.

Citra perpaduan dan pembinaan jati diri bangsa, masih menjadi isu polemik yang berterusan dan menimbulkan situasi panas yang menggugat keharmonian sosial. Persoalan pokok dalam menentukan petunjuk kepada perpaduan dan jati diri bangsa adalah bergantung kepada wujudnya usaha yang bersungguh dan berterusan dalam melaksanakan segala unsur kandungan Perlembagaan negara serta kesungguhan dalam melaksanakan dasar negara berteraskan aspirasi pembangunan berterusan kesatuan pemikiran bangsa.

Oleh itu, persoalan dalam konteks proses pendidikan, meskipun berfokuskan kepada pendidikan satu aliran, bukan satu jaminan kepada berlangsungnya kekuatan perpaduan serta kemantapan jati diri bangsa. Hakikatnya, ketidakpatuhan terhadap peruntukan Perlembagaan, khususnya dalam proses pembuatan dasar dan pelaksanaan dasar akan membuka ruang kepada wujudnya konflik kepentingan.

Peruntukan Perlembagaan sewajarnya dijadikan asas kepada pembinaan perpaduan dan jati diri bangsa. Kepentingan politik serta politik demokrasi adalah antara unsur di luar proses pendidikan yang menjadi unsur kepada tercetusnya konflik sosial. Perjuangan politik yang didorong oleh pertembungan pemikiran serta sikap memihak terhadap pihak yang bersikap curang dalam tanggungjawab politik khususnya pelanggaran terhadap integriti moral, menjadi antara faktor yang mengancam usaha untuk membina perpaduan.

Ini bererti matlamat pendidikan sebagaimana dihasratkan melalui dasar pendidikan kebangsaan atau segala keperluan yang dinyatakan dalam peraturan pendidikan, tidak akan mencapai piawai pelaksanaan. Ketajaman konflik politik yang membawa kepada polemik dan perdebatan terbuka berkait dengan sesuatu isu, terutamanya sepanjang yang berkaitan dengan kuasa dan kekuasaan, secara tidak langsung akan membuka ruang kepada wujudnya politik perkauman.

Politik kaum, keagamaan

Ruang politik Malaysia, meskipun sudah memasuki abad ke-21, masih berorientasikan politik kaum dan keagamaan. Parti politik yang wujud berpartisipasi dalam pentas politik demokrasi masih terbentuk berdasarkan ikatan perkauman. Pembinaan asas perpaduan sebenarnya sudah dizahirkan secara tuntas berasaskan kepada perundangan dan peraturan yang ditetapkan. Sepatutnya ia mampu untuk dijadikan kerangka yang kuat dalam mengikat pemikiran rakyat terhadap idealisme kesatuan bangsa.

Kontrak sosial meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, penerimaan semua bangsa sebagai satu warga negara, sistem pendidikan dengan kandungan kurikulum yang seragam serta sistem pembahagian kuasa dalam pentadbiran negara, adalah unsur yang sewajarnya menjadi pemangkin kepada perpaduan negara dan pembinaan jati diri bangsa.

Proses pendidikan adalah unsur yang mendorong kepada pembinaan sosialisasi yang bersifat terhad dalam dimensi berfokus dalam lingkungan waktu serta persekitaran yang terbatas. Dengan perkataan lain, proses pendidikan bukan sesuatu yang bersifat mutlak untuk mempengaruhi pembinaan serta pertumbuhan pemikiran yang berfokuskan perpaduan dan bertunjangkan jati diri bangsa.

Faktor di luar proses pendidikan, tingkah laku umum masyarakat serta bentuk polemik sosial yang diwujudkan oleh pihak berkepentingan menjadi antara dimensi yang mempengaruhi pola pemikiran terhadap sentimen perpaduan serta penonjolan jati diri bangsa.

Isu berkaitan usaha memperkukuh perpaduan antara rakyat pelbagai latar belakang budaya dan kepercayaan serta memantap jati diri bangsa, dalam aspek menonjolkan satu pengenalan konsepsi bangsa yang berteraskan nilai, pemikiran serta komitmen terhadap ideologi bangsa, bukan satu perkara yang tertakluk kepada proses pendidikan semata-mata.

Kebersamaan etnik

Proses pendidikan, sememangnya realiti yang subur untuk menanamkan doktrin kesatuan bangsa, namun atas sifatnya berkelompok secara mikro, maka usaha itu perlu juga mendapat dokongan dan sokongan yang kuat daripada pelaksanaan dasar kerajaan agar selaras dengan hasrat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama juga, isu kebersamaan etnik harus menjadi fokus dalam pembinaan proses sosial antara masyarakat. Apa yang nyata, pemikiran masyarakat perlu dibentuk secara berstruktur bagi mewujudkan sentimen penerimaan terhadap budaya teras Malaysia. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, maka budaya teras Malaysia itu adalah bersumberkan kepada falsafah pemikiran tradisi kebumiputeraan, yakni selaras dengan apa yang diperakui dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan serta idealisme yang tercatat dalam kandungan Rukun Negara.

Kekang politik korup

Berdasarkan hakikat ini, tingkah laku hubungan antara etnik yang bersifat makro, merentasi aktiviti sosial dan pemikiran politik perlu disandarkan kepada budaya teras yang diperakui. Harus disedari bahawa pertentangan politik dalam konteks prinsip demokrasi, seharusnya bersifat ideologi dalam konteks mempertahankan integriti daripada berlakunya penyalahgunaan kuasa bagi menghalang berlakunya tindakan politik yang bersifat korup.

Hakikatnya, landasan politik amalan politik korup dan melewati batas moral integriti, mempunyai kecenderungan dalam merosakkan perpaduan serta jati diri bangsa. Proses pendidikan yang berlangsung dalam persekitaran sosial berkonflik antara kepentingan budaya serta amalan politik yang di luar batas integriti, mempunyai kecenderungan untuk membentuk sikap, pemikiran, tingkah laku dan idealisme yang menjurus kepada wujudnya peningkatan sentimen memecahkan perpaduan serta mematikan roh jati diri bangsa.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo