NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perang Dingin yang semakin panas



oleh: Abdul Muein Abadi

SYARIKAT gergasi China hari ini berada dalam dilema besar. Sedang Alibaba dan Baidu berkemungkinan dinyahsenarai daripada pasaran saham Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan Dewan Senat, sembilan syarikat China yang lain pula dikenakan sekatan oleh Jabatan Komersial AS.

Kesemua itu berlaku dalam masa yang sama ketegangan makin menjadi-jadi antara tentera AS dengan China sama ada di Laut China Selatan di Laut China Timur dan juga di Taiwan.

Itu belum lagi mengambil kira perkembangan isu China-Hong Kong. Jelas, dalam tempoh seminggu ini perseteruan antara AS dengan China ternyata menjadi semakin hangat.

Kesemua peristiwa dan keputusan oleh kedua-dua kuasa dunia itu menunjukkan satu pola yang jelas: AS di bawah Presiden Trump sedang berusaha untuk bukan sahaja mengurangkan kebergantungan AS kepada China, bahkan juga mula bertindak untuk mengurangkan kelebihan yang China peroleh melalui sistem ekonomi Amerika.

Tidak cukup dengan Perang Perdagangan yang dilancarkan Trump beberapa tahun lalu, terkini Dewan Senat Amerika pula sebulat suara bersetuju untuk meluluskan undang-undang yang boleh menyahsenarai syarikat-syarikat China daripada pasaran saham AS.

Penyahsenaraian itu akan dilakukan sekiranya syarikat terbabit gagal untuk membuktikan bahawa mereka bebas daripada kawalan kerajaan asing.

Perkembangan itu jelas mengimpak Alibaba Group Holding dan Baidu Inc yang diketahui berada dalam kawalan Parti Komunis China. Bahkan Jack Ma pengasas Alibaba pun pernah mengaku bahawa diri beliau ialah ahli Parti Komunis China.

Tidak sampai seminggu kemudian, Jabatan Komersial AS telah menyenaraikan sembilan syarikat China yang dikenakan sekatan kerana terlibat dalam penindasan hak asasi manusia ke atas umat Islam Uighur di Turkestan Timur (Xinjiang).


Senarai syarikat-syarikat China itu ialah China’s Ministry of Public Security’s, Institute of Forensic Science, Aksu Huafu Textiles Co, CloudWalk Technology, FiberHome Technologies Group dan anak syarikat Nanjing FiberHome Starrysky Communication Development, NetPosa serta anak syarikat SenseNets, Intellifusion dan IS’Vision.

Keselamatan

Hubungan AS-China turut diuji hebat dalam isu Taiwan dan Hong Kong. Tidak lama selepas Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen mengangkat sumpah untuk penggal terbaru, beliau mengumumkan sokongan kepada penunjuk perasaan di Hong Kong yang membantah undang-undang keselamatan China terbaru.

Undang-undang terbaru itu akan mengharamkan segala aktiviti pengkhianatan, pemisahan, hasutan dan subversif di Hong Kong. Ribuan penunjuk perasaan Hong Kong turun membantah undang-undang keselamatan China itu meskipun dalam situasi pandemik Covid-19.

China yang melihat Presiden Taiwan sebagai ‘pemisah’ dengan segera dilaporkan bersedia untuk mengerah dua kapal induk pesawat mereka – Liaoning dan Shandong – sebagai isyarat keras.

Di Laut China Selatan pula, belum pun reda pertembungan antara kapal pengawal pantai China dengan kapal tentera laut AS di perairan Malaysia awal bulan ini, pihak AS telah bertindak lebih ofensif.

Terkini, Angkatan Pasifik Tentera Udara AS (PACAF) mendedahkan imej dua pesawat pengebom strategik B1-B Lancer yang berlepas dari Andersen AFB, Guam dan menjalankan misi di Laut China Selatan.

Sebelum itu, kapal perang USS Rafael Peralta milik AS dikesan belayar menghampiri Laut Kuning – sekitar 70 batu nautika dari pantai Shanghai dan kapal induk pesawat China Liaoning dijadual mengadakan latihan.

Tindakan tentera AS ‘keluar-masuk’ wilayah China itu menyamai modus operandi China itu sendiri di Laut China Selatan.

Seperti mana kapal-kapal besar milik pengawal pantai dan peninjau China memasuki Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kita sekitar 80km dari Bintulu, Sarawak, begitu jugalah tindakan tentera AS terhadap Beijing hari ini. Ternyata, Perang Dingin antara AS dengan China kini semakin panas.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo