NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penurunan OPR kurangkan tekanan aliran tunai bagi perniagaan, kos pinjaman


Oleh Sharifah Pirdaus Syed Ali dan Aishah Mohmad Afandi

KUALA LUMPUR, 5 Mei -- Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.00 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM), paras terendahnya sejak krisis kewangan global pada pertengahan 2007-awal 2009, telah dijangkakan oleh banyak pihak memandangkan potensi impak ekonomi daripada COVID-19.

Penganalisis Kanan MIDF Research Imran Yassin Md Yusof berkata ini akan mengurangkan kos pinjaman dan menjadikan pinjaman sedia ada lebih murah.

“Pada pandangan kami, tujuan pengurangan OPR itu adalah bagi memastikan lebih banyak pendapatan boleh guna kepada pengguna dan mengurangkan tekanan aliran tunai bagi perniagaan serta mempercepatkan pertumbuhan pinjaman.

“Dengan kos pinjaman rendah, pengguna akan kurang membayar bagi pinjaman mereka yang akan membawa kepada lebih banyak pendapatan boleh guna. Diharapkan pendapatan tambahan ini akan menarik pengguna untuk berbelanja, yang mana merupakan faktor penting bagi merancakkan semula ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata bank pusat juga melonggarkan syarat bagi Keperluan Rizab Berkanun (SRR) yang dipercayai bagi memastikan mudah tunai mencukupi dan kemungkinan sekali lagi untuk merancakkan aktiviti berian pinjaman.

BNM hari ini mengumumkan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) boleh digunakan oleh institusi perbankan untuk memenuhi sepenuhnya pematuhan SRR, berkuat kuasa 16 Mei, 2020.

Bagi bank-bank, Imran Yassin berkata pendapatan faedah bersih dijangka berada dalam tekanan daripada penurunan OPR tetapi beliau percaya impaknya tidak ketara kerana aktiviti pengambilan deposit sangat berkurangan sejak suku keempat tahun lepas.

Justeru, beliau percaya petunjuk paling penting bagi bank pada masa ini adalah kualiti aset.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid melihat keputusan terbaharu BNM menurunkan OPR itu sebagai telahpun dijangkakan oleh banyak pihak berikutan impak daripada COVID-19 adalah sangat besar.

“Kita boleh lihat perniagaan terpaksa ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan kerugian hasil dan pendapatan, dinilai daripada pengumuman keputusan pendapatan syarikat bagi suku pertama 2020.

“Kebanyakan daripada mereka menyatakan mereka meneruskan operasi mereka semasa PKP tetapi dengan tenaga kerja yang lebih kecil dan langkah-langkah keselamatan ketat bagi melindungi pekerja mereka, yang sekali gus menjejaskan margin mereka,” katanya.

Beliau berkata di seluruh dunia, ekonomi-ekonomi utama seperti Amerika Syarikat dan China juga mencatatkan penurunan Keluaran Dalam Negar Kasar masing-masing sebanyak 4.8 peratus dan 6.8 peratus pada Suku Pertama 2020.

Memandangkan kejutan penawaran dan permintaan yang berlaku pada masa yang sama, ia menjanjikan dasar monetari yang sangat akomodatif, katanya.

“Sama ada ia (OPR) akan diturunkan lagi, ia akan bergantung kepada prospek pengembangan ekonomi. Setakat ini, kadar inflasi dijangka sangat rendah dan justeru itu ruang bagi akomodasi dasar seterusnya terbuka luas,” katanya.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo