NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muhyiddin layak dilantik Perdana Menteri - Agong



KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Tan Sri Muhyiddin Yassin layak dilantik sebagai Perdana Menteri kerana mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda sudah menggalas amanah dengan telus dan seadil-adilnya dalam urusan pelantikan Perdana Menteri kelapan itu, selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara.

Menyorot kembali peristiwa pada 24 Februari lalu, Al-Sultan Abdullah bertitah, naratif landskap politik negara sekali lagi digegarkan dengan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Susulan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, pada 25 dan 26 Februari lalu, baginda mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ahli Dewan Rakyat untuk menilai sokongan dan kepercayaan mereka.

Kemudian pada 29 Februari, baginda menitahkan semua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang wakil Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri dan berkenan melanjutkan tempoh masa bagi parti politik mengemukakan pencalonan mereka supaya dapat perhitungan demokrasi.

"Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan tanpa ada penghujungnya.

"Lantaran itu, selepas melalui semua proses itu dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, beta mendapati Tan Sri Muhyiddin mendapat kepercayaan Ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan," titah baginda.


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima buku titah Diraja yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.

Baginda turut menyatakan penghargaan atas kematangan dan kerjasama semua Ahli Dewan Rakyat dan rakyat yang memainkan peranan dengan penuh berhemah dan beretika sehingga membolehkan baginda menggalas amanah itu.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah menaruh keyakinan bahawa kerajaan di bawah kepemimpinan Muhyiddin akan membawa negara terus mendaki kejayaan yang lebih tinggi.

"Nasihat beta, laksanakanlah amanah ini dengan jujur dan penuh tanggungjawab, serta jangan sesekali mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata," titahnya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/690097/muhyiddin-layak-dilantik-perdana-menteri-agong

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo