NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Memorandum Tubuh RCI – Kes Penjualan Sijil Kelahiran Dan Mykad Sah Kepada Warga Asing



KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), pada 4 Mei (esok) akan menyerahkan dokumen Memorandum minta kerajaan segera tubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI), bagi menyiasat kes penjualan dokumen Sijil Kelahiran dan MyKad Sah kepada warga asing, khususnya dari negara China.

Mohd Zai Mustafa, Pengerusi UMMAH Malaysia menjelaskan bahawa, UMMAH akan menyerahkan memorandum minta kerajaan tubuhkan sebuah RCI bagi menanggani kes penjualan dokumen Sijil Kelahiran dan MyKad Sah kepada warga asing yang berlaku mutakhir ini.

Katanya, apabila kami (UMMAH) meneliti laporan Polis tentang tangkapan sindiket penjualan Sijil Kelahiran dan MyKad Sah melibatkan rakyat tempatan termasuk kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang, di samping laporan Ketua Audit Negara 2018 - Siri 2, mendedahkan bahawa tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun lalu. Maka, UMMAH membuat kesimpulan bahawa kes adalah perlu di beri perhatian serius dan tindakan segera dari pihak kerajaan untuk mengatasinya.

Rekod mendedahkan, sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar. Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.

“Ini bermakna mendekati jumlah 100,000 pelancong China dan India yang masih berada dalam negara dan adakah mereka ini antara kumpulan terlibat dalam sindiket jualbeli Sijil Kelahiran dan MyKad Sah yang berlaku ketika ini, katanya.

Oleh itu, UMMAH bersama rakan sekutu badan bukan kerajaan, melahirkan rasa bimbang tentang hal ini kerana ia melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Kami amat berharap agar kes jualbeli Sijil Kelahiran dan MyKad Sah mendapat keutamaan dari pihak kerajaan, walaupun negara ketika ini sedang memberi fokus melawan penularan Covid-19, di samping membina kembali sektor ekonomi negara yang terjejas akibat wabak tersebut, ujarnya.

“Jatuhkan hukum kepada mereka (tidak kira siapa) yang terlibat sebagai dalang sindiket menjual dokumen kewarganegaraan Malaysia, kerana kumpulan ini adalah pengkhianat kepada negara, tegasnya.

Mengulas cadangan penubuhan RCI, Mohd Zai berkata, RCI diperlukan bagi tujuan membuat pemeriksaan yang menyeluruh berhubung kes penjualan Sijil Kelahiran dan MyKad Sah tersebut, agar ia dapat memberi gambaran lebih jelas perkara yang berlaku. Di samping, RCI akan berfungsi memberi cadangan kepada kerajaan melakukan penambahbaikan berkaitan SOP, peraturan-peraturan dan sistem dalam proses pengeluaran dokumen Sijil Kelahiran dan MYKad, sekaligus ia menjadi inisiatif konkrit boleh dilakukan pihak kerajaan supaya kegiatan jenayah dan pengkhianatan dapat dibendung di masa depan.

Tambahnya lagi, berdasar maklumat pihak Polis, antara pihak terlibat kes penjualan dokumen kewarganegaraan Malaysia, ialah terdiri “orang dalam” di Jabatan Pendaftran Negara (JPN). Nampaknya… di sini ada kelonggaran dan kelemahan yang perlu di atasi, agar ia dapat menutup rapat peluang kepada “orang dalam” melakukan perbuatan jenayah tersebut di masa akan datang. Jadi, di sinilah peranan RCI yang ditubuhkan tersebut.

Memorandum tersebut akan diserahkan kepada YB Dato’ Takiyuddin Hassan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehawal Undang-Undang) di pejabatnya pada Isnin (4 Mei) esok.

UMMAH berharap agar Menteri berkenaan dapat mengangkat memorandum ini untuk perhatian dan pertimbangan kabinet dalam masa terdekat.

- Media DailyUMMAH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo