Kejutan Palestin pada hujung Ramadan


oleh: Abdul Muein Abadi

KEJUTAN besar berlaku menjelang penghujung Ramadan tahun ini apabila Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengisytiharkan untuk menamatkan semua perjanjian dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Keputusan mengejut ini menyaksikan sekurang-kurangnya tiga perjanjian damai antara Palestin dengan Israel dan Amerika sejak sekian lama terbatal iaitu Oslo Accords (1993), Hebron Agreement (1997) dan Wye River Agreement (1998).

Palestin bertegas untuk mencapai kemerdekaan serta haknya melalui siri ‘Arab Peace Initiative’ serta resolusi legitimasi antarabangsa, khususnya Resolusi Majlis Keselamatan 1515, Resolusi 2334 tentang Baitulmaqdis dan petempatan, Resolusi 194 PBB tentang pelarian, serta Resolusi Perhimpunan Agung PBB 19/67 tentang keanggotaan negara Palestin.

Sebagai ganti terhapusnya perjanjian Palestin-Israel dan Amerika Syarikat ini, Mahmoud Abbas menyeru penglibatan kuasa-kuasa lain dalam Kuartet yang dianggotai Rusia, PBB dan Kesatuan Eropah untuk bersama-sama mengimbangi hegemoni AS dalam rundingan damai berterusan demi Palestin. Palestin turut menegaskan keyakinan dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Keputusan itu diisytiharkan Mahmoud Abbas susulan terbentuknya kerajaan gabungan Israel antara Benjamin Netanyahu dan Benny Gantz yang bersepakat untuk merasmikan perampasan wilayah (atau pengilhakan; annexation) Tebing Barat Palestin yang sekarang dijajah secara haram oleh Zionis Israel pada 1 Julai 2020 dengan restu AS.

Keputusan Zionis Israel dan sekutu AS itu merupakan penghinaan tambahan ke atas umat Islam selepas pengumuman peta Deal of the Century tajaan Donald Trump pada penghujung Januari lalu.

Untuk rekod, dalam pelan Deal of the Century itu, AS mengiktiraf bahawa Baitulmaqdis sebagai ibu negara milik mutlak Israel sekali gus bermakna bukan sahaja tanah Palestin yang dirampas Zionis selepas Perang 1948 dan 1967 sahaja yang diiktiraf sebagai milik berdaulat Israel, tetapi juga seluruh petempatan haram Yahudi di Tebing Barat Palestin.Sumpah

Malah, Haram al-Sharif juga diiktiraf sebagai di bawah kekuasaan Israel semata-mata, dengan kuasa memberi izin untuk beribadat terletak di tangan Zionis.


Pelan celaka itu juga menjamin dengan tegasnya bahawa penempatan haram Yahudi Zionis di tanah milik umat Islam Palestin tidak akan diapa-apakan.

Negara haram Israel juga bahkan akan merampas Lembah Jordan (Jordan Valley) sebagai wilayah mereka. Terbaharu, Zionis tambah bersemangat dengan kunjungan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo baru-baru ini.

Kerajaan Palestin juga mengumumkan bahawa mereka tetap berpegang teguh dengan kesepakatan perundangan antarabangsa yang jelas menetapkan sempadan Palestin sepertimana peta 4 Jun 1967 iaitu sebelum Perang 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin yang berdaulat.

Mahmoud Abbas menyeru kerajaan di seluruh dunia supaya mengecam pelan Deal of the Century serta perasmian penjajahan (pengilhakan) Tebing Barat yang dirancang Zionis dan AS ini; ia jelas merupakan jenayah terancang ke atas kedaulatan Palestin.

Mahmoud Abbas menutup ucapan beliau dengan sumpah berikut: “Kami bersumpah demi pejuang kami yang telah mati syahid serta wira kami yang ditahan di penjara serta yang tercedera, bahawa kami akan kekal setia dengan sumpah setia kami hingga kemenangan, kebebasan dan kemerdekaan, bersama-sama menaikkan panji Palestin di atas Masjid Al-Aqsa dan Gereja Suci Sepulcher di Baitulmaqdis, yang selama-lamanya merupakan ibu kota negara Palestin kita.”

Sama-sama kita umat Islam di Malaysia mendoakan yang terbaik buat perjuangan saudara kita di bumi Palestin pada penghujung Ramadan ini.

Sesungguhnya segala yang terjadi di bumi Palestin kini membenarkan janji ALLAH menjelang akhir zaman.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda

1/Post a Comment/Comments

Post a comment

Previous Post Next Post