NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jasa Haji Abdul Majid pada kebajikan jemaah haji Tanah Melayu


#Gambar Haji Abdul Majid bin Zainuddin dari Puan Wan Lotfiah binti Abdul Latif, cucu Haji Abdul Majid.
oleh:Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Haji Abdul Majid bin Zainuddin telah dilantik menjadi Pegawai Haji Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1924 oleh Kerajaan Negeri-negeri Selat di bawah pentadbiran British.

Sebelum kewujudan kapal wap yang pertama di Tanah Melayu iaitu kapal P. S Sesostris pada tahun 1841, jemaah haji di Alam Melayu kebiasaannya menumpang kapal-kapal layar pedagang Arab dari Yaman yang kebiasaannya berlabuh di Aceh.

Sebelum kewujudan kapal berenjin wap, pelayaran ke Jeddah dari Tanah Melayu memakan masa berbulan-bulan, bergantung pada kadar tiupan angin. Penggunaan kapal wap berjaya memendekkan tempoh pelayaran kepada sekitar 3 minggu sahaja.

Namun di sebalik kebaikan teknologi kapal wap itu, muncul pula golongan kapitalis yang mengambil kesempatan. Kewujudan kapal wap menyebabkan ahli-ahli korporat Inggeris melihat perjalanan menunaikan haji sebagai 'lubuk' membina keuntungan.

Dengan itu, syarikat-syarikat perkapalan Eropah tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Mereka mengambil keuntungan dari membawa barang-barang dagangan yang diisi di bahagian bawah dek kapal dan membawa jemaah haji yang ditempatkan di bahagian atas dek kapal.

Kelemahan peruntukan Undang-undang dan penguatkuasaan oleh Kerajaan Negeri-negeri Selat menyebabkan syarikat-syarikat perkapalan ini sewenang-wenangnya membawa muatan dengan sangat penuh.

Kesannya jemaah haji Tanah Melayu bersesak-sesak di atas kapal. Tambahan pula mereka terpaksa membawa peralatan untuk memasak termasuk kayu api. Ini menyebabkan ruangan dalam kapal sangat sesak.

Kesesakan yang berlaku juga menyebabkan jemaah susah untuk bergerak, malah ruang untuk solat juga susah diperolehi. Hinggakan ada jemaah haji yang terpaksa membuang air besar di tempat dia duduk. Keadaan ini menyebabkan mudahnya penyakit tersebar semasa pelayaran.

Melihat keadaan ini, Haji Abdul Majid giat menggesa Kerajaan Negeri-negeri Selat (British) untuk menjaga kebajikan jemaah haji. Beliau menggesa agar syarikat perkapalan menyediakan makanan kepada jemaah haji bagi mengelakkan kebakaran kapal dan kesesakan ruangan kapal.

Hanya pada tahun 1929, barulah Kerajaan Negeri-negeri Selat melaksanakan gesaan yang dibuat oleh Haji Abdul Majid sejak bertahun-tahun itu. Dengan itu, pada tahun tersebut digubalkan Merchant Ships Ordinance 1929 yang mewajibkan penyediaan makanan oleh syarikat-syarikat perkapalan kepada jemaah haji.

Sumber: https://www.facebook.com/hasan.yusof.5/posts/10213766989487657

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo