NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hari Nakba : Memperingati Kemusnahan Palestin dan Permulaan Pelan The Greater Israel.


oleh: YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi

15 Mei 1948, peristiwa hitam buat rakyat Palestin yang pastinya terpahat jelas sehingga ke hari ini. Bukan sahaja buat generasi rakyat Palestin ketika itu yang terpaksa berputih mata kerana kehilangan tanah air mereka yang dirampas zionis yahudi , tetapi turut dirasai juga oleh generasi terbaru rakyat Palestin yang senantiasa dizalimi dan ditindas di tanah air mereka sendiri.

15 Mei 2020 yang lalu, telah masuk 72 tahun peristiwa tersebut berlalu. Hari Nakba bukan sahaja diingati sebagai peristiwa hitam buat rakyat Palestin tetapi juga buat umat Islam di seluruh dunia sebagai tanda kasih dan sayang terhadap saudaranya yang dirompak tanah air mereka malah hingga ke hari ini hanya tinggal beberapa kerat lagi tanah Palestin sebelum terhapus Palestin dari muka bumi ini.

Dari tahun 1947 hingga ke tahun 1949, daripada 1.9 juta rakyat Palestin, seramai 750,000 orang telah dihalau keluar dari tanah air mereka untuk memberi laluan kepada imigran yahudi yang datang dari seluruh dunia terutamanya dari Eropah. Kebanyakkan daripada rakyat Palestin tersebut telah melarikan diri ke negara – negara jiran seperti Jordan dan Syria.

Hanya 150,000 rakyat Palestin sahaja yang kekal di tanah air mereka yang kemudiannya di tukar menjadi Israel, iaitu 78 peratus daripada negara asal Palestin. Baki 22 peratus negara asal Palestin yang terletak di bahagian timurnya diambil alih oleh Jordan dan kemudiannya dinamakan Tebing Barat. Penduduk- penduduk di Tebing Barat yang tidak tinggal dalam Israel kemudiannya diberi kerakyatan Jordan .

Jun 1967, Tebing Barat telah dijajah oleh regim Israel begitu juga dengan Semenanjung Gaza yang ketika itu berada dibawah kawalan tentera Mesir. Menurut Biro Statistik Palestin, sejumlah 5 juta rakyat Palestin tinggal di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, manakala 1.5 juta rakyat Palestin berada di Israel. Lebih 6 juta rakyat Palestin berselerakan tinggal di negara – negara jiran dan di seluruh dunia.

Ketika rakyat Palestin memperingati Hari Nakba, yahudi di Israel merayakan The Yishuv Day iaitu hari memperingati permulaan penempatan awal orang – orang yahudi di bumi Palestin iaitu seawal tahun 1880an. Ketika itu hanya terdapat 25,000 orang yahudi yang tinggal di bumi Palestin. Majoriti komuniti yahudi ini datangnya dari Eropah yang pada ketika itu merupakan bangsa yang paling dibenci di Eropah.

Perang Dunia Pertama menyaksikan British menguasai Palestin dan mula membawa masuk orang – orang Yahudi ke Palestin dalam jumlah yang ramai. Meletusnya perang dunia kedua menyaksikan lebih ramai orang yahudi memasuki Palestin dan mula melaksanakan agenda mereka untuk menguasai Palestin di bawah ideologi zionisme yang sememangnya menghendaki Palestin sebagai negara untuk orang – orang yahudi.

Dengan sokongan kuat daripada British dan Amerika Syarikat ketika perang Arab – Israel pada tahun 1948, maka jatuhlah Palestin ke tangan zionis yahudi. Maka pada 14 Mei 1948, Pengerusi Kesatuan Yahudi iaitu David Ben – Gurion mengisytiharkan Israel sebagai sebuah negara merdeka yang dirampas daripada rakyat Palestin.

20 Mei lalu, Presiden Palestin Mahmoud Abbas telah mengadakan sidang media dan memutuskan bahawa Palestin telah membatalkan perjanjian keselamatan dengan Amerika Syarikat dan Regim Israel. Pembatalan perjanjian tersebut adalah akibat daripada pelan Regim Israel yang ingin mengambil alih wilayah – wilayah yang didudukinya di Tebing Barat.

Ia adalah rentetan langsung daripada pelan damai Asia Barat baharu yang dikemukan oleh Jared Kushner, penasihat Rumah Putih berkaitan hal ehwal Asia Barat yang juga menantu kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Pelan damai yang dikemukakan tersebut secara jelas memperincikan bahawa wilayah Tebing Barat yang diduduki oleh Regim Israel perlu diserahkan kepada Regim Israel oleh kerajaan Palestin.

Sebagai balasan dalam pelan damai tersebut, kerajaan Palestin akan diberikan tanah ganti yang belum tentu jelas di mana letaknya dan kekal miliknya. Bukan itu sahaja, Baitul Muqaddis dan tapak – tapak bersejarah Islam di dalamnya juga perlu diserahkan kepada Regim Israel tanpa sebarang alasan. Nyata perjanjian tersebut ditolak mentah – mentah oleh kerajaan Palestin baik kerajaan pimpinan Fattah mahupun Hamas.

Kunjungan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo dan rombongannya baru – baru ini ke Israel untuk membincangkan pengambilalihan Tebing Barat dengan Perdana Menteri Regim Israel Benjamin Netanyahu menguatkan lagi spekulasi bahawa pengambilalihan wilayah Tebing Barat sudah hampir pasti dan akan dilakukan tidak lama lagi.

Walaubagaimanapun pelan Regim Israel dan Amerika Syarikat tersebut bukan hanya mendapat tentangan di Palestin malah seluruh dunia dengan menggangap ia hanya akan meletakkan Asia Barat menghampiri kancah peperangan. Kesatuan Eropah minggu lalu menolak sekeras – kerasnya rancangan Regim Israel. Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah Josep Borrell menyatakan bahawa EU akan menggunakan kelebihan diplomatiknya untuk menghalang tindakan unilateral Regim Israel.

Namun suara yang paling lantang sekali mengutuk dan memberi amaran kepada Regim Israel datang daripada Raja Jordan, Raja Abdullah II. Beliau memberi amaran kepada Regim Israel bahawa akan berlaku konflik besar – besaran jika Regim Israel meneruskan tindakan tersebut sambil menyatakan beliau akan mempertimbangkan kesemua pilihan yang ada untuk menghalang tindakan Regim Israel.

Jika difikirkan sebaliknya, sudah tentu Regim Israel dan Amerika Syarikat sudah memikirkan risiko yang bakal dihadapinya untuk mengambilalih wilayah Tebing Barat. Namun untuk mempamerkan secara jelas tindakan mereka terutamanya ketika rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia sedang memperingati Hari Nakba sudah tentu ada muslihat di sebaliknya.

Jangan kita lupa, ketika kita umat Islam di seluruh dunia sedang memperingati Hari Nakba, orang – orang yahudi juga sedang merayakan The Yishuv Day namun kali ini bukan hanya untuk menduduki wilayah – wilayah di bumi Palestin namun sebenarnya adalah permulaan untuk membuka Asia Barat kepada penaklukan Israel atau lebih tepat lagi permulaan The Greater Israel.

Ini adalah kerana The Greater Israel adalah cita – cita asal golongan zionisme dari kalangan orang – orang Yahudi. Jika diperhatikan tindakan berani mereka kali ini dengan mengumumkan akan menguasai atau mengambilalih wilayah – wilayah yang diduduki di Tebing Barat, ia sebenarnya adalah “ signal ‘ mereka untuk menguasai Asia Barat serta melampiaskan cita – cita “ The Greater Israel “.

Lihat apa yang berlaku di sekeliling Asia Barat serta apa yang terjadi kepada penentang – penentang Regim Israel. Hizbullah di Lubnan sedang berdepan dengan kebangkitan rakyat Lubnan akibat daripada krisis ekonomi. Syria satu ketika dahulu adalah penentang kuat Regim Israel, kini sedang berdepan dengan perang saudara yang tidak pasti bila tamatnya.

Mesir boleh dikatakan berada di bawah pengaruh Regim Israel dan Amerika Syarikat. Jordan berada dalam ketidaktentuan ekonomi dan tidak mempunyai kekuatan tentera untuk menghadapi Regim Israel. Yaman dan Libya berada dalam kancah perang saudara. Begitu juga Iraq yang tidak stabil samada dari sudut ekonomi mahupun politik.

Iran, satu – satunya negara yang berkemampuan untuk berdepan dengan Regim Israel sedang berdepan dengan pelbagai tekanan baik dari sudut politik mahupun ekonomi dari seluruh dunia terutamanya Amerika Syarikat. Negara – negara Arab yang lain pula seperti Arab Saudi, UAE, Oman dan beberapa negara Arab lagi sedang dalam proses normalisasi dengan Regim Israel.

Regim Israel dengan bantuan Amerika Syarikat sebenarnya sudah berjaya menjinakkan musuh – musuh mereka di Asia Barat. Hampir tiada lagi hakikatnya musuh sebenar Regim Israel di Asia Barat. Jika mereka mahu menakluk Palestin sebenarnya sudah lama mereka mampu lakukan tetapi apa yang ditunggu dengan masa yang paling sesuai ialah untuk meletakkan Asia Barat di bawah telunjuk atau taklukan mereka dengan pelan The Greater Israel.

Pelan Asia Barat baharu yang diusahakan oleh Jared Kushner dan Benjamin Netanyahu sebenarnya bukan hanya untuk mengambil alih Tebing Barat tetapi sebenarnya adalah untuk menguasai Asia Barat dan melaksanakan pelan The Greater Israel. Pelan yang tertangguh hampir 3 tahun itu sebenarnya hanya menunggu masa yang sesuai untuk dilaksanakan agar objektifnya tercapai.

Ketika hampir seluruh Asia Barat berseteru, berperang sesama sendiri dan tunduk kepada Regim Israel serta Amerika Syarikat, itulah masa yang sesuai untuk melaksanakannya kerana hampir pasti negara – negara lain di Asia Barat tidak berkemampuan untuk menghalangnya.

Maka sebenarnya Hari Nakba tahun ini bukan semata – mata untuk memperingati peristiwa hitam rakyat Palestin yang hilang negaranya, tetapi adalah peristiwa hitam permulaan pelan penjajahan besar – besaran Asia Barat oleh Regim Israel dan Amerika Syarikat.

Ini adalah kerana pelan The Greater Israel mencakupi penjajahan Regim Israel hampir keseluruhan Asia Barat iaitu dari Iraq, Lubnan, Palestin, Jordan, Syria, sebahagian daripada Mesir dan Arab Saudi serta sedikit daripada wilayah Turki. Jika dilihat senario serta peristiwa semasa yang berlaku di Asia Barat saat ini, sememangnya ia adalah masa dan saat yang sesuai untuk melaksanakannya.

Oleh itu umat dan Dunia Islam terutamanya di Asia Barat wajar menilai kembali peranan mereka dalam Dunia Islam. Saat kejatuhan dan kemusnahan sudah hampir tiba, adakah masih berbaloi untuk berseteru sesama Islam atau menjadi keutamaan untuk mempertahankan Dunia Islam ? Jika masih alpa dan lalai, nescaya perancangan licik dan jahat yahudi ini pastinya akan meranapkan Asia Barat.

Kerana jika Regim Israel dan Amerika Syarikat mula melaksanakan secara total pelan The Greater Israel, pastinya umat dan Dunia Islam terutamanya di Asia Barat akan menghadapi laluan yang cukup sukar untuk menghalangnya malah menjadi lebih sukar lagi untuk membebaskannya kembali. Sedarlah sebelum terlambat, masih ada masa untuk menghalangnya.

Maka dengan itu, usah mudah terpedaya dengan musuh – musuh Islam terutamanya orang – orang yahudi. Pelbagai ayat – ayat Al – Quran peringatan dari Allah SWT akan kelicikan serta kejahatan yahudi yang sememangnya berkehendakkan kehancuran umat Islam sudah dinyatakan. Benar, memperingati Hari Nakba adalah baik sebagai peringatan kepada kita umat Islam akan kejahatan dan kezaliman orang – orang yahudi menzalimi dan merampas tanah air rakyat Palestin.

Namun di sebaliknya jangan kita leka dan alpa bahawa ketika ini sebenarnya mereka sedang merancang sesuatu yang lebih besar tanpa pengetahuan kita umat Islam. Tebing Barat hanyalah “ stepping stone “ kepada pelan asal mereka iaitu The Greater Israel dan sebenarnya The Greater Israel telah hampir memasuki langkah perlaksaan penuh oleh Regim Israel dan Amerika Syarikat.

Jelasnya yang paling rugi ialah kita umat Islam. Kita masih berperang sesama sendiri sambil mengorbankan umat Islam yang tidak berdosa, kita berebut kuasa dan harta dunia yang juga mengorbankan umat Islam yang tidak berdosa, kita melanggar hukum – hukum Allah SWT sambil tidak memperdulikan suruhannya, kita lalai akan peringatannya dan terpesona dengan dunia dan kekuasaan yang ditawarkan musuh – musuh Islam.

Akhirnya kita umat Islam juga yang rugi baik di dunia mahupun akhirat. Selagimana kita umat dan Dunia Islam tidak bersatu – padu dan berkerjasama, selagi itulah umat dan Dunia Islam akan dipandang sinis dan hina oleh umat manusia seluruh dunia. Kita akan ketinggalan, kehilangan malah sedikit demi sedikit terhapus dari ingatan umat manusia.

Sudah sampai masa kita bersatu – padu dan berkerjasama memulihkan kembali keyakinan umat dan Dunia Islam. Sudah sampai masanya kita umat dan Dunia Islam bingkas bangun dari tidur yang lena, yang banyak merosakkan akidah dan keimanan umat Islam. Sudah sampai masa umat dan Dunia Islam kembali gemilang di muka bumi ini.

Semoga di hari kemenangan Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi, berdoalah kita kepada Allah SWT agar membuka hati – hati umat dan Dunia Islam agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bersatu – padu dan menghentikan persengketaan sesama sendiri. Semoga Islam kembali gemilang di muka bumi ini.

Islam Memimpin Perpaduan.

***YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Buruk.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo