NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dr Adham Baba tuntut permohonan maaf, ganti rugi daripada C4


KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini mengemukakan notis tuntutan permohonan maaf terhadap Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) yang mendakwa beliau terbabit dalam skandal memperoleh kontrak perolehan darurat Kementerian Kesihatan (KKM).

Notis itu disampaikan melalui Tetuan Fauzi dan Naseer, yang menuntut permohonan maaf terbuka dalam tempoh tujuh hari serta bayaran ganti rugi kerosakan.

Peguam, Naseer Yusof berkata, selain permohonan maaf, anak guamnya juga menuntut ganti rugi sebanyak RM30 juta kepada pihak yang mengeluarkan kenyataan berunsur tohmahan dan fitnah yang jelas merosakkan reputasi Dr Adham sebagai Menteri Kesihatan.

"Permohonan maaf itu perlu dilakukan di media sosial, laman web serta sidang akhbar dan setelah itu barulah budi bicara akan dilakukan terhadap tuntutan ganti rugi itu.

"Sekiranya ia tidak dilakukan dalam tempoh tujuh hari, maka kita akan memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi dan biar mahkamah yang menentukan siapa yang berada di pihak yang benar," katanya.

Beliau bersama beberapa peguam serta pegawai KKM hari ini hadir di pejabat C4 di Petaling Jaya untuk menghantar notis itu. Bagaimanapun pejabat itu tutup dan tiada kakitangan yang kelihatan bekerja.

Semalam, Pejabat KKM dalam satu kenyataan berkata, tuduhan mengatakan Dr Adham mempunyai kaitan dengan syarikat Khazanah Jaya Sdn Bhd (KJSB) yang memperoleh kontrak perolehan darurat bagi pelaksanaan 'Lab Maligation Solution For COVID-19' tidak benar, berniat jahat dan bersifat 'pembunuhan karakter'.

Mereka menegaskan Dr Adham tidak pernah mempunyai sebarang kepentingan perniagaan dalam KJSB atau pemegang saham syarikat terbabit, malah tidak pernah memberi sebarang arahan kepada pegawai kementerian supaya meluluskan pemberian kontrak kepada KJSB atau mana-mana syarikat.

Naseer menjelaskan, kenyataan yang mengaitkan Dr Adham mempunyai proksi untuk memperoleh bekalan tender itu serta pembabitan rasuah adalah sangat menjejaskan reputasi beliau.

"Tuntutan yang dilakukan Dr Adham hari ini adalah untuk memberi input kepada orang luar dan masyarakat di sana bahawa beliau seorang yang penuh berintegriti dan akan berdepan dengan pihak yang membuat tohmahan.

"Kita akan mempertimbangkan laporan polis tetapi disebabkan isu ini berkaitan civil kita menghantar notis tuntutan dahulu sebelum saman di mahkamah. Lagipun ia tidak membabitkan kes jenayah dan kita tidak mahu membebankan polis dengan isu begini," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo