NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'BERSATU tidak terburu-buru lucutkan keahlian Tun M'



Oleh Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau tidak terburu-buru dalam isu terlucutnya keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Empat yang lain ialah Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Presiden BERSATU itu mengakui, menerima banyak desakan supaya tindakan diambil lebih awal terhadap mereka, namun beliau mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan sebarang tindakan selaras perlembagaan parti.

"Saya sendiri tidak mengambil tindakan terburu-buru, walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil lebih awal.

"Saya mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan yang dibuat mestilah berlandaskan perlembagaan parti.

"Tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti," tegasnya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sambil meminta semua ahli BERSATU untuk bersabar dan bertenang, Muhyiddin menegaskan, kelima-lima pemimpin itu bukan dipecat, sebaliknya keahlian mereka terhenti serta-merta kerana melanggar perlembagaan parti.

Beliau juga mengakui dukacita dengan keputusan Dr Mahathir yang memilih untuk tidak sehaluan dengan hala tuju baharu BERSATU itu yang diputuskan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

"Tun (Dr Mahathir) bersama pengikutnya yang lain, memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), walaupun parti memutuskan sebaliknya.

"Jika itu pilihan Tun, saya ucapkan selamat maju jaya," katanya yang kini memangku jawatan Pengerusi BERSATU.

Muhyiddin mengajak ahli BERSATU untuk terus bersamanya bagi memperkukuh kerajaan yang ditubuhkan demi masa depan Malaysia yang lebih aman dan sejahtera.

Beliau yakin, BERSATU akan kekal teguh dan mampu untuk mengharungi kemelut ketika ini, seperti mana mereka menghadapi pelbagai cabaran sejak awal beliau menubuhkan parti itu.

"Kita menempuh banyak duri dan ranjau dalam perjuangan. Yang penting kita tidak berjuang demi mana-mana individu, tetapi demi agama, bangsa dan negara kita," katanya.

Kelmarin, keanggotaan Dr Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Maszlee dan Amiruddin sebagai ahli BERSATU terlucut susulan tindakan mereka memilih berada di barisan pembangkang ketika persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu, selaras Fasal 10.2.2 dan Fasal 10.2.3 perlembagaan parti itu.

Bagaimanapun, kelima-lima pemimpin itu menolak pelucutan keahlian itu dengan mendakwa tindakan berkenaan bertentangan dengan undang-undang serta menafikan hak mereka untuk membela diri.

Kemelut itu turut membawa kekeliruan mengenai status Setiausaha Agung BERSATU, dengan Muhyiddin sebelum ini melantik Datuk Seri Hamzah Zainuddin memegang jawatan itu pada Mac lalu, namun Datuk Marzuki Yahya mendakwa beliau kekal sebagai Setiausaha Agung parti yang sah.

Dr Mahathir turut berkeras masih Pengerusi BERSATU, namun dalam sidang media di ibu pejabat parti itu semalam, Hamzah menjelaskan, peletakan jawatan Dr Mahathir daripada jawatan itu pada 24 Februari lalu adalah sah dan diperakui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Hamzah turut memaklumkan, kelima-lima pemimpin itu tidak perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin BERSATU memandangkan keahlian mereka sudah tergugur, seperti diakui Pengerusinya, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/05/694351/bersatu-tidak-terburu-buru-lucutkan-keahlian-tun-m

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo