NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BERSATU: Dari mana dan hendak ke mana?


BERSATU/ PPBM YANG SAYA KENALI SEBELUM PRU14: DARI MANA DAN HENDAK KE MANA?

Alhamdulillah atas segalanya. Tulisan ini saya tulis di saat BERSATU kini dalam persimpangan dan seolah-olah sudah menjadi “BERDUA”. Saya juga telah membaca tulisan panjang YB Dr. Dr Maszlee Malik bertajuk “Apakah Masih Ada Masa Hadapan Buat Parti Keramat Ini?”. Hantaran Facebook tersebut menceritakan dilemanya setelah u-turn dalam sokongan kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelumnya dan u-turn juga dalam menerima jawatan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat MARA Corp.

Gambar pertama yang saya kongsikan ialah ketika program Syarahan Perdana “Asia Barat Bergolak: Ke Mana Kita?” oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS/ mantan Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia) pada 7 Januari 2017 bertempat di Auditorium MBSA Shah Alam.

Dalam gambar ini bersama saya ialah Tuan Kamaruzaman Mohamad (ketika itu AJK PAS Pusat dan kini Ketua Penerangan PAS), Dato' Dr. Rais Hussin Haji Mohamed Ariff (Pengerusi Biro Strategi dan Dasar BERSATU) dan Tuan Abu Bakar Yahya (Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan Ahli Majlis Tertinggi BERSATU).

Pada ketika ini, BERSATU berjinak-jinak dan berusaha untuk mendekati PAS untuk bersama dalam gabungan bagi berlawan dengan BN-UMNO dalam PRU14. Jika masih ingat, dalam tempoh ini beberapa siri ceramah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan BERSATU mula berceramah di atas pentas PAS. Mantera BERSATU ketika itu ialah Dato’ Seri Najib Razak mesti dijatuhkan dan BN-UMNO perlu dikalahkan.

Gambar kedua dan ketiga ialah pertemuan kami Pemuda PAS bersama YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut Kuala Lumpur pada 1 April 2016. Pertemuan tersebut berlaku selepas Pemuda PAS tidak bersetuju dengan Syed Saddiq yang menghentam Presiden PAS secara terbuka. Kami menjemput beliau bagi menjelaskan pendirian PAS kepada beliau.

Pertemuan mahabbah dan perbincangan bertukar-tukar fikiran dengan beliau ini bertujuan untuk merungkai salah faham dan melihat perspektif yang lebih benar. Sekali lagi dalam pertemuan, mantera Syed Saddiq yang sebenarnya mantera Tun M (ketika ini BERSATU belum ditubuhkan secara rasmi) ialah Dato’ Seri Najib Razak mesti dijatuhkan dan BN-UMNO perlu dikalahkan. Bagi PAS pula ialah kami komited untuk selamatkan Malaysia dengan Islam! Pendirian PAS ialah pada dasar dan isi dan bukan pada kepentingan individu.

Gambar keempat ialah gambar YB Dr Maszlee Malik dan Sdr Wan Saiful Wan Jan menghadiri Bengkel Perancangan Strategik Parti Amanah Negara (PAN) pada September 2015. Kedua-dua figura ini asalnya pendukung PAN namun menjelang PRU14 bersama BERSATU kerana antara (kemungkinan) sebabnya peluang bertanding lebih tinggi. Dr. Maszlee menang di Simpang Renggam, manakala Wan Saiful tewas di Pendang.

Wan Saiful dulunya adalah PAS manakala Dr. Maszlee diketahui umum pimpinan IKRAM. IKRAM ini banyak menyusup dan cuba mencatur di dalam pelbagai parti politik, namun sebelum PRU14 bahkan hingga kini ramai pimpinan mereka dalam PAN. Sekarang dalam “BERDUA”, Dr. Maszlee dikatakan bersama kem Tun Mahathir (tapi boleh berubah sebab sudah beberapa kali u-turn) manakala Wan Saiful bersama kem Tan Sri Muhyiddin.

Demikianlah serba sedikit catatan kenangan saya bersama BERSATU sebelum penubuhan dan di awal penubuhan sebelum PRU14. Persoalannya ialah, BERSATU: Dari mana dan hendak ke mana?

Sebagai penutup kepada hantaran ini, dikongsikan satu berita di Sinar Harian bertarikh 23 Jun 2019:

PAS DEDAH DIAJAK BERSAMA BERSATU, UMNO SEBELUM PRU14
KUANTAN, 23 Jun 2019: PAS mendedahkan pernah diajak menjalin kerjasama dengan BERSATU dan UMNO sebelum PRU14.
Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, PAS menolak pelawaan tersebut kerana berpegang kepada prinsip dan dasar yang meletakkan Islam di hadapan.
“Kalau kami nak senang, kalau kami nak dunia tanpa memikirkan prinsip, lebih baik kami bersama-sama dengan PH dulu sebelum PRU14.
"Pertemuan terakhir sekali saya, (Timbalan Presiden PAS) Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man, (Setiausaha Agung) Datuk Takiyuddin Haji Hassan, (bekas Pengarah Pilihan Raya) Datuk Mustafa Ali bincang di sebuah hotel di Bangsar.
“Dalam perbincangan tersebut kita minta supaya satu gabungan parti termasuk Gagasan Sejahtera untuk tolak DAP dan mereka (BERSATU) kata kalau nak tolak DAP kita tak boleh menang.
"Waktu itu belum ada PH, masih BERSATU yang diwakili (Presiden Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, (Timbalan Presiden) Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan (Naib Presiden Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman serta Ketua Dasar dan Strategi BERSATU Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff,” katanya dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-65, di sini hari ini.
Menurutnya, apabila pimpinan tertinggi BERSATU menolak syor untuk mengetepikan DAP, PAS memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan penyatuan tersebut.
“Kita (PAS) betul-betul minta maaf... Kalau nak bersama juga (dengan DAP) kami tarik ‘handbrake’," katanya.
Bukan itu sahaja, Idris turut memberitahu, sekiranya PAS hanya memikirkan soal pangkat dan kemenangan tanpa memikirkan prinsip Islam yang diperjuangkan sudah tentu mereka memilih untuk bersama UMNO sewaktu parti tersebut berkuasa sebelum ini.
“Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah dijemput dulu pada zaman kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi ‘one by one’ bincang nak bersama, kita kata tak boleh.
“Kalau nak fikir bab itu, kita tak bersama UMNO hari ini, tapi bersama masa UMNO ketika mereka jadi kerajaan dan ada kuasa dulu,” ujarnya.
Beliau memberi keyakinan kepada semua ahli dan penyokong PAS bahawa pimpinan tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang diberikan terutamanya melibatkan kerjasama dengan UMNO untuk berdepan pilihan raya akan datang.
Tanpa berselindung, Idris mengakui bukan mudah untuk mengorbankan perasaan apabila pimpinan membuat keputusan untuk bertaawun dan bertahaluf siyasi dengan UMNO pada PRU15 akan datang.
“Atas prinsip dengar dan taat, ia tidak boleh diterima dengan sekelip mata, ia mesti dibina. Bukan senang tuan-tuan kita nak terima UMNO, bukan senang, saya akur.
"Kita daripada kecil sudah berlawan dengan UMNO tapi sekarang tiba-tiba boleh duduk sepentas dengan mereka, bukan senang... kita terpaksa, kena korbankan perasaan kita.
“Kita boleh korban lembu lima atau 10 ekor di markas, belum tentu kita boleh korban perasaan kita. Sebab itu belajarlah untuk korban perasaan menerima segala gerak kerja yang telah diputuskan oleh jemaah,” jelasnya.
Katanya, semua ahli PAS harus mendengar arahan daripada pimpinan bersandarkan kepada politik kerana Islam.
“Kalau politik kata rugi, Islam kata untung, kita ambil yang Islam walaupun terpaksa kita alami kekalahan dalam pilihan raya. Kerana kita berpolitik untuk mati bukan berpolitik untuk bekalan hidup, ini amalan kita untuk bertemu dengan ALLAH.
“Kita mesti dengar arahan daripada pimpinan, biarlah orang kata kita golongan wala’un, takpalah kami wala’un bukan malaun sudahlah,” katanya.

Atas segalanya, siiru ‘ala baratillah, teruskan perjuangan liridhalLah. Bersama membina #MalaysiaSejahtera! #IslamMemimpinPerpaduan. šŸ‘šŸ‡²šŸ‡¾

Lebai Engineer;
Muhtar Suhaili As-Sarawaki,
AJK Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat.

https://www.facebook.com/100009760117468/posts/1186698624998797/?d=n

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo