Terengganu Bakal Jadi Hab Kenaf


Produk-produk kenaf terkenal dengan sifatnya yang mesra alam serta mudah lerai. Antara produk kenaf adalah bekas makanan 'biodegradable', fiber tilam, kit pakai buang hospital dan 'Pet Litter'.

Oleh : Muhammad A Rahman

SETIU, 7 April - Terengganu bakal menjadi hab kenaf di Malaysia selepas Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bercadang untuk mewujudkan  Kenaf Terengganu Valley seluas 10,000 hektar di daerah ini.

Menterinya, Dato' Dr Khairuddin Aman Razali berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam mengenalpasti kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan.

"Setakat ini, tanaman kenaf sudah ditanam sejak tahun 2016 di daerah Setiu seluas 230 hektar dan kawasan utama penanaman adalah di Kampung Guntung dan Kampung Bahagia.

"Terdapat 296 orang penanam berdaftar di Terengganu dan 119 daripada Setiu. Setiap seorang mengusahakan satu ke dua hektar tanah, jadi kita berhasrat untuk mengembangkan lagi," katanya ketika ditemui media kelmarin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LTKN) (Pengurusan dan Operasi), Idris Mohd Salleh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik LTKN, Mohd Fadzhel Mohd Nasir.

Tambah beliau, di Setiu juga terdapat kilang pemprosesan 'non-voven thermoboarding'.

"Yang terletak di Kampung Saujana dan ia merupakan satu-satunya di Malaysia," jelasnya.

Produk-produk kenaf terkenal dengan sifatnya yang mesra alam serta mudah lerai.

Antara produk kenaf adalah bekas makanan 'biodegradable', fiber tilam, kit pakai buang hospital dan 'Pet Litter'.

Sumber:https://www.teganukita.net/2020/04/terengganu-bakal-jadi-hab-kenaf.html

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post