NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sesungguhnya Tuan Guru lebih daripada layak


Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM

1. Keputusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah adalah satu keputusan yang bukan sahaja tepat, tetapi juga penting untuk kepentingan strategik negara – termasuk dalam situasi kita berhadapan krisis pandemik COVID-19.

2. Sesiapa yang mendalami kajian politik antarabangsa dan Asia Barat pasti akan bersetuju bahawa langkah ini cukup kritikal.

3. Ada yang bertanya mengapa kita memerlukan Duta Khas untuk Timur Tengah sedangkan kita sudah memiliki Menteri Luar iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

4. Jawapannya cukup jelas jika kita memahami orientasi dan hubungan politik luar kedua-dua Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan juga Datuk Seri Hishammuddin.

5. Datuk Seri Hishammuddin Hussein memiliki hubungan yang cukup erat dengan para pemimpin kerajaan monarki Arab seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, dan Kuwait.

6. Tuan Guru Abdul Hadi Awang pula cukup berpengalaman dan memiliki hubungan erat dengan gerakan Islamis di Timur Tengah seperti Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Ikhwanul Muslimin, Hamas Palestin, serta pelbagai gerakan Islam lain di Turki, Tunisia, Maghribi, Qatar, dan juga Iran – antara seteru monarki Arab.

7. Sinergi antara Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memiliki hubungan erat dengan pemimpin monarki Timur Tengah dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang memiliki hubungan mesra dengan para pemimpin dan gerakan Islamis ini pasti akan memberi manfaat kepada kepentingan strategik negara – termasuk dalam konteks kita berhadapan dengan COVID-19.

8. Sebagai contoh, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali (Ahli Parlimen PAS Kuala Nerus) telah berikrar untuk meneroka pasaran baru untuk industri sawit negara dan “bukan hanya bergantung kepada pasaran sedia ada sekarang iaitu minyak sawit melibatkan empat negara utama iaitu India, China, Eropah dan Amerika Syarikat”.

9. Di sini dalam potensi industri sawit sahaja kita boleh memanfaatkan sinergi Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk membantu hampir sejuta rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang minyak sawit khususnya.

10. Begitu juga dalam isu Palestin dan Baitulmaqdis yang dijajah Zionis Israel serta disokong Amerika Syarikat. Ketegasan Tuan Guru Abdul Hadi Awang bakal memposisikan Malaysia sebagai negara yang tidak mudah tunduk dengan imperialisme Zionis.

11. Jelas Perdana Menteri sendiri dalam kenyataan media beliau merujuk pada ketokohan Tuan Guru Hadi Awang yang bukan sahaja bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, tetapi juga diiktiraf sebagai antara 500 Muslim Berpengaruh di Dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani dari The Royal Islamic Strategic Studies, Jordan pada 2016.

12. Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Sains Politik dari Universiti Al-Azhar (Mesir) dan Ijazah Sarjana muda Syariah dari Universiti Islam Madinah, Arab Saudi.

13. Ketika ramai masih terperangkap dengan pemikiran sempit yang hanya melihat geopolitik dengan pandangan hitam putih dua kutub sahaja yang kaku, jumud, dan rigid – seperti hanya antara ‘Iran vs Arab Saudi’, atau ‘Amerika vs Rusia’, atau ‘Iran vs Amerika’, ‘Syiah vs Sunni’, atau ‘Turki vs Syria’ semata-mata, Tuan Guru Abdul Hadi Awang jelas menegaskan sudut pandang kepentingan geopolitik Islam merentas negara-bangsa tertentu sahaja – bahkan bersifat fleksibel menurut keutamaan semasa.

14. Pendirian Tuan Guru Abdul Hadi Awang ini bersifat mengutamakan kelompok negara yang lebih utama dalam memberikan hasil positif kepada kepentingan politik Islam, tanpa meletakkan kebergantungan kepada satu kuasa semata-mata.

15. Dalam masa yang sama, beliau tidak hanya meletakkan sandaran kepada negara-negara Islam semata-mata, sebaliknya turut mendukung kerjasama dengan negara kuasa besar yang mampu mengimbangi kuasa besar yang lebih memudaratkan kepentingan politik Islam. Jelas, Rusia ialah kuasa besar yang memberi lebih banyak manfaat kepada perjuangan politik Islam.

16. Ringkasnya, pendirian Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah seperti berikut: umat Islam perlu berusaha untuk mengimbangi pengaruh Amerika dengan Rusia. Antara Iran dengan Amerika, umat Islam perlu memberi sokongan kepada Iran. Hal ini cukup jelas kerana Iran membantu perjuangan Hamas dan Jihad Islam di Palestin, di samping mengimbangi Zionis yang disokong Amerika di Lubnan melalui Hezbollah. Namun begitu, umat Islam tidak hanya 100% bergantung pada Iran, tetapi juga perlu memberi sokongan kepada Turki dan Qatar serta negara-negara Islam lain yang menyokong perjuangan Islam. Apa yang pasti, sokongan tidak diberi imperialisme Amerika serta Zionis Israel.

17. Iran pula seperti mana menurut Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri, “menunjukkan perubahan kerajaannya yang tidak terikat dengan Feqah Syiah yang fanatik dalam pemerintahannya kepada sistem Islam yang demokratik yang mereka sebut Wilayah Al-Faqeh”. Hal ini jelas membezakan Iran di bawah Ayatollah Ruhollah Khomenei dahulu dengan Ayatollah Ali Khamenei hari ini.

18. Justeru seruan beliau: “Marilah kita bersatu menghadapi Israel dan sekutunya terlebih dahulu, kemudian selesaikan isu Sunni dan Syiah secara dalaman dan ukhuwwah dalam satu keluarga Islam dalam perkara rukun dan asas, walaupun berkhilaf cabangnya”.

19. Semoga Allah membantu Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam menjalankan tugas beliau sebagai Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah.

Seeru A'la Barakatillah

***Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo