Rakyat bekerja sendiri hanya ada simpanan kurang satu bulan


SHAH ALAM - Kajian Jabatan Perangkaan mendapati 71.4 peratus rakyat yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi kurang daripada satu bulan susulan kesan daripada wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, 77.2 peratus majikan dan 82.7 peratus pekerja swasta pula mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga dua bulan.

"Manakala 78.9 peratus pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan 75.2 peratus pekerja syarikat multinasional (MNC) mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga empat bulan," katanya menerusi Kajian Khas Kesan Covid-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 1) di dikeluarkan di sini hari ini.

Kajian itu dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan secara atas talian pada 18 hingga 31 Mac lalu dan ia mengandungi 21 soalan meliputi modul umum, modul pekerjaan dan modul perbelanjaan

Seramai 168,182 responden meliputi seluruh Malaysia mengikuti kajian tersebut dan kakitangan awam dikecualikan daripada analisis.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, tempoh bekerja mempengaruhi simpanan seseorang pekerja dan didapati sebanyak 69.7 peratus yang telah bekerja dalam tempoh kurang daripada satu tahun dan 63.2 peratus yang bekerja dalam tempoh satu hingga tiga tahun, masing-masing simpanan kewangannya hanya bertahan kurang daripada satu bulan.

"Sebanyak 25.4 peratus yang bekerja empat hingga 10 tahun dan 27.5 peratus yang bekerja 11 hingga 20 tahun pula mempunyai simpanan yang mencukupi sehingga dua bulan, manakala 11.4 peratus yang bekerja 21 hingga 30 tahun dan 11.7 peratus yang bekerja lebih daripada 30 tahun mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga empat bulan," katanya.

Sumber: https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/covid-19/Analisis_Survei_Khas_Kesan_COVID-19_Kepada_Ekonomi_dan_Individu-Laporan_Penuh.pdf


Mohd Uzir menjelaskan, sebanyak 46.6 peratus daripada 168,182 responden yang menyertai kajian itu mengakui telah hilang pekerjaan kesan daripada wabak tersebut.

"Sembilan daripada 10 responden yang masih bekerja juga mengakui mengalami pengurangan pendapatan daripada biasa dengan sektor pertanian dan perkhidmatan merekodkan peratusan kehilangan pekerjaan lebih tinggi berbanding lain," ujarnya.

Selain itu, hasil dapatan kajian ini menunjukkan sektor pertanian dan perkhidmatan mencatat peratusan kehilangan pekerjaan yang lebih tinggi berbanding sektor lain iaitu masing-masing sebanyak 21.9 peratus dan 15.0 peratus.

“Sebanyak 33 peratus pekerja di sub sektor perikanan melaporkan kehilangan pekerjaan manakala di pertanian dan perladangan sebanyak 21.1 peratus, manakala di sub sektor perkhidmatan makanan dan minuman pula merangkumi 35.4 peratus diikuti sub sektor pengangkutan dan penyimpanan dengan 18.7 peratus.

Tambah beliau, secara keseluruhan, didapati perubahan pola perbelanjaan keperluan harian yang signifikan sebelum dan semasa penularan Covid-19.

"Aktiviti membeli bahan mentah untuk dimasak di pasar, pasar raya dan kedai runcit menunjukkan pola pembelian semasa penularan Covid-19 mula bergerak ke arah kelompok kekerapan kadang-kadang dan jarang-jarang berbanding sebelum penularan Covid-19.

"Berlaku perubahan bagi aktiviti makan di restoran, makan di restoran makanan segera dan menonton wayang di panggung wayang di mana kelompok pengguna lebih tertumpu kepada tidak melaksanakan aktiviti tersebut semasa penularan," ujar beliau.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/78120/KHAS/Koronavirus/Rakyat-bekerja-sendiri-hanya-ada-simpanan-kurang-satu-bulan

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post