TEPAT. TELUS. TERKINI.

Percaturan di Laut China Selatan

oleh:  Zaki Salleh

INSIDEN pelanggaran pesawat pengintip EP-3E ARIES II milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dengan jet pemintas J-8II Tentera Udara Republik Rakyat China pada 1 April 2001 telah mencetuskan ketegangan antara Washington-Beijing pada masa itu.

Kejadian yang berlaku kira-kira 110 kilometer (km) dari Pulau Hainan apabila pesawat EP-3E itu sedang melakukan intipan sebelum dipintas dua buah jet J-8II. Pelanggaran di ruang udara itu menyebabkan sebuah jet J-8II terhempas di laut lalu mengorbankan juruterbangnya.

Pesawat EP-3E yang membawa 24 kru itu pula mengalami kerosakan lalu terpaksa mendarat di pangkalan tentera China di Pulau Hainan. Selepas 11 hari menjadi tahanan, kru pesawat kemudian dibebaskan sebelum kembali ke pangkalan mereka di Pulau Whidbey dekat Hawaii dan disambut pulang sebagai wira.

Washington bertegas bahawa pesawat berkenaan terbang di kawasan perairan antarabangsa manakala China mendakwa sebaliknya. Beijing berkeras bahawa Laut China Selatan di bawah wilayahnya biarpun berada dalam zon yang turut dituntut oleh Taiwan, Filipina dan Vietnam.

Peristiwa yang dikenali sebagai Insiden Hainan itu adalah yang paling buruk melibatkan dua negara kuasa itu di perairan Pasifik. Pada masa itu, Presiden George Bush telah pun melabel China sebagai negara pesaing selain ragu-ragu dengan kebangkitan kuasa ekonomi dan ketenteraan Beijing.

Justeru, situasi mutakhir di Laut China Selatan ketika ini seolah-olah membayangi ketegangan yang berlaku 19 tahun lalu berikutan provokasi Beijing di perairan yang merupakan laluan perdagangan penting.

Dunia kini memberi tumpuan apabila Washington mengerahkan tiga kapal perang diketuai USS America yang membawa 31 buah pesawat termasuk jet tempur termoden F-35B belayar ke Laut China Selatan sebagai langkah bagi menstabilkan keamanan di perairan tersebut.

Reaksi AS itu adalah bagi melindungi kepentingan sekutunya, Filipina selain dilihat sebagai amaran kepada China agar berhenti membuli negara-negara kecil di rantau ini berhubung penguasaan di Laut China Selatan.

Tuntutan China berdasarkan nine dash line itu tidak selaras dengan peruntukan undang–undang antarabangsa termasuklah peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Undang–Undang Laut 1982.

Aktiviti penggalian minyak dan gas oleh kapal West Capella yang disewa Petronas dekat perairan negara juga diganggu kapal hidrografi China, Haiyang Dizhi 8 selain rondaan kapal-kapal pengawal pantai China yang saiznya menyamai kapal perang.

China turut melakukan provokasi dekat perairan Taiwan. Pada Mac lalu, misalnya, jet-jet Taiwan telah memintas pesawat radar amaran awal KJ-500 dan jet tempur J-11 milik China yang melakukan latihan penerbangan malam mendekati Selat Taiwan.

Armada kapal-kapal perang China diketuai kapal pembawa pesawat Liaoning turut dikesan melalui Selat Taiwan pada Januari lalu. Walaupun tidak memasuki perairan negara itu tetapi kapal-kapal perang itu dikesan melintasi zon kawalan pertahanan udara.

Apakah mungkin China benar-benar ingin merealisasikan impian untuk menjadi penguasa Laut China Selatan?

Jika melihat di atas kertas, kemampuan China untuk menjadi negara kuasa tentera global seperti AS masih jauh. Ini kerana AS masih mendominasi kemajuan teknologi pertahanan mutakhir selain kedudukannya sebagai peneraju dalam Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Bagaimanapun, Beijing dilihat mengidamkan gelaran tersebut apabila giat membina pangkalan di luar negara secara perlahan-lahan termasuklah di Laut China Selatan. Dalam konteks serantau, China kini merupakan negara kuasa terunggul di Asia dan dilihat telah membayangi AS.

Paling ketara ialah kemampuannya muncul negara kuasa ekonomi dunia serta peneraju dalam pelbagai teknologi industri. China juga dilihat pantas mengekori AS dalam pembangunan teknologi ketenteraan.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu
Reactions:

Post a comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget