NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelan tindakan persekolahan pasca PKP


SIDANG MEDIA MENTERI KANAN PENDIDIKAN
15 APRIL 2020
_________________________________________________________

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.
1. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengucapkan terima
kasih kepada hampir 500 ribu guru yang telah mengambil pelbagai
inisiatif dalam memastikan penyampaian pengajaran dan
pembelajaran (PdP) kepada anak didik mereka terus berjalan
walaupun dalam keadaan sukar semasa pelaksanaan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP).

2. Terima kasih juga kepada ibu bapa kerana telah bersama-sama
KPM dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah.

3. Seperti mana yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri dalam
perutusan khas beliau pada 10 April 2020, sesi persekolahan akan
ditangguhkan dahulu sehingga kita benar-benar yakin keadaan
telah kembali pulih.

4. Pada masa yang sama, KPM memahami semangat berkobar-kobar
lebih lima (5) juta anak-anak yang ingin kembali ke sekolah untuk
belajar seperti biasa dan bertemu guru-guru serta rakan-rakan.
Kami juga memahami kebimbangan ibu bapa tentang keselamatan
dan kesihatan anak-anak apabila sekolah dibuka semula.

5. Menyedari bahawa isu persekolahan ini melibatkan hampir setiap
lapisan masyarakat, KPM telah mengadakan beberapa sesi
perbincangan bersama-sama exco pendidikan negeri, wakil
daripada majlis agama Islam negeri, pengarah pendidikan negeri,
pegawai pendidikan daerah, gabungan majlis pengetua serta guru
besar, persatuan ibu bapa dan komuniti, pengusaha sekolah
swasta, antarabangsa dan pusat bahasa, guru, pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) dan persatuan yang berkaitan dengan pendidikan.
Kami juga telah mendapatkan pandangan daripada ibu bapa dan
guru melalui pelbagai saluran.

6. Selain itu, KPM juga telah mengadakan perbincangan secara
mendalam dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan
Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan dengan pembukaan
semula sekolah.

7. Kami mengucapkan terima kasih atas keprihatinan, pandangan dan
cadangan yang telah diberikan. Secara umumnya, dapatan
daripada sesi perbincangan ini menunjukkan secara jelas bahawa
aspek keselamatan dan kesihatan murid mesti diutamakan.
PEMBUKAAN SEMULA SEKOLAH

8. KPM memahami bahawa ibu bapa bimbang sekiranya mereka tidak
dapat membuat persediaan sewajarnya jika pengumuman
pembukaan semula sekolah dibuat secara tiba-tiba. Ibu bapa tidak
perlu risau. KPM akan sentiasa berbincang dengan KKM untuk
menetapkan tarikh yang sesuai bagi pembukaan semula sekolah.
KPM akan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah sekurangkurangnya dua (2) minggu sebelum sekolah dibuka.

9. Keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan ini hanya
akan dibuat apabila kita benar-benar yakin keadaan telah kembali
pulih. Pada peringkat ini, pembukaan sekolah hanya melibatkan
kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil
Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
(STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan
antarabangsa yang setara.

10. Apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan,
kebersihan, dan pengawalan penularan jangkitan termasuklah
amalan penjarakan sosial akan diberi keutamaan. KPM telah
menyediakan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca PKP
yang mesti dirujuk oleh pihak sekolah dan ibu bapa bagi
memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar dan Pengajaran
dan Pembelajaran berlaku dalam keadaan selamat.

11. Calon-calon peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM pastinya
tertanya-tanya sama ada terdapat perubahan kepada tarikh
peperiksaan mereka.

12. KPM ingin memaklumkan bahawa tarikh peperiksaan SPM dan
SVM akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021.
13. Untuk calon STPM, tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada
bulan Ogos 2020, manakala peperiksaan Semester 3 akan
diadakan dalam suku pertama tahun 2021.

14. Peperiksaan STAM juga akan diadakan dalam suku pertama tahun
2021.

15. Menyedari bahawa penundaan tarikh peperiksaan ini akan memberi
kesan kepada kemasukan ke peringkat pengajian tinggi, KPM dan
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk
menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institusi pengajian
tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma
sehingga Julai atau Ogos 2021 manakala program ijazah pada
September atau Oktober 2021.

PEMBATALAN UPSR DAN PT3
16. Ibu bapa tentu bertanya, bagaimana pula dengan murid-murid yang
bakal menduduki peperiksaan UPSR dan PT3 tahun ini?

17. KPM ingin memaklumkan bahawa Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020
dibatalkan.

18. Pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap
tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat
rendah kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah
lain. Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada
kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh
(SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab
Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD),
KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang
tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata.

19. Pembatalan PT3 tidak akan menjejaskan penilaian tahap
penguasaan murid di peringkat menengah rendah. Satu kaedah
baharu akan diperkenalkan. Keputusan yang diperoleh dari kaedah
ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan
ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan
sekolah teknik.

20. KPM akan memastikan dalam apa jua keadaan pun, akses murid
kepada PdP tetap diberikan keutamaan.

21. Keputusan ini akan terpakai kepada semua sekolah kerajaan,
sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi
pendidikan yang berdaftar dengan KPM. Sekolah yang tidak
berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti
keputusan ini.

22. Sekali lagi KPM ingin menegaskan bahawa pembukaan semula
sesi persekolahan selepas PKP adalah tertakluk kepada
perkembangan semasa dan nasihat daripada KKM dan MKN.
Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa
setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid.
23. Sekian, terima kasih.

Kementerian Pendidikan Malaysia
15 April 2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo