NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pasca Wabak Covid-19 : Imperialisme Amerika Syarikat Dan Geopolitik Dunia Bakal Berubah.


oleh: YB Muhammad Khalil Abdul Hadi

Wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia saat ini banyak menjejaskan kestabilan geopolitik dunia mahupun ekonomi secara keseluruhan. Menurut World Trade Organization ( WTO ), ekonomi dunia akan jatuh di antara 13% - 32% tahun ini malah lebih buruk daripada krisis kewangan dunia pada 2009 yang hanya mencatatkan penurunan sebanyak 12%.

Menurut WTO lagi, ekonomi dunia hanya akan pulih pada 2021 pada kadar 21% - 24%, itu pun bergantung kepada durasi jangkitan secara keseluruhan wabak Covid-19 di seluruh dunia dan juga keberkesanan langkah – langkah yang diambil untuk menghentikan jangkitan tersebut daripada menular. Menurut Ketua Pengarah WTO Roberto Azevedo, ekonomi dunia akan pulih pada 2021 jika semua negara berkerjasama untuk menanganinya.

Dalam masa yang sama, perang harga di antara pengeluar – pengeluar minyak mentah terbesar dunia juga turut menunjukkan kesan ketara kelembapan ekonomi dunia disebabkan wabak Covid-19. Kekurangan permintaan terhadap minyak mentah dunia yang menyebabkan harganya jatuh menjunam memberi kesan besar dari sudut kewangan terhadap negara pengeluar.

Kesatuan Negara Pengeluar Minyak Dunia ( OPEC ) yang diketuai oleh Arab Saudi, Rusia dan Amerika Syarikat tidak mampu mencapai kata sepakat bagaimana untuk menstabilkan harga minyak lalu menyebabkan harga minyak mentah menjunam pada harga USD25.68 setong, harga paling rendah sejak 2013 yang sehingga hari ini tidak menunjukkan jalan penyelesaian.

Kesemua faktor – faktor di atas menunjukkan tekanan ekonomi yang besar ke atas negara – negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, Jepun, negara – negara Kesatuan Eropah dan beberapa negara maju lagi yang menjadi tunjang ekonomi dunia. Tekanan ekonomi berkenaan sebenarnya mampu merubah keadaan geopolitik dunia kerana negara – negara tersebut menggerakkan strategi dan pengaruh mereka menggunakan sumber kekayaan masing – masing.

Namun saat ini di sebalik dunia sedang bertungkus – lumus berperang dengan pandemik wabak Covid-19 yang telah menyebabkan hampir 100,000 kematian dan telah menjangkiti hampir 1.6 juta orang, wujud satu lagi perang yang tidak diketahui umum iaitu perang di antara kuasa – kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat, China dan Rusia namun tumpuan utamanya ialah di antara Amerika Syarikat dan China.

Ia adalah peperangan antara dua kuasa besar ekonomi dunia yang ingin mengukuhkan tapak masing – masing dalam kekuasaan geopolitik dunia. Amerika Syarikat sememangnya telah menggunakan segala kuasa yang ada dalam usaha untuk menyekat China menjadi “ powerhouse “ ekonomi dunia. Inisiatif China melalui kempen “ Belt and Road “ dalam usaha untuk menguasai ekonomi dunia sanggat memberangsangkan.

Inisiatif tersebut telah menggusarkan Amerika Syarikat kerana ia mampu melenyapkan kapitalisma perdagangan yang dikuasainya selama ini dan dijangka berupaya melonjakkan China menjadi kuasa besar ekonomi dunia. Jika ini berlaku, China dilihat berkeupayaan untuk menguasai bukan sahaja ekonomi malah dilihat mampu merubah ekosistem geopolitik dunia sekarang yang dikuasai Amerika Syarikat.

Ia bukan hanya memanfaatkan China malah sekaligus ia turut memanfaatkan Rusia yang menjadi pesaing utama kuasa geopolitik Amerika Syarikat di dunia terutamanya sekarang di Timur Tengah. Jika Amerika Syarikat lemah, Rusia akan menguasai geopolitik dunia dan China akan menjadi kuasa besar ekonomi dunia. Segala yang dikuasai Amerika Syarikat akan dikuasai oleh China dan Rusia.

Dollar yang menjadi matawang utama perdagangan dunia mungkin akan beralih kepada matawang lain. PBB, WTO, WHO dan beberapa badan utama dunia yang lain mungkin akan dikuasai oleh China dan Rusia. Amerika Syarikat tentunya tidak akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dari membiarkan ini berlaku kerana perkara tersebut sudah lama dihidu dan dijangka. Oleh itu apabila Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, tindakan utamanya ialah menghalang China baik dari sudut ekonomi mahupun politik.

Salah satunya ialah perang perdagangan Amerika Syarikat – China. Amerika Syarikat telah mengenakan hampir USD360 billion tarif atas barangan import China ke Amerika Syarikat. Huawei, pengeluar terbesar barangan telekomunikasi dunia telah dikenakan pelbagai sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat malah Ketua Pegawai Kewangan Huawei Meng Wanzhou turut ditahan di Kanada atas arahan Amerika Syarikat.

Namun penularan wabak Covid-19 telah merencatkan rancangan Amerika Syarikat malah wabak tersebut dengan sendirinya telah menjejaskan Amerika Syarikat dengan teruk terutamanya ekonomi. Lebih 3 juta orang kehilangan pekerjaan di Amerika Syarikat. Lebih dari 16 juta orang menuntut insuran bantuan akibat kehilangan pekerjaan. Perusahaan – perusahaan besar banyak menutup operasi malah banyak syarikat gulung tikar.

Malah pengumuman insentif ekonomi sebanyak USD 2 trillion oleh Pentadbiran Amerika Syarikat dilihat tidak mampu menyelesaikan kekusutan ekonomi Amerika Syarikat saat ini menurut pakar – pakar ekonomi kerana mereka menjangkakan ia akan mengambil masa yang agak lama untuk pulih. Bagaimanapun di China, lain pula keadaannya.

Kerajaan China mengumumkan telah berjaya keluar dari wabak Covid-19 dan telah mula merancakkan sektor ekonominya. Biro Statistik China pada Mac 2020 telah mengumumkan hampir 96.6% industri besar dan sederhana China telah kembali beroperasi. Purchasing Manager Indeks ( PMI ) untuk bulan Mac juga telah meningkat kepada 52 mata, meningkat 24.1 mata dari bulan Februari. Hampir 80% tenaga kerja telah mula berkerja di semua sektor di China.

Kesemua faktor tersebut membimbangkan Amerika Syarikat yang sedang bergelumang menyelamatkan ekonomi mereka dari terjerumus ke arah kemelesetan ekonomi. Maka Donald Trump dan pentadbirannya sekali lagi menyerang China dengan mengelarkan Covid-19 sebagai “ China Virus “. Apa pun cubaan retorik Donald Trump saat ini dilihat tidak mampu menghalang China. “ Old Establishment “ yang melihat perkara ini mula menyuarakan kebimbangan Amerika Syarikat akan hilang pengaruh dan kekuasaan.

Salah seorangnya ialah Henry Kissinger, bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat yang mempunyai pengaruh besar dalam ” establishment “ politik Amerika Syarikat hingga saat ini. Dalam tulisannya di Wall Street Journal pada 3 April 2020, Henry Kissinger telah menggariskan beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh Donald Trump dan pentadbirannya dalam menangani wabak Covid-19 yang sedang menular dengan pantas di Amerika Syarikat.

Selain daripada beberapa perkara yang diutarakan seperti mengetengahkan teknik dan kajian terperinci menggunakan “Artificial Intelligence “ dalam usaha untuk menangani wabak Covid-19 serta pembuatan vaksin dan kerjasama dunia dalam memulihkan ekonomi secara menyeluruh, perkara yang paling menarik yang dinukilkan oleh Henry Kissinger ialah keperluan untuk memelihara prinsip “ Liberal World Order “.

Menariknya ia adalah seakan seruan untuk mempertahankan penguasaan imperialisme Amerika Syarikat ke atas dunia sambil menjelaskan bahawa penguasaan ke atas dunia mampu membantu dan menangani jika wabak seperti ini kembali lagi. Sambil menjelaskan bahawa prinsip tersebut harus dipertahan, ia sebaliknya menjelaskan bahawa jika gagal, ia mampu membakar kekuasaan Amerika Syarikat ke atas dunia.

Menteri Pendidikan Brazil Abraham Weintraub hampir mencetuskan perbalahan diplomatik apabila satu ciapan tweetnya menimbulkan kemarahan Kerajaan China. Dalam ciapan tweeternya, beliau menulis “ Geopolitiknya, siapa yang akan menjadi bertambah kuat daripada krisis global yang dihadapi saat ini. Siapa di Brazil yang bersekongkol dengan pelan tidak sempurna ini untuk mendominasi dunia “.

Jika diamati apa yang berlaku sekarang serta kelebihan yang China akan perolehi akibat wabak Covid-19 ini, adalah lojik bahawa China mempunyai banyak kelebihan berbanding negara – negara lain di dunia akibat daripada penularan wabak Covid-19. Saat seluruh dunia sedang bertungkus – lumus memerangi wabak Covid-19, China telah mula membangunkan kembali ekonominya yang besar kemungkinan tidak mampu dikejar oleh negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Apa yang paling menarik ialah ulasan Talal Abu Ghazalah, seorang pelabur dan pemikir terkenal yang berasal dari Jordan di portal berita Al-Quds pada 9 April baru – baru ini. Beliau meramalkan bahawa dunia akan berhadapan dengan krisis ekonomi pada 2020 seterusnya akan berlaku perang dunia ketiga yang membabitkan Amerika Syarikat dan China yang akan mengakibatkan peralihan kuasa geopolitik yang menukar haluan era baru dunia.

Jelas Talal Abu Ghazalah, jelas sekarang yang paling terancam ialah Amerika Syarikat yang dilihat akan mengalami kemelesetan ekonomi kesan daripada wabak Covid-19. Dengan defisit tahunan sebanyak USD 1 trillion, Donald Trump tidak mahu akan berlaku kemelesetan ekonomi tambahan pilihanraya Presiden akan menjelang tidak lama lagi.

Menurut beliau lagi, daripada kajian – kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat serta dengan keadaan yang dijelaskan sebelum ini, Donald Trump berkemungkinan akan memulakan perang dengan China dengan tujuan untuk memaksa China ke meja rundingan yang jelas sekali hingga saat ini Donald Trump tidak mampu melakukannya. Malah menurut beliau, China dan India dijangka mampu menyerap kesan kelembapan ekonomi dunia lebih baik berbanding Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Jika dilihat secara keseluruhan kesemua senario di atas serta membandingkan dengan keadaan semasa sekarang, ia adalah tidak mustahil untuk berlaku apatah lagi pergelutan Amerika Syarikat apabila melihat gengamannya ke atas kekuasaan dunia sudah hampir hilang. Seperkara lagi jika dikaji setiap kali hampir pilihanraya Presiden Amerika Syarikat akan berlangsung dan pengaruh Presiden mula berkurangan terutamanya dari kalangan Republikan, pasti perang akan berlaku.

Apa sekalipun berlaku, negara – negara Dunia Islam haruslah bertindak sekarang. Terlambat, Dunia Islam akan jadi mangsa ketamakan kuasa imperialisme dunia yang sedang menggila mencari sebab untuk menjajah secara senyap. Dunia Islam sebenarnya kuat tetapi kerana tiada kesatuan, pentingkan diri sendiri dan tidak menjadikan Islam sebagai asas perpaduan maka Islam akan terus dirundung malang dan berada dalam kegelapan.

Kembalikanlah kekuatan dan kesatuan Dunia Islam. Saat ini seharusnya dijadikan iktibar betapa lemahnya Dunia Islam apabila bertindak sendirian walau dalam kebenaran. Semoga Umat dan Dunia Islam dilindungi Allah SWT daripada malapetaka dan bencana. Selamatkan umat dan Dunia Islam. Semoga Islam kembali gemilang dan memimpin dunia.

Islam Memimpin Perpaduan.

***YB Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Buruk.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo