Menelusuri sejarah konflik maritim di Laut China Selatan


oleh:  Nor Azizuddin Abdul Manan

SEJAK bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Majlis Keselamatan Negara pada 18 Mac sehingga sekarang seakan memberikan peluang kepada penjenayah dan penceroboh kedaulatan maritim negara kita bermaharajalela. Siapa lagi kalau bukan Armada Angkatan Laut Republik Rakyat China (China Coast Guard) yang menceroboh sempadan maritim negara kita, Malaysia sehingga mendorong Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengeluarkan kenyataan membidas sikap membuli negara China terhadap negara-negara yang berada di sekitar Laut China Selatan ("LCS").[1]

Sikap pembulian negara China bukan hanya melibatkan Malaysia, kapal perang China turut menceroboh perairan negara Vietnam pada 14 April yang lalu. Hal ini mengundang kemarahan Vietnam terhadap pentadbiran Beijing. Perbuatan ini jelas disengajakan oleh China ketika mana dunia amnya dan negara-negara ASEAN khasnya sedang bergelut dengan pendemik Covid-19. [2]
[Isu tuntutan Malaysia ke atas gugusan pulau-pulau kecil di LCS]

Muhammad Ali Alwi (1991) menyatakan bahawa permulaan kepada krisis dan konflik Laut China Selatan berasaskan kepada perebutan gugusan-gugusan kepulauan kecil di mana Laut China Selatan yang memilik empat gugusan Pulau iaitu Pratas, Paracal, Maccalesfield dan Spratly. Dari keempat pulau ini, hanya dua pulau sahaja yang menjadi rebutan iaitu Paracel dan Spratly yang dituntut sebanyak enam buah negara iaitu Brunei, Filipina, China, Veitnam, Taiwan dan Malaysia.[3]

Pertama : Kepulauan Spratly dan Terumbu Layang-layang

Krisis pergelutan keenam-enam perkara itu terjadi selepas Jepun menyerah kalah dan meninggalkan Spratly pada Perang Dunia Kedua. Filipina dan Vietnam mengambil alih beberapa pulau di gugusan itu bermula tahun 1960-an diikuti China dan Malaysia lewat tahun 1970-an. Kesemua enam negara Asia itu bersetuju dengan Deklarasi Manila bagi mengelakkan konflik di kawasan tersebut pada tahun 1992 dan perjanjian itu dipanjangkan sehingga tahun 2002. Pada tahun 2005, China dan Filipina menandatangani persetujuan bagi melindungi minyak dan gas di kawasan itu tetapi selepas beberapa tahun, konflik itu kembali timbul disebabkan permusuhan ketenteraan laut. Filipina dan Vietnam menuduh China cuba menjalankan sabotaj ke atas eksplorasi minyak di kawasan persekitaran. [4]

Mohd Foad Sakdan dan Ahmad Martadha Mohamed (2014) menyatakan bahawa konflik tuntutan ke atas kepulauan Spratly ini telah bermula sejak Perang Dunia Kedua. Namun sehingga tahun 1950 masih tidak wujud lagi tuntutan yang sah dibuat ke atas kepulauan ini dan ia hanya dianggap sebagai halangan terhadap pelayaran. Bagaimanapun pada hari ini tiada satu negara pun yang dapat menuntut sepenuhnya hak kedaulatan ke atas kepulauan Spratly tanpa dicabar oleh negara-negara yang berhampiran. Negara-negara yang terlibat dalam kemelut tuntutan bertindih kepulauan Spratly ini terdiri daripada China, Taiwan, Vietnam, Filipina, Malaysia dan tidak ketinggalan Brunei. Namun antara tahun 1980 hingga 1990 telah bermula perlumbaan untuk menyokong tuntutan ke atas kedaulatan oleh negara-negara yang terlibat di dalam tntutan bertindih ke atas dengan kepulauan Spratly ini dengan menduduki pulau-pulau yang dapat menampung kehidupan atau membina 'marker' atau petanda di mana pulau itu tidak dapat menampung kehidupan.

Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan kepulauan Spratly menjadi rebutan iaitu dari aspek kedudukannya yang strategik dan ekonomi. Dari sudut strategik di mana kedudukannya yang terletak di tengah-tengah laluan utama timur dan Barat. Manakala dari aspek ekonomi, gugusan kepulauan Spratly ini dikatakan mempunyai sumber galian yang masih belum diterokai lagi. Kedua-dua aspek ini menyebabkan penyelesaian terhadap isu ini sukar dicapai.

China dan Taiwan menuntut pulau ini berdasarkan faktor sejarah. Tuntutan Filipina terhadap kepulauan itu adalah berdasarkan prinsip terra nullius dan berbeza daripada prinsip terra nullius dan berbeza daripada prinsip tuntutan negara-negara lain. Sementara itu tuntutan Malaysia dan Brunei ke atas kepulauan Spratly adalah berdasarkan Pentas Benua. Secara keseluruhannya konflik Spratly ini mempunyai potensi untuk diselesaikan melalui undang-undang antarabangsa. Walau bagaimanapun undang-undang antarabangsa itu sendiri terutamanya dalam undang-undang persempadanan perlu diperjelaskan dengan lebih terperinci bagi meningkatkan kredibilitinya. Di samping itu juga negara-negara yang menuntut perlulah bekerjasama dan lebih komited untuk menyelesaikan masalah ini. Sesungguhnya isu Spratly ini sangat kompleks dan penyelesaian yang konkrit tidak mungkin dicapai dalam masa yang terdekat ini.[5]

Selain itu juga konflik di Spratly turut melibatkan Pulau Layang-Layang atau Terumbu Layang-Layang adalah sebuah pulau yang merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly. Kerajaan Malaysia telah memantau pulau ini dan menegaskan bahawa pulau ini adalah kepunyaan Malaysia kerana kedudukannya yang berada berhampiran dengan Sabah. Pulau ini juga dituntut oleh negara Republik Rakyat China, Taiwan, Filipina dan Vietnam. Pulau ini merupakan tuntutan negara Malaysia terhadap sebahagian daripada pemilikan di Kepulauan Spratly kerana ia berdekatan dengan kawasan tanah berhampiran Sabah.

Setelah Kerajaan Malaysia mengisytiharkan terumbu-terumbu Pulau layang-Layang itu terletak dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pada 20 September 1979, Kabinet Malaysia telah mengarahkan agar kajian dilakukan untuk mendirikan tugu dan penempatan di beberapa buah terumbu batu karang yang dalam wilayah negara. Hasil kajian telah melihatkan pembinaan tugu pertama terumbu Layang-Layang atau Stesen Lima telah didirikan pada 21 Jun 1980 dan pada Mei 1983, 18 anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditempatkan di Terumbu Layang-Layang.

Kedua : Gugusan Kepulauan Natuna

Menurut Mohd Hazmi Mohd Rosli (2013), gugusan kepulauan Natuna adalah gugusan kepulauan yang berselerakan di tengah-tengah Laut China Selatan yang memisahkan Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak. Ia terletak lebih kurang 450km di utara pulau Singapura. Pulau terbesar di dalam gugusan kepulauan Natuna adalah Pulau Serindit atau nama lainnya, Pulau Bunguran. Nama antarabangsa yang diiktiraf bagi Pulau Bunguran ialah 'Natuna'. Walaupun dikatakan terpencil, Kepulauan Natuna terletak di kawasan laluan utama perdagangan antara Asia Timur dan Asia Barat. Berpusatkan kota Ranai sebagai ibu negerinya, Kepulauan Natuna terdiri daripada 272 buah pulau yang terletak di barat laut Pulau Borneo .

Tuntutan Malaysia ke atas gugusan kepulauan ini di Laut China Selatan bermula sejak tahun 1956 tetapi usaha tuntutan tersebut terhenti tanpa sebab yang diketahui lantas pihak Republik Indonesia mengambil keseluruhan Kepulauan Natuna dan telah dimasukkan sebagai salah sebuah wilayah di dalam Republik Indonesia berdasarkan Surat Keputusan Delegasi Republik Indonesia, Provinsi Sumatera Tengah bertarikh 18 Mei 1956. Republik Indonesia mengambil keseluruhan gugusan Kepulauan Natuna berdasarkan kepada prinsip menamatkan konfrantasi Indonesia-Malaysia yang berlaku pada tahun 1963-1964 dan berlandas kepada undang-undang antarabangsa sesebuah wilayah itu boleh diperolehi oleh sesebuah kerajaan atau kuasa pemerintah melalui empat cara iaitu perluasan wilayah melalui cara semulajadi (accretion), penyerahan wilayah (cession), penjajahan, dan effective occupation ataupun prescription (merujuk kepada tindakan sebuah negara yang mezahirkan kedaulatan dengan cara mengamalkan penguasaan ke atas wilayah tertentu tanpa dibantah oleh negara-negara lain). [6]

Isu tuntutan ke atas kepulauan Natuna tidak terhenti begitu sahaja, China telah mencetuskan semula isu tuntutan ini apabila mendakwa gugusan kepulauan Natuna apabila negara Tembok Besar itu dalam satu kenyataan telah memaparkan Peta Laut China Selatan pada tahun 1947 dan mendakwa penandaan 9 titik garis sempadan maritim negara itu yang didalam termasuk jugalah keseluruhan gugusan kepulauan Natuna. Hal ini menyebabkan Presiden Indonesia, Joko Widodo membidas kenyataan Beijing dalam satu sidang akhbar semasa lawatan beliau ke Jepun. Menurut Joko Widodo, Beijing perlu berhati-hati dalam menentukan garis sempadan maritim negaranya kerana penandaan garis sempadan maritim itu secara jelas Beijing telah menceroboh Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) yang dimiliki oleh Indonesia. [7]

Ketiga : Tuntutan Pulau Batu Putih
Pertikaian mengenai status Pulau Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks) dan Terumbu Karang Selatan (South Ledge) yang berlarutan selama 28 tahun akhirnya diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 di The Hague, Belanda, dengan menyerahkan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura. ICJ turut memutuskan bahawa Middle Rocks yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika di selatan Pulau Batu Puteh menjadi milik Malaysia manakala status satu lagi bentuk maritim iaitu South Ledge akan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pertikaian hak kedaulatannya menjadi perebutan antara Malaysia dengan Singapura sejak 1979 ketika Malaysia menerbitkan peta rasmi baru. Isu perebutan Pulau Batu Puteh ini adalah signifikasi sejarah Wilayah Maritim Malaysia yang telah menjalani tempoh perebutan lebih 28 tahun. Wan Adibah Wan Dahalan (2003) menjelaskan menurut rekod, antara tahun 1824 hingga 1851 berlaku 25 kemalangan kapal berhampiran Pulau Batu Puteh. Pada tahun 1851, rumah api telah dibina oleh Kapten James Horsburgh dari Scotland, Empayar British dan dinamakan rumah api Horsburgh. James Horsburgh dari Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) telah melakukan kerja-kerja hidrografi dan melukis peta kedalaman kawasan ini. Pembinaan ini bertujuan bagi membantu kapal-kapal yang akan melalui Selat Singapura seterusnya Selat Melaka.

Secara ringkasnya, Malaysia menuntut pulau ini atas faktor sejarah tetapi Singapura menuntutnya atas faktor pulau ini berstatus teraa nullius (tidak bertuan). Sembilan tahun kemudian, iaitu pada 6 Februari 2003, Malaysia dan Singapura telah menandatangani perjanjian khas untuk merujuk kes kepada ICJ. Namun kes ini berpihak kepada kerajaan Singapura.[8]

Kesimpulannya :

Menjaga kedaulatan maritim negara umpama menggenggam bara api. Memperlihat kepada ketegangan yang sengaja dicetuskan oleh negara China memang membuatkan kita menjadi kurang senang ditambah lagi dengan situasi gawat pendemik COVID-19 menuntut Malaysia agar lebih agresif dan tegas dalam menjaga maruah dan harga diri kedaulatan negara ini. Malaysia sebuah negara yang kecil sekecil cili padi, tetapi jangan disangka tiada "pedasnya".

***Nor Azizuddin Abdul Manan ialah Penyelidik Ph.D di salah sebuah universiti awam tempatan

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post