NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerjasama Bi-Partisan PN Dan PH


Oleh Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

MALAYSIA menghadapi cabaran yang sangat kritikal sekarang. Cabaran pertama ialah kesihatan, kedua ialah ekonomi dan ketiga ialah politik.

Hari ini 17 April 2020 adalah hari ke 31 Kerajaan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jumlah terkumpul kes positif Covid-19 yang dirawat ialah 5,182 orang. Jumlah kes terbaru hari ini seramai 110.Jumlah terkumpul kematian setakat hari ini ialah 84 orang (1.62%). Berita positif ialah seramai 2,766 kes telah sembuh iaitu 53.4%.

Malaysia hari ini tidak berada di dalam keadaan Dharurat. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berkuasa sekarang masih sebuah kerajaan awam yang bertanggungjawab terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen Malaysia.

Dalam masa kita memfokus kepada soal kesihatan untuk melawan penularan wabak penyakit Covid-19, suatu peperangan yang kita tidak boleh kalah, tetapi kita mesti menang, Pihak kerajaan PN dan pembangkang (Pakatan Harapan, PH) mesti bekerjasama secara bi-partisan. Bukan sahaja untuk menyelamatkan rakyat negara ini dan penduduk di bumi Malaysia ini daripada ancaman kematian, tetapi ada satu tugas besar menunggu untuk ditangani oleh kerajaan PN dan pembangkang PH. Apakah tugas itu?

Cabaran besar yang kedua ialah untuk membangunkan semula ekonomi Malaysia selepas wabak Covid-19 ini berakhir. Kita mesti yakin bahawa sebagai suatu bangsa Malaysia kita secara bersama-sama (Kerajaan, pembangkang, civil societies dan seluruh rakyat) akan dapat menewaskan Wabak Covid-19 ini. Kita mesti berfikiran positif. Antara hidup dan mati, kita mestilah memilih untuk terus hidup.

Cabaran ekonomi itu sangat luar biasa sifatnya. Dalam masa 31 hari terkurung ini, ekonomi Malaysia terjejas teruk. Sektor pelancongan, sektor perkhidmatan, sektor perkilangan, sebut apa sahaja sektor, semuanya seakan lumpuh.Antara yang paling teruk terkesan ialah sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 98.5% perniagaan di Malaysia ini adalah dalam kategori PKS. Jumlah paling besar pekerja di negara ini bekerja di dalam sektor PKS. Jika Kerajaan tidak campurtangan dan menolong maka akan berlaku situasi di mana berjuta-juta orang rakyat Malaysia hilang pekerjaan selepas PKP tamat nanti.

Jadi cabaran membangunkan semula ekonomi dan membangun semula masyarakat adalah cabaran yang tidak dapat dipikul hanya oleh kerajaan PN sahaja yang berkuasa sekarang. PH sebagai blok pembangkang yang kuat juga perlu memikul tanggungjawab untuk membantu kerajaan PN sekarang.

Saya tidak tergesa-gesa atau tergopoh-gopoh untuk mengusulkan pembentukan sebuah kerajaan Perpaduan Nasional PN dan PH pada ketika ini. Saya hanya mahu mengusulkan pada masa yang kritikal ini supaya kerjasama bi-partisan dicapai antara PN dan PH.Itu dahulu yang ingin saya utarakan.

Kerajaan PN dan Pembangkang PH perlu memikirkan tentang Rancangan Malaysia ke-12 yang bermula tahun depan 2021.Juga perlu difikirkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan tahun lepas 2019 dan bermula juga tahun depan.

Wawasan 2020 berakhir tahun ini 2020 dan ternyata sebagai sebuah negara bangsa kita telah gagal untuk mencapai objektif penting Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.Pada tahun2020 ini bukannya kita menjadi negara maju tetapi masih menjadi sebuah negara yang tidak maju kerana tiada keadilan sosial di negara bertuah ini. Lebih 75% rakyatnya hidup dalam golongan miskin dan berpendapatan rendah.Masih ramai golongan langsung tidak ada rumah dan hidup sebagai gelandangan.Ini semua muncul dan timbul dengan jelas kelihatan semasa serangan wabak Covid-19 sehingga Kerajaan perlu membantu.

Malaysia tidak boleh gagal lagi. Rancangan Malaysia ke-12 perlu dibentang di Parlimen pada tahun ini.Sekarang kerajaan PN terpaksa memikul banyak perkara dalam satu masa yang singkat tempohnya.

Pertama, kerajaan PN perlu membentangkan di Parlimen pada bulan Mei akan datang suatu anggaran tambahan yang menunjukkan jumlah wang yang dikehendaki atau dibelanjakan semasa tempoh PKP ini.

Suatu Rang Undang-Undang Perbekalan perlu dibentangkan di parlimen dan perlu diluluskan. Ini bersangkutan dengan Perkara 101 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 27 Mac 2020 Kerajaan PN telah membentangkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bilion. Dari jumlah itu RM25 bilion untuk memberi bantuan one-off bagi meringankan beban kewangan rakyat berpendpatan rendah. Satu tindakan yang baik dan bertanggungjawab oleh Kerajaan PN.

Pada 6 April 2020 sekali lagi Kerajaan PN membentangkan satu lagi pakej ransangan ekonomi berjumlah RM10 bilion untuk memberi subsidi kepada syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tujuan supaya syarikat-syarikat berkenaan tidak memberhentikan kerja pekerja-pekerja mereka. Satu lagi langkah yang baik dari kerajaan PN.

Kerajaan PN perlu mendapatkan kerjasama pembangkang PH di parlimen supaya apabila Rang Undang-Undang Perbekalan dibentangkan bagi pakej rangsangan pertama bernilai RM250 bilion dan yang kedua RM10 bilion akan mendapat sokongan daripada ahli-ahli parlimen PH.

Jika tiada kerjasama ini maka Kerajaan PN akan menghadapi kesusahan. Jika Rang Undang-Undang Perbekalan berkenaan pakej-pakej rangsangan ekonomi itu tidak diluluskan kerana tidak disokong oleh pembangkang maka Kerajaan PN serupa hilang kepercayaan.Kerajaan PN boleh tumbang kerana kegagalan mendapatkan kelulusan rang undang-undang kewangan yang penting itu.

Dalam hal ini, pembangkang PH perlu bersikap patriotik, konstruktif dan bertanggungjawab. Kita sekarang dalam keadaan perang melawan wabak penyakit yang amat bahaya. Pembangkang PH juga memikul tanggungjawab untuk membantu kerajaan PN di parlimen.Tumbangnya Kerajaan PN di parlimen bukan bermakna pembangkang PH akan menang dan jadi kerajaan. Tidak semudah itu.

Jika Rang Undang-Undang Perbekalan bagi mengesahkan pakej-pakej rangsangan ekonomi yang dibentangkan oleh Kerajaan PN di Parlimen menghadapi kekalahan, maka Perdana Menteri Kerajaan PN sekarang boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan supaya mengisytiharkan Dharurat di Malaysia.

Jika itu berlaku, Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150(2B) Perlembagaan, boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan bagi menyelamatkan rakyat dan negara, termasuklah meluluskan jumlah wang yang telah diperuntukan bagi tujuan pakej rangsangan ekonomi itu.

Jadi pembangkang PH perlu berhati-hati.Perlu selamatkan Parlimen yang ada sekarang. Perlu selamatkan kerajaan awam PN sekarang walau apapun dilabelkan terhadap kerajaan PN ini.

Pembangkang PH yang kuat yang jumlah anggotanya hampir seimbang dengan kerajaan PN, perlu berjiwa besar dan memikirkaan kepentingan rakyat dan negara. Dalam tempoh genting sekarang ini, rakyat inginkan perpaduan politik PN dan PH dalam menghadapi musuh bersama yang mengancam rakyat dan negara.

Perebutan kuasa dan pertukaran kerajaan dalam tempoh wabak penyakit Covid-19 ini sungguh tidak bertanggunjawab. Pertukaran kerajaan boleh berlaku kemudian. Pilihanraya Umum ke-15 tidak lama lagi, sekitar tiga tahun sahaja.Semua pihak perlu tunggu, perlu bersabar.Sekarang ialah masa untuk membangunkan semula masyarakat dan membangunkan semula ekonomi negara.

Jadi PN dan PH perlu fokus untuk mengatasi perkara-perkara berikut: Pertama, memenangi perang melawan wabak penyakit Covid-19. Kedua, membangunkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat jelata. Ketiga, meluluskan di parlimen rang undang-undang perbekalan berkaitan wang yang digunakan untuk pakej-pakej rangsangan ekonomi. Keempat, membuat persiapan kepada pembentangan belanjawan negara 2021 dan kelima, merangka, membahas dan meluluskan secara bersama Rancangan Lima Tahun negara iaitu Rancangan Malaysia ke-12.

Semua ini seeloknya difikir dan dibahas serta diluluskan bersama secara bi-partisan antara kerajaan PN dan pembangkang PH. Apabila telah siap, maka PN dan PH sebagai dua gabungan politik dalam sistem dwi-parti ini boleh pergi mengadap kepada rakyat, apabila sampai masanya untuk mendapat mandat rakyat: Siapa yang akan dipilih oleh rakyat untuk menjadi kerajaan dalam Pilihanraya Umum ke-15 yang selewat-lewatnya diadakan pada tahun 2023.

Mana-mana parti yang menang sama ada PN atau PH akan mewarisi agenda nasional bersama yang telah dipersetujui untuk diteruskan iaitu Rancangan Malaysia ke-12 dan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Kedua-dua agenda nasional negara itu boleh diteruskan dengan lebih meyakinkan sehingga kali ini kita boleh mencapai kejayaan berbanding Wawasan 2020 yang telah gagal itu. Sebagai suatu negara bangsa, kegagalan lagi bukanlah pilihan bagi Malaysia.

Cabaran ini, sebagai seorang ahli parlimen, saya lontarkan kepada Kerajaan PN dan pembangkang PH.

Tamat

Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Jumaat 17 April 2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo