NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kepalsuan tuduhan Datuk Dr Musa Nordin dan serangan peribadi IKRAM

oleh: Dr Kamarul

Teruk saya diserang di dalam Facebook dan di dalam segala macam kumpulan WhatsApp semalam melalui penyebaran poster-poster yang memperlekehkan diri saya, khususnya satu poster yang mendakwa jasa saya di dalam membantu menangani Covid-19 adalah kosong berbanding jasa Datuk Dr Musa Nordin yang didakwa tidak terkira banyaknya.

Kepada para penyerang ini, saya tidak mengambil hati langsung pun dengan serangan begini kerana ia sekadar membuktikan bahawa mereka tidak mempunyai kemampuan lagi untuk mempertahankan Datuk Dr Musa Nordin sehingga terpaksa membuat cubaan pembunuhan karakter terhadap saya untuk melarikan diri dari isu sebenar.

Saya tidak menafikan sumbangan Datuk Dr Musa Nordin melalui rangkaian NGO dan dana beliau untuk membantu menangani Covid-19, tetapi untuk menyatakan bahawa saya langsung tidak membantu adalah tidak betul kerana saya secara peribadi ada juga membantu secara kecil-kecilan, hanyasanya ia tidak pernah dihebahkan sahaja.

Lagi pula, isunya bukanlah mengenai sumbangan Datuk Dr Musa Nordin di dalam menangani Covid-19 tetapi ialah mengenai kritikan tidak profesional dan keterlaluan yang beliau lemparkan ke atas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dan kerajaan sekarang kerana kononnya tidak menjaga keselamatan petugas kesihatan.

Dan semalam Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di dalam kenyataan rasmi beliau telah membuktikan bahawa tuduhan Datuk Dr Musa Nordin ini adalah palsu dengan mendedahkan bahawa:

(1) Daripada 224 anggota kesihatan KKM yang telah dikesan positif COVID-19, tiada walau satu kes pun yang berpunca daripada pengendalian kes yang disahkan positif dari wad COVID-19 atau unit rawatan rapi (ICU) khusus untuk pesakit COVID-19 di fasiliti KKM.

(2) KKM sentiasa memberi keutamaan kepada aspek keselamatan anggota kesihatan terutamanya petugas barisan hadapan (frontliners) yang bertungkus lumus dalam menghadapi pandemik COVID-19, khususnya melalui lima tindakan khusus ini:
(a) Penilaian keperluan dan stok alat pelindung diri di fasiliti bagi memastikan pembekalan PPE sentiasa mencukupi;
(b) Semua kes SARI dan jangkitan paru-paru (pneumonia) dikategorikan sebagai jangkitan COVID-19 sehingga terbukti sebaliknya;
(c) Memperkukuhkan triaging iaitu penilaian dan pengasingan pesakit yang disyaki mempunyai gejala COVID-19 apabila datang ke fasiliti kesihatan serta memberikan mereka alat penutup hidung dan mulut (facemask) untuk dipakai;
(d) Memastikan anggota yang merawat pesakit disahkan positif COVID-19 perlu menggunakan alat pelindung diri (PPE) seperti yang disarankan, dan anggota yang merawat pesakit tidak disyaki COVID-19 menggunakan alat penutup hidung dan mulut (facemask); dan
(e) Memastikan anggota mengamalkan semua langkah pencegahan seperti kebersihan tangan dan amalkan jarak sosial selamat (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter mengikut keperluan dan kesesuaian.

Saya perhatikan bahawa walaupun serangan berkumpulan ke atas diri saya ini dibuat oleh penyokong PH umumnya, secara khususnya ia dilihat lebih datang dari kumpulan IKRAM yang memiliki sebuah hospital pakarnya sendiri, iaitu Hospital Pakar An-Nur di Jalan Gerbang Wawasan 1, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Saya tertanya-tanya juga mengapa ketidakpuasan hati pihak-pihak yang marah kepada Datuk Dr Musa Nordin sebelum ini lebih ditumpukan kepada Hospital Pakar Damansara KPJ yang beliau adalah salah seorang konsultannya sedangkan beliau sebenarnya bukan big boss di sana tetapi big boss di Hospital Pakar An-Nur milik kumpulan IKRAM ini.

Mengapa tidak anda luahkan sahaja ketidakpuasan hati anda kepada Hospital Pakar An-Nur?

Sumber: https://www.facebook.com/kamarul.yusoff.7/posts/3163290057048364

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo