NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kehidupan pasca PKP


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan pada 16 Mac lalu memang meresahkan ramai orang. Memang sukar bagi ramai orang untuk duduk di rumah selama 28 hari sehingga 14 April nanti.

Inilah harga yang perlu kita bayar bagi menyelamatkan negara daripada terus dilanda pandemik Covid-19.

Hakikatnya kita perlu melihat semula kehidupan yang kita lalui selama ini dan menyesuaikannya pasca PKP kelak.

Kalau dulu kita terlalu lunak dan mewah berbelanja, kini kita perlu lebih berwaspada kerana ekonomi sejagat dipengaruhi oleh wabak ini. Tidak dapat dinafikan semua sektor terjejas.

Jika dahulu kita seringkali bercuti keluar negara, kali ini kita harus lebih mengutamakan perjalanan dalam negara.

Kalau dahulu pembelian mewah bukan suatu yang perlu difikirkan secara mendalam, sekarang kita perlu perhatikan sama ada ia keperluan ataupun sebaliknya.

Begitu juga dalam konteks sosial di mana dahulu kita sering ke majlis keraian tetapi kini kita perlu berhati-hati dan mengambil pendekatan jarak sosial satu meter agar pandemik Covid-19 ini tidak terus disebarkan.

Semua perkara ini menagih kita untuk melihat semula kehidupan ini, tidak berfoya-foya atau terkinja-kinja dalam majlis keraian lagi.Sudah pasti ramai rakyat terjejas tanpa mengira golongan sama ada B40, M40 ataupun T20.

Kesemua mereka perlu diberikan bantuan walaupun kaedah bantuannya adalah berbeza antara satu golongan dengan golongan yang lain.

Bagi B40, mungkin dana diperlukan bagi meneruskan kehidupan mereka manakala bagi M40 pula mereka memerlukan rebat cukai atau bantuan perniagaan dan lain-lain.

Bagi T20, pula mereka perlu mempertahankan firma atau pekerjaan mereka. Bagi mengekalkan daya saing mereka mungkin memerlukan pelepasan cukai dan galakan perniagaan.

Membantu T20 tidaklah bermakna mementingkan orang kaya sahaja tetapi ia juga memberi ruang kepada T20 untuk terus memberikan pekerjaan kepada M40 dan B40.

Kita masih lagi dalam fasa melawan musuh yang kita tidak nampak. Marilah kita sama-sama membantu pihak kerajaan melawan musuh ini. Ketepikanlah semua kepentingan politik dan sentimen perkauman dan beragama.

Patuhilah perintah yang dibuat oleh kerajaan yang kini telah berubah daripada tindakan tegas kepada tindakan yang keras.

Malaysia mesti menang dalam peperangan ini. Tiada kekalahan yang dapat diterima kerana akibatnya akan meragut nyawa ramai rakyat sebagaimana yang berlaku di beberapa negara lain.

Kita sangat sedih kerana pandemik yang sangat berbahaya ini telah meragut banyak nyawa di Malaysia, mudah-mudahan situasi ini dapat dihentikan dengan segera.

Sebenarnya dalam tempoh PKP yang mana kita hanya diminta tinggal di rumah sahaja, kita seharusnya memanfaatkan waktu ini bagi memikirkan cara bagaimana mahu menghadapi pasca PKP yang sudah pastinya lebih mencabar daripada biasa.

Tempoh panjang berada di rumah boleh digunakan untuk merangka strategi yang lebih ampuh untuk perniagaan atau pekerjaan kelak.

Perjumpaan dan mesyuarat masih lagi boleh dibuat walaupun bukan berbentuk perjumpaan secara berhadap muka tetapi dengan menggunakan teknologi terkini bagi memastikan tiada penyebaran wabak Covid-19.

Kita perlu lebih berinovatif dalam menghadapi pasca PKP. Kehidupan perlu diteruskan, melawan wabak ini satu kemestian dan kita mesti menang!

**Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo