'Echo Chamber' membentuk politikus yang berlangkah sumbang.


oleh:Abdul Mu'izz Muhammad
10 April 2020.

Dalam persaingan politik, respon rakyat merupakan perkara penting yang dijadikan sebagai penilaian prestasi. Apa-apa sikap yang menghalang seseorang politikus untuk menerima maklum balas dari rakyat, akan menyebabkan rentak politiknya menjadi sumbang.

Echo Chamber.

Antara suasana bingung yang kerap dialami oleh politikus, adalah echo chamber. Apabila diterjemahkan kepada Bahasa Melayu, ia bermaksud bilik gema.

Jika dikaitkan dengan peribahasa rakyat, agak sedikit hampir dengan maksud 'katak di bawah tempurung' dari sudut kegagalan mengadaptasi realiti. Adapun dari sudut degil tidak mengendahkan nasihat & kritikan, echo chamber terkait dengan peribahasa 'pekak badak'.

Kamus Oxford mendefinisikan echo chamber sebagai, suasana apabila seseorang hanya menerima informasi atau pandangan yang mencerminkan kepunyaan dirinya sahaja. Dari definisi ini, kita boleh memahami bahawa suasana echo chamber sebagai bawaan dari penyakit fanatisme & narsistik.

Dari sudut yang lain, sekiranya kita melihat perbahasan berkenaan echo chamber, kita akan dapati ia turut banyak dikaitkan dengan algoritma alam maya. Mesin carian atau media sosial akan sentiasa menyuapkan bahan-bahan yang sepadan dengan rekod carian kita.

Tabiat Politikus.

Tidak boleh dinafikan, fanatisme boleh menghinggap ke atas semua spektrum politik. Ia mendorong seseorang agar sentiasa mempertahankan kumpulan politiknya, sekalipun pada polemik yang terang-terangan salah. Pada masa yang sama mesti menyah-kreditkan kumpulan seteru politiknya, walaupun pada perkara yang perlu ditoleransi.

Dari penyakit fanatisme seumpama itu, sudah pasti politikus yang fanatik bergantung sepenuhnya dengan 'inner circle' yang mengelilinginya. Maka berlakulah suasana echo chamber apabila mereka:

• Serba selektif, hanya mahu menerima maklum balas dari 'inner circle' mereka sahaja.

• Mengamalkan falasi 'confirmation bias', iaitu hanya mahu mendengar respon yang enak didengari sahaja.

Maka terperangkaplah mereka ke dalam lembah ketertutupan yang sukar dimengertikan oleh orang ramai. Untuk keluar dari perangkap itu agak sukar, kerana suasana tersebut amat mengasyikkan.

Implikasi Echo Chamber.

Apabila keadaan sedemikian berlarutan lama, lantas membentuk logik mereka sendiri yang sering bercanggah dengan logik orang ramai. Kata-kata mereka hanya boleh diterima & difahami oleh kelompok mereka sahaja. Sedangkan interaksi sesama manusia seharusnya berkomunikasi dengan kaedah logik yang seragam.

Ada kalanya kita melihat politikus melakukan perbuatan yang terang-terangan tidak bijak. Tetapi bagi sesama mereka pula, itulah kemuncak kebijaksanaan yang perlu diberi anugerah & penghargaan. Suasana seumpama itu banyak membingungkan rakyat yang berada di luar dari kelompok mereka.

Begitu juga terkadang kita melihat para politikus mengeluarkan idea yang dangkal. Kita tertanya-tanya, di manakah penasihat mereka? Apakah mereka tidak membuat pertimbangan soal rasional & persepsi rakyat?

Malangnya proses berfikir sedemikian tidak berlaku, kerana mereka larut duduk dalam suasana saling mengangguk & memuji antara satu sama lain. Sungguhpun dunia mereka sempit akibat terperangkap dalam 'bilik gema', namun mereka selesa dengan keadaan itu.

Dari sudut persaingan politik demokrasi, echo chamber akan mengakibatkan para politikus yang menghidapinya tidak menghormati persepsi, pandangan & perasaan rakyat awam. Sudah pasti sikap ini akan memberi kesan kepada perolehan undi mereka ketika pilihanraya kelak.

Cara Mengatasi.

Walaupun hakikatnya sukar untuk menghapuskan suasana echo chamber secara total, namun di sana tetap ada cara yang boleh diusahakan. Sikap jiwa besar, matang & berobjektif merupakan syarat utama bagi mengatasi masalah echo chamber. Antara langkah yang boleh diusahakan adalah:

• Memperhalusi suara, pandangan & reaksi dari pelbagai sumber tanpa prejudis. Jangan sempitkan minda dengan sahutan sesama sendiri sahaja.

• Jangan berjiwa kecil dengan menganggap kononnya kritikan sebagai ancaman yang menjatuhkan.

• Bersikap objektif ketika berinteraksi dengan isu. Perlu cermat terhadap setiap respon yang ingin dikeluarkan, agar tidak bermain dengan falasi yang akan melencongkan isu sebenar.

• Jangan beremosi dalam berpolitik. Modal utama dalam berwacana dengan pihak kawan & lawan adalah fakta. Sementara kehendak hati semata-mata, bukanlah fakta.

BPMS.

Elemen keterbukaan & kematangan yang telah dinyatakan secara ringkas ini, adalah sebahagian dari aspirasi Budaya Politik Matang & Sejahtera yang perlu diaplikasikan. Kejayaan pemimpin-pemimpin umat terdahulu adalah pada kematangan & daya intelektual yang mereka miliki.

Saat Saidina Umar dikritik oleh rakyatnya, beliau mengalu-alukannya dengan kata-kata:

لا خير فيكم إن لم تقولوها ولا خير فينا إن لم نسمعها

"Tiada kebaikan bagi kamu jika kamu tidak mengatakannya, dan tiada kebaikan buat kami jika kami tidak mendengarnya"

Bagi kebanyakkan politikus, mempertahankan kesilapan hingga kelihatan menegakkan benang yang basah adalah penting, kononnya demi status kehormatan mereka. Sedangkan para pemimpin umat terdahulu, dikurniakan kewibawaan hakiki kerana jiwa besar mereka & kesantunan mereka melayani manusia.


Sumber: https://www.facebook.com/abdulmuizz.muhammad.5/posts/3104522119578543

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post