NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Duta Khas: Presiden PAS sebagai Mus’ab bin Umair moden



PH sudah melihat akan kejayaan PN melawan Covid-19 ini, dengan sokongan padu rakyat Malaysia. Oleh itu, ada dua pilihan, mendiamkan diri atau menggagahkan diri menyerang PN dengan serangan ‘kamikaze’ iaitu berani mati, kerana selepas kerajaan berjaya nanti insyaAllah, PH akan berkubur tanpa nisan. Memilih berdiam diri menjadi tugu, bukanlah pilihan yang terbaik ketika ini. Jadi pilihan kedua diambil.

Namun isu Covid-19 tiba-tiba tidak lagi diminati oleh penyokong tegar PH yang sebelum semalam, masih begitu gigih menyerang kerajaan. Bak kata orang, sebelum ini, mungkin bau kentut menteri-menteri PN juga boleh dibuat isu Covid-19 oleh mereka. Mereka setia melancarkan serangan ke atas kerajaan yang sangat komited dalam menjalankan tanggungjawab yang amat berat ini. Isu perlantikan Duta Khas PM lebih mereka minati.

Tanpa PH sedari, perlantikan ini sebenarnya sudah diketahui oleh pimpinan PAS hampir dua minggu lalu. Lalu aku bertanya kepada orang atas, boleh aku tulis? Dia jawab, tunggu pengumuman rasmi kerajaan. Nasib baik manusia berotak Pan sudah tidak ada dalam PAS ketika ini. Kalau tidak, habis bocorlah maklumat. Kekal sehingga semalam, rahsia itu dipegang semua orang yang tahu. Wala’ kepada pimpinan dalam PAS, begitulah.

Maka bergembiralah PH yang sudah tinggal tak berapa kerat itu, melepaskan apa yang mereka fikirkan sebagai tembakan ‘bazooka’ kepada Presiden PAS. Timbalan Presiden PAS juga sekarang agak ‘glamour’ semenjak menjadi menteri, sangat digemari mereka untuk dijadikan sasaran. Maka diambil kata-kata Timbalan Presiden beberapa tahun lalu akan bantahan beliau kepada jawatan Duta Khas ini oleh PH.

Duta dalam kerajaan moden adalah satu jawatan yang dikatakan sebagai jawatan orang nak pencen atau kurang gunanya. Tetapi dalam Islam, ianya suatu yang amat penting. Duta Islam pertama yang dicoretkan dalam sejarah ialah Mus’ab bin Umair. Beliau ditugaskan ke Yathrib ketika itu sebelum ditukar nama Madinah selepas hijrah, bagi menjadi guru al-Quran oleh rasulullah. Beliau perkenalkan Islam, mendamaikan kaum, menjadi penyelamat dan rujukan.

Oleh itu, peranan duta ini amat penting dalam menjadi wakil kepada beberapa keputusan segera yang diperlukan. Muadz bin Jabal juga pernah menjadi wakil Islam ke Yaman bagi mendidik orang-orang di sana yang baru memeluk Islam. Rasulullah memilih Muadz kerana kecerdasan beliau. Beliau mempunyai rujukan yang betul setelah ditanya oleh rasulullah iaitu al-Quran dan sunnah. Maka beliau layak.

Manakala perlantikan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, ini juga atas dasar kepandaian beliau, bukan kerana isu memberikan jawatan. Janji PM untuk meletakkan orang yang sesuai dengan kemahiran masing-masing, telah dikotakan semenjak lantikan barisan kabinet dahulu dan sekarang ianya bagaikan pelengkap.

TGHH sudah menjadi duta tidak rasmi ke negara-negara Arab semenjak lebih 30 tahun dahulu. Beliau telah diajak bersama oleh pimpinan-pimpinan Islam dunia, berkubang dalam politik Islam, bukan untuk menjadi kaya, tetapi bagi menyelamatkan ummah. Beliau disukai ramai pimpinan Islam dunia. Beliau mengenepikan perbezaan pendapat dalam mazhab, sekaligus memberikannya ruang bagi berbincang.

Beliau menjadi mangli dengan sikap dan kelakuan orang-orang arab, walaupun beliau seorang ajam. Allah kurniakan kepada beliau, dihormati oleh orang Arab. Ianya tidak datang dengan sendiri, ianya kurniaan dan juga cara bijak bergaul dengan orang yang berbeza jauh budaya dan adat. Ketinggian ilmu bersosial inilah juga antara sebab besar beliau paling sesuai dipilih sebagai Duta Khas.

Ini penting supaya tidak terjadi permusuhan pula disebabkan gagal memahami kehendak setempat. Pernah Duta Malaysia ke Filipina dimarahi oleh rakyat Filipina kerana tidak sensitif dengan ungkapan yang dianggap menghina pejuang nasionalis mereka Jose Rizal dengan membangkitkan kisah silam bagaimana Jose Rizal murtad. Walaupun ianya bukan mesej rasmi sebagai duta, tetapi beliau tetap dikutuk.

Semalam, ia hanyalah acara merasmikan sahaja kerjaya TGHH sebagai Duta di dunia Islam. Kerana telah puluhan tahun beliau berada dalam bidang itu tanpa dihargai oleh negara sendiri. Tetapi beliau tetap meneruskan perjuangan, menyatukan umat Islam di seluruh dunia walaupun terlalu ramai yang membenci beliau, terutama dari kalangan pemecah mazhab.

Sehingga ada cubaan bagi meragut kepercayaan pimpinan gerakan Islam dunia terhadap TGHH oleh orang yang berdengki dengan beliau. Kerja-kerja mengacum ini, diyakini dilakukan oleh pihak dalaman, suatu ketika dahulu. Maka ditaburilah konon tidak molek akan kepimpinan TGHH ini, begitu begini kepada orang luar. Tahu apa yang terjadi? Beliau makin dipercayai dengan lantikan-lantikan jawatan yang lebih penting.

Yakin dan percayalah, beliau akan terus bergerak bertemu, bermuzakarah, bermesyuarat, berbahas, menasihatkan pimpinan dunia Islam walaupun tanpa jawatan Duta Khas ini. Sememangnya itulah kerja beliau. Beliau mahu mati dalam keadaan berjihad di jalan Allah. Jihad bagi melawan musuh Allah atas nama kesatuan umat Islam. Semoga syahid buat mu murobbi ummah.

Mari kita sama-sama mendoakan beliau akan menjadi seperti Mus’ab bin Umair atau Muadz bin Jabal untuk zaman ini. Beliau pasti memberikan gambaran terbaik Islam kepada dunia. Dapat dilihat ini adalah tanda Malaysia telah memulakan langkah bagi mengangkat Islam ke tempatnya dengan menyerahkan tugas yang amat berat ini kepada ahlinya. Bagi yang masih kurang faham, TGHH tidak akan tinggal di Timur Tengah, beliau tetap di Malaysia. Hanya ke sana jika ada urusan sahaja. Kuliah Jumaat kekal berlangsung.

Sekarang, jika TGHH tidak layak untuk dijadikan Duta Khas PM sebagaimana kata PH, maka PH boleh mencadangkan orang yang lebih layak. Seperti mereka dengan muka tak tahu malu, mencadangkan nama Dr Dzulkefli untuk kembali menjadi Menteri Kesihatan semula baru-baru ini, hanya kerana khilaf Dr Adham Baba dalam bab air suam itu. PH boleh kemukakan cadangan mereka, saya sedia membantu.

Oleh kerana nama Abdul Hadi Awang bermula dengan A, saya rasa elok juga nama penggantinya bermula dengan huruf A juga. Samada Anwar Ibrahim yang selalu dihubungi oleh Yusof al-Qaradhawi itu, atau Ahmad Awang atau Abdul Ghani Shamsudin, dua ulamak tersohor Pan dan bekas calon yang kalah dalam pemilihan AJK Kesatuan Ulamak Sedunia (KUIS).

Atau bolehkah dicalonkan nama Abang Mat Sabu, Presiden Parti Islam yang moderat, progresif, tidak kolot, amanah, dikasihi kafir yang amanah dan berdaya maju itu, dinaikkan menjadi Duta Khas PM ke Timur Tengah ini mungkin? Yang mana satu pilihan PH? Atau lebih sesuai diberikan kepada Apek Lim? Sesungguhnya PH memang mempunyai banyak nama-nama sesuai sebagai ganti untuk jawatan ini.

Mohd Nasir Abdullah
3 April 2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo