NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dia..Guru Dan Sahabat


oleh: DAG

Allahyarham Dato Dr Abdu Isa Bin Ismail, bekas pensyarah POLIMAS dan UUM telah bertanding sebagai calon PAS dalam PRU 11 (2004) dan PRU 12 (2008) tetapi tewas. Selepas PRU 12, Menteri Besar Kedah ketika itu, YAB Dato Seri Diraja Ustaz Azizan Bin Abdul Razak telah mencalonkannya sebagai Spekaer DUN Kedah. Bermula dari situ, saya dan arwah mempunyai hubungan peribadi yang agak rapat, selalu berbual, berada di pentas ceramah dan saling bertukar-tukar pandangan tentang isu yang berkait dengan tugas kami di Wisma Darul Aman sepanjang tempoh 1 tahun 10 bulan (05 Mei 2008 – 06 Mac 2010). Dalam tempoh tersebut, saya tajukkan penulisan ini iaitu DIA … GURU DAN SAHABAT.

GURU

Sewaktu kami sama-sama dilantik menjadi Speaker dan Timbalan Speaker DUN Kedah pada 05 Mei 2008 dalam Sidang DUN kali pertama, hubungan saya dengan beliau semakin rapat. Mula-mula pejabat kami di Aras Bawah Blok A, Wisma Darul Aman dan selepas itu berpindah ke Aras 4 Blok E. Bilik kami bersebelahan sahaja. Beliau mempunyai PA iaitu Ustaz Masmawi Bin Sahak dan saya pula tidak disediakan PA. Begitu juga dengan kenderaan rasmi, beliau dibekalkan kereta Proton Perdana lama tinggalan Speaker terdahulu. Mulai 2010, Kerajaan Negeri telah membeli kereta baru Toyota Camry untuk Exco dan Speaker. Beliau menggunakan plate KCX 2200. Saya pula sering "menumpang" PA nya untuk urusan surat-menyurat dan kadang kala keretanya untuk urusan dan beliau tiada halangan. Kami mula berhubung rapat apabila membuat persiapan bersama kakitangan pejabat DUN dan MMK untuk menghadapi persidangan DUN. Sepanjang 2008, persidangan berlaku 4 kali iaitu 5 dan 20 Mei, 25 Ogos 2008 dan 18 - 21 November. Saya diberi peluang oleh beliau untuk mengendalikan persidangan pada 19 dan 20 November 2008 sewaktu pembentangan Bajet 2009 (18-21 November 2008). Ujian pertama kami dalam tahun 2008 ialah timbul keputusan mahkamah mengisytiharkan seorang ADUN muflis pada 3 November 2008. Media pula melaporkan bahawa akan ada Pilihanraya Kecil yang pertama di Kedah selepas PRU 12. Walau bagaimanapun, ADUN tersebut telah mengemukakan rayuan dan permohonannya didengar pada 1 Disember 2008 (Malaysia Today, 13 November 2008). Menyentuh isu tersebut, kami berbincang dan mencari kaedah penyelesaiannya. Ini disebabkan Menteri Besar mahu isu ini diselesaikan segera sebelum sidang bermula. Pihak kami telah melaporkan kepada MB bahawa ADUN tersebut telah membuat penyelesaian dan mendapat pelepasan dari Jabatan Insolvensi Malaysia. Namun begitu, isu tersebut berulang lagi apabila ADUN tersebut mengisytiharkan dirinya muflis kerana gagal membayar hutang bank pada April 2012. Speaker berpendapat jika sah telah muflis sejak Disember 201l, ADUN tersebut perlu memulangkan elaun wakil rakyat yang diterimanya bagi Januari, Februari dan Mac 2012. Berdasarkan peruntukan 47 (1) (b), Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, setiap wakil rakyat yang diisytiharkan muflis akan lucut jawatan secara automatik (Malaysiakini, 04 April 2012). Di sini menunjukkan arwah adalah seorang yang tegas dan sangat menghormati jawatan yang disandangnya yang terikat dengan undang-undang. Dari sini saya mula belajar tentang erti tegas dan berprinsip setelah melihat dengan nyata ia dipraktikkan oleh seorang ketua, bukan sekadar ucapan semata-mata.

Ujian kedua pula dalam tahun 2009. Peranan beliau semakin mendapat liputan akhbar dan berita TV3 berkaitan tindakan beliau mengutus surat kepada SPR pada 17 September 2009 memaklumkan kekosongan sebuah DUN dan meminta SPR mengadakan Pilihanraya Kecil. Tindakan tersebut dilakukan setelah mendapati ADUN tersebut gagal hadir sidang DUN dua kali berturut-turut iaitu pada 19 April 2009 dan 9 Ogos 2009. Beliau telah mengarahkan saya mendapatkan buku Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah di Pejabat DUN dan mencari peruntukan yang berkaitan. Saya telah berbincang dengannya berkaitan Fasal 51 – Ahli tidak hadir dan mendapati dengan jelas bahawa tertera frasa yang menyebut bahawa ADUN yang gagal menghadiri sidang DUN tanpa kebenaran Speaker atau gagal hadir dua kali mesyuarat berturut-turut maka, tempatnya hendaklah menjadi kosong. Namun begitu, SPR enggan mengadakan Pilihanraya Kecil memandangkan tafsiran peguam SPR bahawa mesyuarat kelima dan keenam adalah mesyuarat yang berbeza kerana mesyuarat kelima itu dijalankan dalam penggal (session) pertama manakala mesyuarat keenam itu adalah sebenarnya mesyuarat pertama dalam penggal kedua. Berasaskan alasan tersebut, SPR enggan mengadakan Pilihanraya Kecil di DUN tersebut. Isu ini berlanjutan sehingga ke peringkat mahkamah. Lihat kes Dato’ Dr Abd Isa Bin Ismail [2010] 8 AMR 297. Dalam kedua-dua ujian tersebut, beliau pernah mengarahkan kedua-dua ADUN tersebut keluar dewan kerana enggan mematuhi arahannya. Itulah suara tinggi beliau yang pertama kali saya dengar sejak mengenalinya.

SAHABAT

Dalam kepimpinan PAS Kedah, kami sama-sama menjadi Ahli BPPNK. Saya merupakan YDP PAS Jerlun dan beliau pula YDP PAS Kubang Pasu. Kebetulan, kawasan yang kami pimpin adalah berjiran. Sebagai sahabat, saya mengenali arwah seorang yang agak pendiam tapi boleh ketawa, periang, berprinsip dan boleh diajak berbincang. Satu perkara yang menjadi ingatan saya hingga ke hari ini ialah kecekapan beliau menangani isu yang menyentuh tentang kelayakan bakal calon PRU 13 di Jerlun. Beliau telah diarahkan oleh BPPNK untuk memaklumkan kepada AJK PAS Jerlun bahawa individu berkenaan memenuhi kelayakan sebagai calon. Meskipun semua AJK PAS Jerlun mengenengahkan pelbagai isu yang boleh merobek keyakinannya, beliau tetap bertegas bahawa beliau membawa keputusan PAS Kedah dan mesti mempertahankan keputusan tersebut. Di sini, saya lihat beliau seorang yang berprinsip dan tidak mudah goyah. Situasi ini jelas dapat dilihat apabila beliau kekal istiqamah dengan PAS hingga ke akhir hayat walaupun sebahagian daripada sahabat-sahabatnya lari meninggalkan perjuangan. Syabas.

Sebenarnya banyak lagi kenangan manis yang masih terpahat dalam memori saya. Akan tetapi cukuplah beberapa isu besar yang saya tampilkan ini buat tatapan kita bahawa Almarhum adalah seorang yang baik dan disenangi oleh pelbagai pihak. Semasa mendapat berita tentang kematian beliau, saya begitu hiba sekali kerana tidak dapat menziarahi jenazahnya disebabkan ancaman Covid-19 dan PKP. Namun begitu, saya dan rakan-rakan seperjuangan yang lain tidak putus-putus seharian berdoa, solat jenazah ghaib dan selepas Maghrib pula membaca Yaasin dan tahlil bahkan membentuk kumpulan khatam Al-Quran khusus untuk Allahyarham.

Semoga jasadmu damai di sana bersama para anbiya’, siddiqin, syuhada dan solehin. Amin.

Sumber: https://www.facebook.com/abd.g.ahmad/posts/10216307461749684

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo