Deal Of The Century: Peranan & Kepercayaan Akhir Zaman Evangelis.


Abdul Mu'izz Muhammad
1 April 2020

Mungkin ada yang tertanya-tanya. Apakah kaitan antara negara haram Israel & Amerika yang mendorong mereka berpadu dari segenap aspek? Sedangkan dari sudut kepercayaan agama, jelas kelihatan berbeza. Israel menganut Yahudi sementara Amerika majoriti rakyatnya beragama Kristian.

Dalam tulisan ini, kita cuba memahami pengaruh kelompok Kristian Zionis yang giat melobi politik Amerika, terutamanya dari aspek dasar luar negara besar itu. Tidak boleh dinafikan, soal teologi banyak terkait dengan pembawaan politik mereka.

CUFI.

CUFI merupakan akronim dari Christians United for Israel. Ia sebuah badan Kristian Evangelis yang kuat melobi pentadbiran Washington demi kepentingan Israel. Pengaruhnya dikatakan lebih kuat berbanding badan Yahudi di Amerika yang dikenali sebagai American Israel Public Affairs Committee, atau ringkasnya AIPAC.

Untuk memahami kekuatan pengaruh CUFI ke atas politik Amerika, seramai 70 juta penganut Kristian Evangelis yang mewakili 80% dari penganut Kristian secara umum di Amerika. Sementara penganut Yahudi di Amerika hanya seramai 14 juta.

Kemenangan Trump pada pilihanraya 2016 turut mencatatkan pengaruh lobi Kristian Evangelis iaitu sebanyak 26%. Adapun Yahudi hanya 3% dari jumlah undi yang diperolehi.

Misi Keagamaan Trump.

Ramai yang melihat Trump seakan-akan politikus sekular totok yang tidak mempunyai pertimbangan agama dalam politiknya. Sedangkan beliau dikelilingi oleh Kristian Zionis yang sebahagian besar dari mereka adalah orang-orang kuat CUFI. Persoalan sedemikian semakin banyak dibahaskan oleh media-media Barat, antaranya Pew Research Center.

Sebagai penjelasan dari dakwaan di atas, kita perlu kenali Timbalan Presiden Amerika bernama Mike Pence & Setiausaha Negara Amerika bernama Mike Pompeo. Kedua-duanya merupakan Evangelis tegar. Dalam satu laporan oleh Washington Post, dua pemuka inilah yang mendesak Trump untuk meluluskan misi pembunuhan Qasim Sulaimani pada tahun lepas.

Antara langkah-langkah yang telah dibuat oleh Trump adalah:

• Memindahkan kedutaan Amerika di Israel dari Tel Aviv ke Jurusalem seterusnya mengiktiraf Jurusalem sebagai ibunegara Israel yang baharu.
• Membatalkan perjanjian nuklear Iran.
• Menyerahkan Bukit Golan kepada Israel.
• Mengisytiharkan projek perluasan kuasa Israel yang dikenali sebagai Deal of The Century.

Tindakan-tindakan kontroversi tersebut adalah hasil dari lobi kelompok Kristian Evangelis yang mendukung misi Zionis. Bahkan mereka tidak segan untuk mengaku sebagai pendukung Kristian Zionis.

Takwilan Politik & Ketenteraan.

Dalam wawancara selepas Amerika memindahkan kedutaannya ke Jurusalem, duta Amerika ke Israel yang bernama David Friedman berterus terang bahawa dasar luar Amerika sememangnya merujuk kepada takwilan-takwilan Bible.

Dalam fahaman Evangelis, Jesus menurut kepercayaan mereka akan turun semula ke bumi sebagai penyelamat. Mereka perlu melengkapkan syarat untuk merealisasikan saat yang dinanti-nantikan tersebut.

Syarat yang dimaksudkan adalah, berusaha bersungguh-sungguh bagi menyediakan negara berdaulat untuk golongan Yahudi. Sekaligus mereka perlu menjadi benteng yang setia melindungi kepentingan & survival Yahudi. Semakin kuatnya negara Israel, bagi mereka semakin dekatlah saat turunnya Jesus menurut mereka.

Peranan tersebut dahulunya diterajui oleh British & kini ia diterajui oleh Amerika yang banyak dilobi oleh CUFI. Bukan sekadar itu, mereka menjadikan sejarah penjajahan ke atas Bani Israel terdahulu sebagai sikap politik mereka.

Sebagai contoh di dalam Bible, Bani Israel terdahulu pernah dijajah oleh Parsi. Bumi Parsi dari sudut geografi hari ini adalah Iran. Maka mereka perlu menghapuskan Iran agar sejarah kekalahan Yahudi tidak berulang kembali.

Demikian antara yang telah ditegaskan oleh Pastor Greg Laurie pada 2012. Jika begitulah takwilannya, tidak peliklah Amerika bersikap anti Iraq, Iran, Turki & Russia, kerana sejarah Bani Israel terdahulu pernah dijajah oleh Babylon, Parsi & Rom.

Armageddon.

Dalam bahasa Ibrani disebut sebagai Har Megiddo. Ia merujuk kepada peperangan akhir zaman yang menurut kepercayaan mereka klimkasnya akan berlangsung di bukit Megiddo. Iaitu di kawasan utara negara haram Israel sekitar 30km dari Haifa.

Sebelum peristiwa besar itu berlaku, mereka turut percaya bahawa 2/3 dari penduduk bumi akan mati. Menurut teori kepercayaan 4 Horsemen teologi Kristian, akan datang bencana ke empat berupa wabak dahsyat yang mengorbankan sebahagian besar dari manusia.

Pastor Evangelis, Irvin Baxter mendakwa bahawa di sekitar bukit Megiddo itulah Israel akan diserang oleh Russia, Turki, Iran & negara-negara sehaluan yang lain. Kini seramai 40% dari pelancong Amerika akan pergi ke Israel untuk menjalani 'lawatan sambil belajar' bagi memahami relasi Zionisme antara mereka & Yahudi.

Program-program yang sebahagian besarnya dikendalikan oleh CUFI banyak menerapkan kembali pengaruh-pengaruh Bible dalam kefahaman geopolitik semasa. Antaranya mereka menggunakan kalimah Bible iaitu Judea & Samaria merujuk kepada kawasan Tebing Barat & Timur Jurusalem.

Beringatlah.

Apa yang perlu kita ketahui bahawa agenda Amerika adalah bermotifkan agama menurut kepercayaan mereka. Ia berhubung secara akrab dengan Zionisme sekalipun kelihatan berbeza agama antara Kristian & Yahudi. Realiti ini membuktikan benarnya firman Allah:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

"Dan kamu tidak akan direstui oleh Yahudi & Kristian sehinggalah kamu mengikuti ajaran mereka" - al-Baqarah 120.

Agak silap jika kita mengandaikan kononnya perkara-perkara yang telah dibahaskan di atas, tiada kaitan dengan kita. Pengaruh Evangelis turut wujud di negara-negara umat Islam. Antaranya normalisasi Israel giat dijalankan, agar generasi baharu orang Islam boleh menerima Israel.

Semoga Allah mematahkan usaha mereka yang jauh mengatasi kemampuan material umat Islam. Semoga Allah selamatkan kita semua. Amin.

Sumber: https://www.facebook.com/abdulmuizz.muhammad.5/posts/3085596734804415


0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post