NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

COVID19: Meneroka Strategi Keluar Untuk Malaysia – Syahir Sulaiman

Banyak pihak melahirkan rasa gembira dengan ‘kejayaan awal’ Malaysia menangani wabak COVID-19.

Memasuki fasa kedua dalam tempoh PKP3 ini, Malaysia telah mencatatkan pertambahan kes positif harian pada kadar dua-digit berturut-turut, manakala jumlah kes pulih telah melebihi paras 61%, menandakan langkah pencegahan sepanjang PKP telah mula menunjukkan hasil yang baik.

Sekalung tahniah diucapkan kepada petugas barisan hadapan, khususnya KKM, MKN, PDRM, ATM dan RELA, serta pihak-pihak yang menyalurkan bantuan kebajikan seperti MOF, JKM, Baitulmal serta NGO dan badan korporat prihatin.

Tanpa menafikan keberkesanan dan kewajaran PKP untuk terus mengekang penularan COVID19, terdapat beberapa ‘kesan sampingan’ yang perlu ditangani sebaiknya bagi mengurangkan impak negatif PKP terhadap ‘kesihatan’ ekonomi dan sosial negara.

Persoalannya, adakah Malaysia bersedia untuk keluar daripada tempoh PKP secara ‘soft landing’, seterusnya mengadaptasi ‘normal baharu’ dalam pelbagai spektrum kehidupan, tanpa mendedahkan negara kepada risiko gelombang baharu selepas ini.

Strategi keluar.

Pelbagai pihak sudah mula menyatakan pandangan tentang keperluan Malaysia merangka ‘strategi keluar’ pasca-PKP yang komprehensif.

Di pihak KKM dan MKN, terdapat 6 kriteria utama yang digariskan bagi memastikan negara bersedia untuk menamatkan pelaksanaan PKP, iaitu:

1. Kawalan sempadan, khususnya keupayaan saringan dan kuarantin.
2. Kawalan pergerakan, supaya rakyat kekal duduk di rumah.
3. Sistem kesihatan, khususnya keupayaan untuk mempercepatkan hasil ujian.
4. Kumpulan berisiko tinggi, supaya dilindungi daripada terdedah jangkitan.
5. Normal baharu, khususnya dalam aspek penjagaan kesihatan dan penjarakan sosial.
6. Kerjasama KKM dan masyarakat, khususnya dalam aspek pencegahan menyeluruh.

Kesemua kriteria ini menepati saranan WHO yang meletakkan syarat utama sebelum sebarang kawalan pergerakan (lockdown) ditamatkan iaitu, penyebaran wabak dapat dikawal (transmission is controlled).

Selain kriteria utama ini, terdapat beberapa ‘protokol sokongan’ yang perlu tersedia lebih awal, melibatkan input semua pihak berkepentingan, antaranya:

1. Plan komunikasi dan penyelarasan maklumat yang boleh-dicapai dan dikemaskini.
2. Garis panduan operasi perniagaan keperluan dan bukan-keperluan oleh pihak KKM, MITI, dan PBT.
3. Garis panduan logistik terhadap pergerakan bahan mentah, buruh dan hasil keluaran daripada sektor perkilangan, perladangan dan PKS.
4. Garis panduan pengawasan terhadap pekerja dan pengguna di premis pejabat dan perniagaan dalam aspek kebersihan diri dan ‘social distancing’.
5. Kawalan perkumpulan ramai di sekolah dan pengangkutan awam yang memerlukan pengawasan yang lebih teliti.
6. Pakej rangsangan ekonomi dan produktiviti yang khusus kepada PKS, penjaja kecil dan pekerja upah harian, dalam bentuk subsidi kos, bantuan pemasaran, dan insentif cukai yang lain daripada normal biasa.

Memasuki ‘tempoh bertenang’ ini, semua pihak perlu melihat ke hadapan dan membiasakan diri dengan ‘jalan keluar’ yang baharu, tanpa perlu menyerahkan segalanya kepada pihak kerajaan bagi mengekang penularan COVID19 dan melindungi kebajikan rakyat yang terjejas dengan wabak ini.

Pastinya kepatuhan adalah elemen terpenting sepanjang PKP, dan menjadi terlebih penting selepas PKP, bagi memastikan negara dapat segera keluar daripada ‘krisis biologi’ yang amat mencabar ini.

Syahir Sulaiman, MCO Day#36

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo