COVID-19: Impak terbesar terhadap ekonomi negara membangun - IMF


Kadar pembalikan aliran portfolio setinggi AS$100 bilion atau 0.4 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar negara membangun, kata IMF.

KUALA LUMPUR: Pasaran ekonomi membangun dijangka mengalami penyusutan mendadak ekoran impak COVID-19 secara global, dengan pakar menjangkakan pembalikan aliran portfolio setinggi AS$100 bilion.

Dalam ringkasan Laporan Kestabilan Kewangan Global: Keadaan Pasaran sewaktu COVID-19, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata, anggaran nilai itu adalah sebanyak 0.4 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara membangun.

Keadaan itu, kata IMF lagi, akan mengakibatkan cabaran yang cukup jelas untuk ekonomi yang tidak begitu kukuh.

“Saiz dan keluasan pembalikan ini - mengambil kira jumlah negara terjejas - adalah terbesar sejak krisis kewangan ekonomi 2008,” katanya lagi.

IMF berkata, impak COVID-19 juga menyaksikan banyak negara melakukan kawalan kewangan secara meluas yang belum pernah disaksikan dalam krisis ekonomi sebelum ini.

“Penurunan kadar faedah oleh negara maju serta membangun hanya mampu mengimbangi kadar kejatuhan harga ekuiti dan penyebaran hasil korporat secara sederhana,” katanya lagi.

Situasi kewangan global semasa yang lebih sempit serta semakan turun mendadak unjuran pertumbuhan global 2020 menyebabkan agihan pertumbuhan dunia akan bergerak ke arah negatif.

“Ia mengambarkan bahawa risiko penurunan untuk pertumbuhan dan kestabilan kewangan dunia.

“Berdasarkan unjuran setahun awal, agihan ekonomi dan keadaan kewangan setakat Mac 2020 menunjukka lima peratus kemungkinan ekonomi global jatuh ke paras -7.4 peratus,” tambah IMF.

Dalam pada itu, IMF berpendapat, daya ketahanan sektor perbankan akan diuji, mengambil kira kejatuhan harga ekuiti bank.

“Ia menandakan tahap keyakinan pelabur terhadap keuntungan, dan prospek yang boleh dicapai dari sektor perbankan.

“Ukuran terhadap permodalan bank berdasarkan harga pasaran, adalah paling teruk sejak krisis kewangan global 2008 yang melanda kebanyakan negara. Bank dan institusi kewangan lain boleh bertindak sebagai pemangkin, sekiranya krisis COVID-19 menjadi semakin buruk,” katanya lagi.


Sumber:http://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid-19-impak-terbesar-terhadap-ekonomi-negara-membangun-sejak-krisis-kewangan-2008-imf-238957

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post