NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bangunkan institusi wakaf pasca-PKP


oleh: Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

DALAM menghadapi pasca-PKP ini ramai yang tercari-cari cara bagaimana mahu mendepani cabaran yang pastinya lebih sukar ini. Saya melihat instrumen wakaf boleh dimanfaatkan bagi membantu orang Islam di Malaysia.

Wakaf dari segi bahasa bermaksud tahan manakala dari segi istilahnya pula ia bermakna menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hak milik harta itu kepada seorang pengguna yang harus dan wujud.

Asas pensyariatan wakaf adalah berdasarkan Surah Aali Imran ayat 92 yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan sesungguhnya ALLAH mengetahuinya.”

Wakaf merupakan suatu amalan mulia yang telah disyariatkan oleh ALLAH. Ia adalah amalan yang mampu mendekatkan diri dengan ALLAH dan mendapat pahala melakukannya. Wakaf menyediakan landasan yang kukuh untuk menghampiri ALLAH kerana harta yang diwakafkan itu digunakan untuk kebaikan sahaja.

Wakaf dapat memenuhi keperluan fakir miskin dan anak-anak yatim yang memerlukan pertolongan. Sekiranya harta wakaf itu dapat diuruskan dengan baik maka kepentingan masyarakat Islam seperti membina masjid, sekolah dan lain-lain lagi aktiviti menegakkan ekonomi dan syiar Islam akan dapat ditegakkan. Institusi wakaf akan menjadi sebuah institusi yang besar dan mantap sekiranya harta wakaf itu dapat diuruskan dengan baik.

Pengurusan harta wakaf yang berkesan akan memberi implikasi yang amat besar terhadap ekonomi, sosial dan kebajikan umat Islam. Dengan adanya wakaf umat Islam akan tahu bahawa terdapat suatu badan yang menjaga dan mengawal selia kepentingan orang Islam.

Implikasi

Sejarah membuktikan bahawa harta wakaf memberi impak yang amat besar kepada masyarakat Islam sekiranya ia ditadbir dengan baik.

Umpamanya dari sudut pendidikan, Sultan Alam Shah, Sultan Selangor ketika itu mewakafkan Istana Jamaiyah di Klang untuk dijadikan pusat pendidikan yang dinamakan sebagai Kolej Islam Malaya.

Keikhlasan sultan memberi kesan dengan lahirnya puluhan ribu ilmuwan Islam. Kesinambungan kelahiran ilmuwan itu diteruskan walaupun nama kolej tersebut ditukar kepada Kolej Islam Klang dan kemudiannya Kolej Islam Sultan Alam Shah.

Kita lihat lulusan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) sentiasa mendapat perhatian masyarakat dan setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan, pelajar KISAS tidak akan ketinggalan daripada disenaraikan sebagai salah seorang pelajar tersohor negara.

Itulah antara bukti impak wakaf yang ikhlas kepada masyarakat Islam di Malaysia.Dari sudut ekonomi pula, Waqf Ahmad Daudjee Dadaboy yang kini menjadi Ibu Pejabat Bank Islam merupakan satu contoh kejayaan wakaf membantu ekonomi orang Islam.

Dalam tempoh PKP dan pasca-PKP instrumen wakaf perlu dimanfaatkan bagi umat Islam supaya boleh ditadbir bagi memberi ruang kepada orang Islam membangunkan ekonomi mereka.

Masih terdapat banyak harta wakaf yang belum dibangunkan boleh menjadi tempat nadi ekonomi umat Islam digerakkan. Dengan cara ini bebanan sewa dan sebagainya dapat dikurangkan kepada peniaga Islam.

Dalam cabaran pasca-PKP ini tentunya terdapat ramai individu, syarikat, badan pertubuhan dan golongan yang memerlukan bantuan wakaf ini. Wakaf boleh dibuat secara umum dan juga secara spesifik.

Wakaf secara umum ialah wakaf yang diberikan untuk kebajikan tanpa mengkhususkannya untuk tujuan tertentu seperti pemberian tanah untuk kepentingan orang Islam manakala wakaf khusus pula adalah pemberian disertakan dengan niat tertentu seperti pemberian wang untuk pembangunan masjid dan sebagainya.

Oleh yang demikian bersama-samalah kita mengimarahkan institusi wakaf ini bagi manfaat umat Islam keseluruhannya.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo