Ancaman Islam Liberal Di Malaysia: Serangan Kepada YB Zailah Bukan Permulaan!


OLEH: DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Menjadi sosok penting di Kementerian Pembangunan wanita , Keluarga Dan Masyarakat akan mendedahkan Dato Hajjah Zailah Yusuf dengan serangan bertubi kelompok liberal negara ini. Nuansa dan orientasi perjuangan Kak Lah untuk menjadikan Islam sebagai solusi akan terus dihadang, diremehkan serta dikambinghitamkan. Pemuka SIS tidak senang duduk melihat ucapan Kak Lah yang sebenarnya sarat dengan nasihat berbingkai agama, bahkan kelmarin Ketua Pemuda MCA juga menambah garam pada luka . Penulis menjangkakan serangan ini akan konsisten memandangkan institusi keluarga sangat penting dalam melahirkan generasi yang berpegang kepada agama.

Kelompok ini serta penyokong mereka sejak awal perlantikan YB Dato Zailah cuba meremehkan PAS, Kelantan serta membunuh karektor Kak Lah. Mereka mempertikaikan urusan kahwin bawah umur, kononnya berlaku di Kelantan walhal statistiknya orang bukan Islam paling ramai terlibat dengan kahwin bawah umur. Seorang pemimpin pemuda PAN Malaysia dengan arogan menyifatkan kak Lah buta Undang-Undang untuk memahami ruang lingkup kementeriannya. Alangkah!.

Gerakan liberal di tanahair kita bukanlah baru, sejak puluhan tahun dahulu ramai anak-anak pemimpin negara menjadi penggerak kelompok ini. Mereka sentiasa berseberangan idea dengan Islamis dan para ulama , menyifatkan ulama dogmatik dan bersifat penghukum. Wacana awam sering mereka kelolakan untuk menyita perhatian masyarakat umum bahkan semasa 22 bulan pemerintahan PH, ada kalangan kelompok ini yang berada dikoridor kuasa.

Mereka menjadi penulis tamu akhbar, muncul bersiaran dikaca televisyen memberikan pandangan berpandu akal. Mencabar status pengharaman mereka di Selangor melalui ruang undang-undang. Penulis teringat himpunan ulama Wanita yang telah diadakan di Indonesia dan kelompok ini mewakili negara kita. Fahaman neo muktazilah yang digalang mereka wajib digempur habis-habisan dizaman kerajaan baru ini.

Penulis dan rombongan pemuda pernah diingatkan oleh almarhum Ust Husein Umar diawal milinea 2000.."awas kamu anak muda Malaysia,,serangan Islam Liberal akan menyergap kamu..kena hati-hati dengan gerakann licik mereka..."ujar sosok terkenal Indonesia itu. Beliau Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiah Indonesia, panjang pertemuan kami dengan beberapa lagi figura dakwah dan gerakan Islam Indonesia. Kini semuanya telah kembali mengadap Tuhan, A.M Fatwa, Dr Sumargono, Husein Umar dan lain-lain tokoh. Penulis melihat fenomena yang menaufan Malaysia dan Indonesia ini tak jauh drp ingatan Pak Husein Umar kepada kami dua dekad yang lampau.



Serangan kepada YB Zailah adalah percikan bunga api , ancaman Islam liberal atau neo muktazilah akan mencabar akal kita semua ini akan berterusan. Semua NGO Islam,entiti Islam,ulama , penguatkuasa agama, mimbar masjid dan surau, media arus perdana wajib melakukan gerakan komprehensif untuk menanggani usaha mereka yang juga agak terancang. Kenali fahaman dan gerakan ini, agar generasi muda tidak terpengaruh dan disesatkan. Belajarlah ilmu agama daripada sumber yang sahih, menjiwai Islam dengan kefahaman yang benar.

CIRI-CIRI FAHAMAN ISLAM LIBERAL.

Mereka menganut Fahaman Pluralisme

Iaitu fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul. Urusetia Jaringan Islam Liberal, Ulil Abshar Abdalla dalam Majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Disember 2002 menyatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran”.

Dengan fahaman inilah, maka lahirnya Ideologi Pancasila di Indonesia. Darinya juga, penganut Fahaman Islam Liberal menyeru agar dibenar perkahwinan campur antara agama kerana semua agama adalah benar dan betul dan perkahwinan sebegini sememangnya telah diamalkan di Indonesia menunjukkan kejayaan besar golongan Islam Liberal di sana. Di Malaysia, penularan Fahaman Pluralisme dapat dilihat dalam kes-kes berikut:

a. Sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh Mufti dan Para Ulama dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam Liberal menolak pandangan Mufti dan Ulama-ulama tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot atau berpemikiran tertutup; dan

b. Kerana terpengaruh dengan Fahaman Pluralisme inilah maka beberapa Menteri Muslim dan sebuah NGO Muslim (iaitu Sisters In Islam) telah turut menyokong penubuhan InterFaith Council (IFC) atau Majlis atau Suruhanjaya Antara Agama-agama. Suruhanjaya Antara Agama ini dicadangkan oleh MCCBCHS atau Majlis Kristian Buddha Hindu dan Sikh Malaysia melalui memorandum yang telah dihantar ke Majlis Peguam pada 21 Ogos 2001.

 Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia

Dalam isu murtad – seperti kes Lina Joy (yang nama asalnya Azlina Jailani), golongan Islam Liberal di Malaysia antara yang mendesak agar penganut Islam diberi hak untuk murtad dari agama (Islam) tanpa sebarang tindakan undang-undang dan tanpa tertakluk dengan keputusan Mahkamah Syariah.

Cuba pembaca renungkan kembali , ajakan kumpulan G25 agar tiada undang-undang untuk umat Islam memilih agama ( kelunakan bahasa ,daripada istilah murtad). Bayangkan jika kita tidak serius melihat isu ini dizaman android ini,kempen-kempen pemurtadan berjalan tanpa segan. Mempromosikan murtad atas nama kebebasan berfikir ,hak asasi manusia dan ruang kesejagatan.

Ayat-ayat al-Quran perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman

Menurut golongan Islam Liberal, al-Quran perlu ditafsir semula tanpa terikat dengan tafsiran Ulama terdahulu. Tafsiran Ulama terdahulu telah jauh ketinggalan dan tidak sesuai lagi untuk zaman sekarang. Dalam mentafsir al-Quran tidak perlu terikat dengan ilmu Asbabun-Nuzul, Nasikh wal Mansukh, tafsiran Rasulullah, para Sahabat dan Ahli-ahli Tafsir terdahulu. Memadai menurut mereka tafsiran itu menepati logik akal dan rasional.

“Semua umat Islam perlu kembali kepada asas-asas Islam dengan menolak tafsiran klasik (lama) yang telah ketinggalan zaman. Kepada umat Islam, kita menyeru supaya digerakkan usaha-usaha membuat tafsiran al-Quran berdasarkan kaedah saintifik”.

(Kassim Ahmad, 12 Oktober 2000, News Straits Times)

Jelasnya, golongan Islam Liberal mengajak umat Islam kepada penafsiran ayat-ayat al-Quran berdasarkan ilmu akal semata-mata. Kerana itu mereka awal-awal lagi telah menolak Hadis Nabi yang bermaksud:

“Sesiapa yang mentafsir al-Quran dengan akal fikirannya semata-mata, maka sediakanlah tempat duduknya dari api neraka”

Dengan mendakwa Hadis tersebut bercanggah dengan al-Quran yang menyeru manusia supaya berfikir, merenung dan menggunakan akal. Kelompok ini gemar menggunakan ayat-ayat al Quran walhal mereka tidak mempunyai ilmu alat.

Mempertikai Syariat Allah dan hukum-hakam fiqh dengan hujah rasional

Pada pandangan mereka hukum Syariat Islam adalah ciptaan Ulama dan Fuqaha. Oleh itu, mereka menganggap Syariat Islam tidaklah suci secara sepenuhnya dan ia terdedah kepada penilaian semula dan kritikan termasuklah Hukum-hakam Syariat yang Qatie. Antara Hukum-hakam Syariat yang menurut pandangan mereka perlu dinilai semula ialah:

a. Hukum Faraid yang tidak sama rata antara lelaki dan wanita;

b. Keharusan poligami bagi lelaki;

c. Kewajipan bertudung kepala ke atas wanita;

d. Hukuman bunuh ke atas orang murtad;

e. Hukum jenayah Hudud yang menurut mereka adalah pengaruh budaya Arab Jahiliyah;

f. Larangan wanita daripada menjadi pemimpin termasuklah dalam solat;

g. Hak mutlak suami untuk mencerai isteri;

h. Larangan perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam; dan

i. Undang-undang moral agama yang dikatakan melanggar hak asasi dan kebebasan manusia.

Demi menjayakan hasrat mereka itu maka mereka menyeru kepada pembaharuan fiqh secara bebas tanpa perlu merujuk kepada Ulama dan disiplin ilmu Usul Fiqh. Golongan Islam Liberal menolak autoriti Ulama dalam bidang agama. Mereka amat menekankan kebebasan berpendapat bahawa sesiapa sahaja berhak bercakap tentang agama.

Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama

Golongan Islam Liberal menentang penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama kerana menurut mereka undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia.

Sebagai contohnya, tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) suatu ketika dulu menahan para pengunjung Islam di Pusat-pusat hiburan telah mendapat bantahan keras dari Sisters In Islam dan 50 NGO yang lain. SIS kekal dengan sikap ini dengan penakrifan dosa peribadi dan dosa awam. Segalanya bersumber daripada akal ,sedangkan kewajiban muslim ialah mencegah kefasafan, kemaksiatan, kebobrokan ummah.

Mereka telah mengemukakan memorandum kepada pihak kerajaan supaya tidak menggunakan pendekatan undang-undang untuk mengawasi akhlak rakyat kerana tindakan itu dianggap bercanggah dengan hak asasi manusia.

Malah dalam satu kenyataannya SIS meminta pihak kerajaan agar membubarkan semua undang-undang agama yang menghalang rakyat daripada mengecapi hak asasi peribadi dan bersuara.

Malahan pertubuhan itu juga tidak bersetuju dengan apa cara dan usaha menggunakan undang-undang untuk memelihara iman seorang Muslim. Hal ini kerana persoalan yang berkaitan dengan moral dan agama dianggap sebagai hak peribadi dan kebebasan tersebut tidak seharusnya dikawal dengan menggunakan kuasa perundangan.

Pasca PRU14 lalu menyaksikan banyak tuntutan kelompok pendukung Islam Liberal dan Pluralisme agama digemakan,bahkan mereka berada diarus perdana . Mendapat dana daripada kerajaan PH,tanpa sembunyi atau tanpa malu dengan fatwa negeri Selangor. Riak-riak kepongahan mereka semakin menyerlah apabila PH tumbang dalam kudeta ketololan mereka sendiri. Mungkin kerana turut merasakan mereka turut memberikan sumbangan kepada kemenangan PH dalam PRU 14.

Umat Islam mestilah mengambil cakna perkembangan semasa yang berlaku, menularkan fahaman neo-Muktazilah yang akan mengganggu kelestarian agama Islam dan penganutnya. Ahzab moden sedang mengepung umat ini daripada segenap penjuru, dengan senjata fitnah mereka. Jangan biarkan Kak Lah terus diserang oleh gembong -gembong liberal , kita semua wajar mempertahankan solusi Islam dan membentengi agama ini daripada terjahan serangan fahaman liberal atau neo muktazilah

(Penulis ialah AJK PAS pusat, Pengerusi LESTARI)

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post