NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Percaturan di Laut China Selatan

oleh:  Zaki Salleh

INSIDEN pelanggaran pesawat pengintip EP-3E ARIES II milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dengan jet pemintas J-8II Tentera Udara Republik Rakyat China pada 1 April 2001 telah mencetuskan ketegangan antara Washington-Beijing pada masa itu.

Kejadian yang berlaku kira-kira 110 kilometer (km) dari Pulau Hainan apabila pesawat EP-3E itu sedang melakukan intipan sebelum dipintas dua buah jet J-8II. Pelanggaran di ruang udara itu menyebabkan sebuah jet J-8II terhempas di laut lalu mengorbankan juruterbangnya.

Pesawat EP-3E yang membawa 24 kru itu pula mengalami kerosakan lalu terpaksa mendarat di pangkalan tentera China di Pulau Hainan. Selepas 11 hari menjadi tahanan, kru pesawat kemudian dibebaskan sebelum kembali ke pangkalan mereka di Pulau Whidbey dekat Hawaii dan disambut pulang sebagai wira.

Washington bertegas bahawa pesawat berkenaan terbang di kawasan perairan antarabangsa manakala China mendakwa sebaliknya. Beijing berkeras bahawa Laut China Selatan di bawah wilayahnya biarpun berada dalam zon yang turut dituntut oleh Taiwan, Filipina dan Vietnam.

Peristiwa yang dikenali sebagai Insiden Hainan itu adalah yang paling buruk melibatkan dua negara kuasa itu di perairan Pasifik. Pada masa itu, Presiden George Bush telah pun melabel China sebagai negara pesaing selain ragu-ragu dengan kebangkitan kuasa ekonomi dan ketenteraan Beijing.

Justeru, situasi mutakhir di Laut China Selatan ketika ini seolah-olah membayangi ketegangan yang berlaku 19 tahun lalu berikutan provokasi Beijing di perairan yang merupakan laluan perdagangan penting.

Dunia kini memberi tumpuan apabila Washington mengerahkan tiga kapal perang diketuai USS America yang membawa 31 buah pesawat termasuk jet tempur termoden F-35B belayar ke Laut China Selatan sebagai langkah bagi menstabilkan keamanan di perairan tersebut.

Reaksi AS itu adalah bagi melindungi kepentingan sekutunya, Filipina selain dilihat sebagai amaran kepada China agar berhenti membuli negara-negara kecil di rantau ini berhubung penguasaan di Laut China Selatan.

Tuntutan China berdasarkan nine dash line itu tidak selaras dengan peruntukan undang–undang antarabangsa termasuklah peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Undang–Undang Laut 1982.

Aktiviti penggalian minyak dan gas oleh kapal West Capella yang disewa Petronas dekat perairan negara juga diganggu kapal hidrografi China, Haiyang Dizhi 8 selain rondaan kapal-kapal pengawal pantai China yang saiznya menyamai kapal perang.

China turut melakukan provokasi dekat perairan Taiwan. Pada Mac lalu, misalnya, jet-jet Taiwan telah memintas pesawat radar amaran awal KJ-500 dan jet tempur J-11 milik China yang melakukan latihan penerbangan malam mendekati Selat Taiwan.

Armada kapal-kapal perang China diketuai kapal pembawa pesawat Liaoning turut dikesan melalui Selat Taiwan pada Januari lalu. Walaupun tidak memasuki perairan negara itu tetapi kapal-kapal perang itu dikesan melintasi zon kawalan pertahanan udara.

Apakah mungkin China benar-benar ingin merealisasikan impian untuk menjadi penguasa Laut China Selatan?

Jika melihat di atas kertas, kemampuan China untuk menjadi negara kuasa tentera global seperti AS masih jauh. Ini kerana AS masih mendominasi kemajuan teknologi pertahanan mutakhir selain kedudukannya sebagai peneraju dalam Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Bagaimanapun, Beijing dilihat mengidamkan gelaran tersebut apabila giat membina pangkalan di luar negara secara perlahan-lahan termasuklah di Laut China Selatan. Dalam konteks serantau, China kini merupakan negara kuasa terunggul di Asia dan dilihat telah membayangi AS.

Paling ketara ialah kemampuannya muncul negara kuasa ekonomi dunia serta peneraju dalam pelbagai teknologi industri. China juga dilihat pantas mengekori AS dalam pembangunan teknologi ketenteraan.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu

Malaysia berdepan beberapa cabaran teruskan trajektori pertumbuhan - Moody'


KUALA LUMPUR, 29 April -- Malaysia ketika ini berdepan beberapa cabaran dalam meneruskan trajektori pertumbuhannya meskipun mencatatkan kemajuan memberangsangkan dalam tempoh empat dekad lepas, katas

Firma penyelidikan ekonomi itu berkata antara cabarannya termasuklah ketidaksamaan pendapatan, jurang yang semakin meningkat dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia, terutamanya antara hab pembuatan mewah dan negeri-negeri yang bergantung kepada pertanian dan sumber semula jadi lain seperti minyak sawit dan perlombongan.

“Penduduk yang semakin menua nampaknya memburukkan lagi situasi ini, kerana pekerja golongan muda berhijrah ke kawasan bandar manakala golongan berusia berpindah balik ke kampung untuk bersara,” kata Moody’s Analytics dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Malaysia juga bergelut untuk meningkatkan rantaian nilainya dan terdapat kebimbangan bahawa negara sedang tersekat dalam “perangkap pendapatan sederhana” - tidak dapat mengekalkan kadar tinggi pertumbuhan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Walaupun pembuatan terus memacu pertumbuhan ekonomi, Moody’s Analytics berkata Malaysia sedang berusaha mempelbagaikan ekonominya menerusi perkhidmatan seperti pelancongan dan perbankan Islam.

“Namun begitu trend demografi dan modal insan menunjukkan bahawa kawasan bandar akan mendapat manfaat daripada perubahan ini dalam komposisi industri, meningkatkan lagi jurang pendapatan antara negeri,” kata firma penyelidikan itu.

Bagi unjuran jangka panjang, Moody’s Analytics berkata Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan trend lebih meluas, kerana sebagai pengeksport bersih petroleum dan minyak sawit, ia bergantung besar kepada harga komoditi yang tidak menentu dan perubahan dalam permintaan global.

“Bagaimanapun, bahagian eksport minyak mentah telah berkurangan daripada paras 6.5 peratus pada 2008 kepada kepada 3.7 peratus pada 2018, manakala bahagian minyak sawit meningkat daripada 3.6 peratus pada 2005 kepada 8.5 peratus pada 2011, sebelum turun semula kepada 3.9 peratus pada 2018,” kata firma penyelidikan itu.

Mengenai minyak sawit, ia berkata terdapat beberapa langkah yang diambil oleh rakan dagang utama ke arah kempen produk lebih mesra alam sekitar.

“Kesatuan Eropah (EU), sebagai contohnya, merancang untuk mengenakan had baharu ke atas bahan cemar makanan dalam lemak dan minyak ditapis, termasuk minyak sawit,” katanya.

Sementara itu, industri minyak mentah juga berdepan cabaran permintaan terhadap tenaga lebih bersih.

“Malaysia mempunyai perancangan untuk mempelbagaikan sumber tenaganya, tetapi bagi minyak sawit ia merancang untuk mencabar EU dalam Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) dan bukan sebaliknya menyesuaikan kepada trend,” kata firma penyelidikan itu.

-- BERNAMA

Berita baik bagi penggemar bacaan tafsir Al-Quran



Kini di datangkan dalam bentuk interaktif. Hampir 8 buah tafsir agung dimuatkan dalam satu pautan.

klik di sini: https://read.tafsir.one/

Klik tafsir pilihan, pilih surah kemudian dengar syarahan. MasyaAllah mudahnya teknologi apabila dimanfaatkan ke arah kebaikan.

Mohon kongsikan juga pada yang lain.

Ramadhan Mubaarak.

The New Norm? (Kebiasaan Baharu?)

PKP: Pergerakan lebih 10 km dibenarkan


KERAJAAN memutuskan untuk membenarkan pergerakan melebihi radius 10 kilometer bagi membeli keperluan harian, mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi membeli barangan atau mendapat perkhidmatan sekiranya tiada dalam lingkungan terbabit.

"Katakan dia sakit, klinik 15 kilometer dari rumah. Kalau dulu polis guna budi bicara, tetapi sekarang kita wartakan dengan jelas, kita benarkan," katanya.

Menurutnya, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.4) 2020 diwartakan dan berkuat kuasa 29 April 2020 hingga 12 Mei 2020.

Katanya semua PKP yang dilaksanakan sebelum ini adalah diwartakan dan ia membolehkan tindakan diambil kepada mereka yang melakukan kesalahan.

Kerajaan turut memberikan kelonggaran dengan membenarkan dua orang untuk bergerak dalam satu kenderaan dalam Perintah Kawalan Fasa 4 yang bermula hari ini.

Kelonggaran itu diberikan dengan syarat kedua-duanya adalah ahli keluarga dan dari rumah yang sama.

"Kita dapati banyak permintaan yang mahukan supaya ada tambahan. Kalau dulu bukan semua tak boleh, kalau bawa warga emas, kita benarkan. Tapi satu kereta seorang saja.

"Jadi kita benarkan dua orang dari rumah yang sama, kalau kita fikirkan dari segi penjarakan sosial di dalam rumah pun mereka tetap bersama. Lebih-lebih lagi jika di rumah itu tidak ada kes yang positif Covid-19, maknanya semua dalam rumah selamat.

"Jadi kita benarkan suami dan isteri, atau pun isteri dan anak, atau pun suami dan anak, tetapi tetap tidak melebihi dua orang," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2020/04/572607/pergerakan-lebih-10-km-dibenarkan-metrotv

Falsafah mentaati pemimpin dalam motif ukiran melayu


Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Jika kita meneliti motif-motif ukiran atau hiasan yang terdapat pada rumah tradisional, masjid, meriam hatta kain tenunan, kita akan mendapati ada satu bentuk motif yang coraknya seumpama pintalan tali. Namun motif itu sebenarnya bukan berbentuk pintalan tali, tetapi bentuk deretan itik dan deretan semut.

Jika ia kelihatan seperti pintalan tali yang agak renggang, maka itu sebenarnya dinamakan motif itik pulang petang. Jika ia kelihatan seperti pintalan tali yang rapat, maka ia sebenarnya adalah motif semut berjajaran.

Sebenarnya banyak motif-motif Melayu yang berasaskan bentuk binatang tetapi telah dimujaradkan (abstraks) disebabkan Islam mengharamkan ukiran-ukiran berbentuk binatang secara jelas.

Dengan itu, motif-motif berasaskan bentuk binatang akan diubah suai supaya ia tidak lagi kelihatan seperti binatang melalui kaedah mujarad dalam ilmu ukiran Melayu. Dengan sebab itulah motif itik pulang petang dan semut berjajaran kelihatan seperti pintalan tali.

Falsafah dan maksud yang terkandung dalam motif itik pulang petang dan semut berjajaran itu adalah sama iaitu kewajipan mentaati pemimpin dalam perkara-perkara yang maaruf. Pemimpin tidak hanya terhad pada pemimpin negara semata-mata, ianya turut merangkumi pemimpin di rumah, masjid, kampung dan sebagainya.

Selain dari itu, falsafah motif itik pulang petang dan semut berjaran juga ialah kewajipan untuk mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Sifat kumpulan Itik apabila pulang petang dan semut ketika keluar mencari makan adalah sama iaitu berjalan dengan mengekori pemimpin mereka dalam keadaan beratur dan teratur. Dengan itu, falsafah itik pulang petang dan semut berjajaran dizahirkan sebagai salah satu motif ukiran Melayu yang penting.

Sifat mentaati pemimpin dalam perkara-perkara yang maaruf ini sememangnya anjuran dari Rasulullah SAW di mana baginda bersabda :-

Ų§Ų³Ł…Ų¹ŁˆŲ§ ŁˆŲ£Ų·ŁŠŲ¹ŁˆŲ§ ŁˆŲ„Ł† Ų§Ų³ŲŖŲ¹Ł…Ł„ Ų¹Ł„ŁŠŁƒŁ… Ų¹ŲØŲÆ Ų­ŲØŲ“ŁŠ ŁƒŲ£Ł† Ų±Ų£Ų³Ł‡ Ų²ŲØŁŠŲØŲ©

"Dengarlah dan taatilah sekalipun orang yang memimpin kalian adalah seorang hamba berbangsa Habsyah yang mana kepalanya seperti kismis." (Sahih Bukhari)



Budaya hedonisme , seronok santai dalam bulan ramadhan musim PKP..



Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Ramadhan berlari meninggalkan kita yang masih termanggu dan culas memohon keampunan. Allah membuka ruang seluas mungkin untuk mengampunkan kita , para pendosa yang tak sedar dek untung. Bulan pengampunan dengan bonus pahala yang meruah namun sebahagian kita masih leka dan terbuai diulit mimpi. Masa yang sangat berharga, dihabiskan dengan menonton siaran televisi dan menggodek telefon pintar. Media sosial meriah dimusim PKP , umpat keji bergentayangan dan kita terus terlalai walau jasad terpasung didalam rumah.

Saya teringat pesan-pesan berharga almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat agar lidah kita dibiasakan menyebut bulan Ramadhan, bukan memanggilnya bulan puasa. Hujjah almarhum , disebut bulan puasa maka tergambar pesta makanan dan berpuasa semata-mata. Jika diratib bulan Ramadhan maka pakejnya pelbagai seperti bulan al Quran, bulan jihad, bulan pengampunan dan pelbagai gelaran yang lain.

Rugilah kita semua jika musim PKP saat Ramadhan ini,namun kalam suci tak mampu kita sulam dan menghayatinya tetapi dijarah masa dengan menonton daripada satu rancangan ke rancangan hiburan yang lain. Tujuannya untuk membunuh masa, sedangkan masa adalah modal dunia kita paling berharga untuk dibawa ke negeri abadi. Alangkah singkatnya umur umat Muhammad, sehingga Allah anugerahkan Ramadhan kepada kita semua dengan semua amalam akan dilipatkali gandakan.

Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah. Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah dan tidak disiram ketaatan kepada Allah. Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebajikan bahkan tangan dan mulut senang untuk mengeji dan menista. Lebih malang juga kali ini ,kita menghina orang miskin dan yang memerlukan bantuan. Kita menjadi sangat rapuh dalam menimbang baik dan buruk , bahkan menjadi kurang manusiawi. Berakar daripada kerancuan berfikir dalam beragama maka tak sedikit umat Islam menjadi liberal dan menjunjung nilai pragmatisme.
Penggalang pemikiran pragmatis tidak akan meletakkan acuan dosa dan pahala dalam tindakan mereka, pertimbangan moral dam akhlak tiada dalam neraca pemikiran

Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada method dakwah yang digunakan oleh para ulamak dalam mengembangkan dakwah Islam. Di Nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulamak telah mengggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan kerajaan Islam, pedagangan dan sebagainya sebagai method dakwah. Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulamak di Nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai method dakwah mereka. Antaranya seperti dakwah wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.

Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulamak telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan. Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat. Kita semua sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada "sensate culture", budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.

Masyarakat muslim perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban. Entahlah, mungkin rasa bosan terkurung menjadikan kita kecanduan berhibur atau kita menyalahi catatan taqdir . kita semua , peserta -peserta universiti tarbiah Ramadhan sepatutnya insaf dengan membuncahnya aktiviti penagihan najis dadah dikalangan anak muda, gejala buta agama, kecanduan melampau pada hiburan serta ghazwatul fikri yang dilancarkan oleh musuh Islam untuk merosakkan belia dan anak muda. Moga Ramadhan musim PKP ini merubah cara kita melihat sarwajagat, jadilah insan peduli ummah , ringan membantu orang lain, menyintai petunjuk Rabbani, berteleku memohon keampunan Tuhan dan bercermin diri. Entah ini Ramadhan terakhir buat kita teman-teman!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Apa peranan warga negara China yang hilang jika perang meletus?



Dato' Iskandar A Samad
29 April 2020

Konflik di antara Negara China dan Amerika Syarikat yang sedang memuncak di Laut China Selatan berupaya melarat menjadi peperangan yang meluas.

Menurut Al Jazeera, Tentera Laut Amerika telah mengesahkan pada 20 April lepas 2 kapal perang mereka, USS America dan USS Bunker Hill sedang beroperasi berhampiran dengan perairan yang dituntut oleh Malaysia dan China.

Minggu lepas, kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi 8, telah dilihat berada berhampiran kapal milik Petronas, West Capella. Kejadian ini membuat Amerika menggesa China supaya tidak membuli di perairan yang dipertikaikan dan berhenti memprovokasi operasi mencari gali minyak dan gas.

Pada 20 April lepas, Vietnam telah memprotes kerana China telah mewujudkan 2 daerah pentadbiran di 2 buah pulau yang dipertikaikan iaitu Pulau Paracel dan Pulau Spratly. Pada tahun 1974, China dan Vietnam ( ketika itu Vietnam Selatan ) telah berperang untuk merebut Pulau Paracel. China telah berjaya menguasai pulau itu di dalam pertempuran yang mengorbankan 53 tentera Vietnam dan 18 tentera China.

Jabatan Negara Amerika ( US State Department ) telah mendakwa China mengambil kesempatan ketika dunia memberi tumpuan kepada usaha-usaha melawan pandemik Covid-19. Sementara China telah melaporkan angkatan tentera mereka telah berjaya menghalau kapal perang Amerika, USS Barry, dari perairan Pulau Paracel. Mereka mendakwa provokasi oleh Amerika ini mencabulkan kedaulatan mereka dan meningkatkan lagi risiko keselamatan di rantau ini.

Januari lepas pula China telah membidas Amerika kerana mendakwa satu provokasi telah berlaku apabila kapal perang USS Montgomery belayar melalui perairan Kepulauan Spratly.

Akibat perkembangan-perkembangan terkini, terdapat mereka yang meramalkan Perang Dunia Ketiga boleh bermula akibat konflik di Laut China Selatan.

China begitu agresif mahu menguasai lautan tersebut dengan menuntut kepulauan-kepulauan kecil dan perairan di sekitarnya yang kaya dengan minyak dan pelbagai hasil galian. Sementara Amerika, sebagai kuasa besar sudah tentu tidak mahu ketinggalan dan melihat tindakan China sebagai usaha untuk menjadi "Big Brother" di rantau ini.

Perang dagang di antara kedua-dua negara dan dakwaan pentadbiran Trump terhadap China berhubung pandemik Covid-19 boleh melarat menjadi konflik yang lebih besar. Hanya satu insiden seperti berlaku berbalas tembak di antara 2 kapal perang boleh mencetuskan satu konflik dan akhirnya peperangan.

Jika ini berlaku kemungkinan besar ia tidak akan terhad di lautan tetapi kemungkinan besar akan melarat ke daratan dan melibatkan negara-negara di Asia Tenggara. Kedua-dua negara sudah tentu mahu mewujudkan pengkalan-pengkalan di darat mereka.

Bagi Malaysia ini amat membimbangkan kerana sekurang-kurangnya 76,258 warga China yang telah masuk ke negara kita dan tidak ada rekod mereka meninggalkannya. Adakah kehilangan ini di atas sebab-sebab ekonomi, politik, peribadi atau terdapat sebab-sebab lain yang boleh mengancam keselamatan negara?

Sebelum Jepun menduduki Malaya pada Perang Dunia Kedua, ramai rakyat Jepun telah datang dan menetap di negara kita. Menurut Brian Bridges dalam "Britain and Japanese Espionage in Pre-War Malaya : The Shinozaki Case" ( 1986 ), pada permulaan abad ke 20 terdapat hanya 1,000 rakyat Jepun di Malaya tetapi pada awal tahun 30an bilangan ini telah meningkat kepada lebih 6,000 orang. Mereka menjadi nelayan, tukang gunting, tukang gambar dan membuka kedai runcit secara kecil-kecilan. Ian Morrison di dalam Malayan Postscript ( London, 1942 ) menulis di hampir setiap bandar atau kampung yang penting di seluruh Malaya akan terdapat satu atau dua kedai Jepun.

Setelah Jepun berjaya menduduki Malaya dalam tahun 1942 barulah disedari ada di antara mereka yang merupakan pegawai tentera Jepun atau pengintip yang ditugaskan untuk mengumpul maklumat untuk tentera Jepun.

Justeru itu kerajaan tidak boleh memandangkan ringan kehilangan warga negara China itu. Di zaman yang begitu canggih hari ini mana-mana negara tidak perlu menghantar rakyat mereka untuk melakukan kerja-kerja risikan kerana ia dapat dilakukan menggunakan peralatan jarak jauh seperti satelit. Walau bagaimanapun selagi kita gagal menjejaki mereka selagi itu keselamatan negara dihantui dengan pelbagai persoalan. Tambahan pula jika meletus peperangan.

Kita perlu belajar dari sejarah kerana sesiapa yang enggan belajar dari pengalaman lampau maka mereka akan terperangkap untuk kali kedua.

Sumber: https://www.facebook.com/iasamad/posts/3219328124752829

Laut China Selatan punca perang dunia ketiga?


oleh:Haji Aminuddin Yahaya

MUTAKHIR ini tersebar berita di mana kapal-kapal perang China dan Amerika sedang berlegar di Laut China Selatan sehingga dikatakan mengganggu kerja penggalian minyak oleh Petronas.

Kapal perang Australia juga dilihat meronda bersama dengan kapal Amerika. Ini menyebabkan kegelisahan negara-negara yang ada kepentingan di Laut China Selatan (LCS).
Apa pentingnya LCS ?

Umum mengetahui bagaimana China telah mendakwa bahawa LCS adalah milik mereka walaupun mendapat bantahan dari negara-negara persisiran; Malaysia, Vietnam dan Filipina. Apa tidaknya, bukan saja LCS adalah laluan strategik perdagangan antarabangsa tetapi mempunyai khazanah yang cukup bernilai:

i. 11 bilion tong simpanan minyak mentah;
ii. 190 trillion cubic meter gas asli;
iii. 30 peratus barang dagangan dunia lalu di sini;
iv. 10 peratus sumber perikanan dunia.

Dengan nilai yang begitu tinggi dan kepentingan dagangan yang penting, maka adalah sesuatu yang logik LCS menjadi rebutan semua negara persisiran.

China telah mendakwa bahawa 80 peratus dari LCS adalah milik mereka berdasarkan sejarah perjalanan maritim mereka pada kurun ke-15. Malah mereka telah melakar sempadan sendiri di LCS apa yang dikenali sebagai "9 Dash Line". Ini bertentangan sama sekali dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu Mengenai Undang–Undang Laut 1982 (1982 United Nations Convention on the Law of the Sea – 1982 UNCLOS). Konvensyen ini menyatakan bahawa sesebuah negara hanya boleh memiliki kawasan laut sejauh 200 batu nautika (Eexclusive Economic Zone) dari perairan mereka. Tetapi ini semua tidak diendahkan China.

Satu ketika Spratly Island adalah merupakan pulau-pulau kecil yang tidak mempunyai penghuni tetapi kini China telah membina tujuh pusat ketenteraan yang melingkungi kawasan tersebut apa yang dinamakan sebagai "Tha Cabbage Strategy". Bukan itu saja pada tahun 2015 China telah menamakan kawasan LCS sebagai "Air Identification Zone" yang menghendaki setiap kapal terbang yang lalu di atas kawasan LCS perlu mendapat keizinan mereka. Ini sesuatu yang melanggar undang-undang dunia tetapi sekali lagi tidak diendahkan.

Malaysia, Vietnam dan Filipina pernah mengemukakan bantahan tentang tuntutan China tersebut tetapi telah menarik balik bantahan itu sehari selepas ianya dikeluarkan. Ini disebabkan bukan saja negara-negara berkenaan tidak "berani" melawan kehebatan tentera China tetapi kerana negara-negara tersebut mempunyai pelaburan yang besar dari syarikat China.

Adakah ini merupakan permulaan kepada Perang Dunia Ketiga?

Kita tidak pasti tetapi melihat keadaan yang berlaku sekarang sudah pasti Amerika Syarkat tidak akan berdiam diri. Ada banyak sebab kenapa kemungkinan peperangan akan berlaku di LCS antaranya:

i. LCS dianggap kawasan strategik oleh Amerika bagi menjaga kepentingan ketenteraan dan ekonomi mereka;

ii. Amerika sangat takut China akan mengatasi kuasa mereka dalam ekonomi dunia;

iii. Nilai dollar semakin jatuh dan jika COVID-19 ini berpanjangan pakar ekonomi menjangkakan dunia tidak lagi menjadikan ASD sebagai sandaran;

iv. Harga minyak West Texas Intermediate (WTI) telah jatuh bawah paras negatif menyebabkan pendapatan negara Amerika menjunam;

v. Pengangguran di Amerika Syarikat sudah meningkat ke 22 juta orang dan dijangka akan mencecah 44 juta sekiranya wabak COVID-19 ini berterusan;

vi. White House sudah melabelkan bahawa virus covid ini adalah Chinese Virus untuk menanam rasa benci penduduk Amerika kepada China.

Tuntutan China terhadap Taiwan yang dianggap sebahagian dari tanah jajahan mereka juga merupakan faktor besar kemungkinan peperangan akan berlaku. Keengganan Taiwan untuk tunduk kepada tuntutan ini telah menimbulkan kemarahan China tetapi China tidak boleh berbuat apa-apa kerana terikat dengan perjanjian The Sino-American Mutual Defense Treaty antara China dan Amerika yang memberikan Amerika hak membantu Taiwan dari sebarang ancaman penaklukan dari China. Persoalannya apakah China akan patuh dengan perjanjian ini kerana dalam masa yang sama mereka telah menjalankan dua latihan ketenteraan berhampiran dengan sempadan Taiwan?

Pada tahun 2015 Steve Bannon yang merupakan ketua strategik ketenteraan AS dan kini orang kanan Presiden Trump pernah mengatakan bahawa peperangan antara China dan Amerika sesuatu yang akan berlaku dalam masa lima ke sepuluh tahun dari tarikh tersebut. Semalam Menteri Luar Amerika, Michael R Pompeo telah mengeluarkan kenyataan membantah sikap China di perairan LC:
The CCP is exerting military pressure and coercing its neighbors in the South China Sea, even going so far as to sink a Vietnamese fishing vessel. The U.S. strongly opposes China's bullying and we hope other nations will hold them to account too.
Ini semua adalah indikator betapa gentingnya suasana di LCS. Apakah ianya akan berakhir dengan peperangan? Semestinya kita semua tidak mahu kerana bukan saja dunia kini berdepan dengan COVID-19 malah impaknya kepada negara adalah kemusnahan yang besar. Malaysia dan negara-negara ASEAN harus segera bertindak bersatu mempertahankan kepentingan dan kedaulatan kita semua.

Haji Aminuddin Yahaya ialah Presiden ISMA

Menelusuri sejarah konflik maritim di Laut China Selatan


oleh:  Nor Azizuddin Abdul Manan

SEJAK bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Majlis Keselamatan Negara pada 18 Mac sehingga sekarang seakan memberikan peluang kepada penjenayah dan penceroboh kedaulatan maritim negara kita bermaharajalela. Siapa lagi kalau bukan Armada Angkatan Laut Republik Rakyat China (China Coast Guard) yang menceroboh sempadan maritim negara kita, Malaysia sehingga mendorong Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengeluarkan kenyataan membidas sikap membuli negara China terhadap negara-negara yang berada di sekitar Laut China Selatan ("LCS").[1]

Sikap pembulian negara China bukan hanya melibatkan Malaysia, kapal perang China turut menceroboh perairan negara Vietnam pada 14 April yang lalu. Hal ini mengundang kemarahan Vietnam terhadap pentadbiran Beijing. Perbuatan ini jelas disengajakan oleh China ketika mana dunia amnya dan negara-negara ASEAN khasnya sedang bergelut dengan pendemik Covid-19. [2]
[Isu tuntutan Malaysia ke atas gugusan pulau-pulau kecil di LCS]

Muhammad Ali Alwi (1991) menyatakan bahawa permulaan kepada krisis dan konflik Laut China Selatan berasaskan kepada perebutan gugusan-gugusan kepulauan kecil di mana Laut China Selatan yang memilik empat gugusan Pulau iaitu Pratas, Paracal, Maccalesfield dan Spratly. Dari keempat pulau ini, hanya dua pulau sahaja yang menjadi rebutan iaitu Paracel dan Spratly yang dituntut sebanyak enam buah negara iaitu Brunei, Filipina, China, Veitnam, Taiwan dan Malaysia.[3]

Pertama : Kepulauan Spratly dan Terumbu Layang-layang

Krisis pergelutan keenam-enam perkara itu terjadi selepas Jepun menyerah kalah dan meninggalkan Spratly pada Perang Dunia Kedua. Filipina dan Vietnam mengambil alih beberapa pulau di gugusan itu bermula tahun 1960-an diikuti China dan Malaysia lewat tahun 1970-an. Kesemua enam negara Asia itu bersetuju dengan Deklarasi Manila bagi mengelakkan konflik di kawasan tersebut pada tahun 1992 dan perjanjian itu dipanjangkan sehingga tahun 2002. Pada tahun 2005, China dan Filipina menandatangani persetujuan bagi melindungi minyak dan gas di kawasan itu tetapi selepas beberapa tahun, konflik itu kembali timbul disebabkan permusuhan ketenteraan laut. Filipina dan Vietnam menuduh China cuba menjalankan sabotaj ke atas eksplorasi minyak di kawasan persekitaran. [4]

Mohd Foad Sakdan dan Ahmad Martadha Mohamed (2014) menyatakan bahawa konflik tuntutan ke atas kepulauan Spratly ini telah bermula sejak Perang Dunia Kedua. Namun sehingga tahun 1950 masih tidak wujud lagi tuntutan yang sah dibuat ke atas kepulauan ini dan ia hanya dianggap sebagai halangan terhadap pelayaran. Bagaimanapun pada hari ini tiada satu negara pun yang dapat menuntut sepenuhnya hak kedaulatan ke atas kepulauan Spratly tanpa dicabar oleh negara-negara yang berhampiran. Negara-negara yang terlibat dalam kemelut tuntutan bertindih kepulauan Spratly ini terdiri daripada China, Taiwan, Vietnam, Filipina, Malaysia dan tidak ketinggalan Brunei. Namun antara tahun 1980 hingga 1990 telah bermula perlumbaan untuk menyokong tuntutan ke atas kedaulatan oleh negara-negara yang terlibat di dalam tntutan bertindih ke atas dengan kepulauan Spratly ini dengan menduduki pulau-pulau yang dapat menampung kehidupan atau membina 'marker' atau petanda di mana pulau itu tidak dapat menampung kehidupan.

Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan kepulauan Spratly menjadi rebutan iaitu dari aspek kedudukannya yang strategik dan ekonomi. Dari sudut strategik di mana kedudukannya yang terletak di tengah-tengah laluan utama timur dan Barat. Manakala dari aspek ekonomi, gugusan kepulauan Spratly ini dikatakan mempunyai sumber galian yang masih belum diterokai lagi. Kedua-dua aspek ini menyebabkan penyelesaian terhadap isu ini sukar dicapai.

China dan Taiwan menuntut pulau ini berdasarkan faktor sejarah. Tuntutan Filipina terhadap kepulauan itu adalah berdasarkan prinsip terra nullius dan berbeza daripada prinsip terra nullius dan berbeza daripada prinsip tuntutan negara-negara lain. Sementara itu tuntutan Malaysia dan Brunei ke atas kepulauan Spratly adalah berdasarkan Pentas Benua. Secara keseluruhannya konflik Spratly ini mempunyai potensi untuk diselesaikan melalui undang-undang antarabangsa. Walau bagaimanapun undang-undang antarabangsa itu sendiri terutamanya dalam undang-undang persempadanan perlu diperjelaskan dengan lebih terperinci bagi meningkatkan kredibilitinya. Di samping itu juga negara-negara yang menuntut perlulah bekerjasama dan lebih komited untuk menyelesaikan masalah ini. Sesungguhnya isu Spratly ini sangat kompleks dan penyelesaian yang konkrit tidak mungkin dicapai dalam masa yang terdekat ini.[5]

Selain itu juga konflik di Spratly turut melibatkan Pulau Layang-Layang atau Terumbu Layang-Layang adalah sebuah pulau yang merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly. Kerajaan Malaysia telah memantau pulau ini dan menegaskan bahawa pulau ini adalah kepunyaan Malaysia kerana kedudukannya yang berada berhampiran dengan Sabah. Pulau ini juga dituntut oleh negara Republik Rakyat China, Taiwan, Filipina dan Vietnam. Pulau ini merupakan tuntutan negara Malaysia terhadap sebahagian daripada pemilikan di Kepulauan Spratly kerana ia berdekatan dengan kawasan tanah berhampiran Sabah.

Setelah Kerajaan Malaysia mengisytiharkan terumbu-terumbu Pulau layang-Layang itu terletak dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pada 20 September 1979, Kabinet Malaysia telah mengarahkan agar kajian dilakukan untuk mendirikan tugu dan penempatan di beberapa buah terumbu batu karang yang dalam wilayah negara. Hasil kajian telah melihatkan pembinaan tugu pertama terumbu Layang-Layang atau Stesen Lima telah didirikan pada 21 Jun 1980 dan pada Mei 1983, 18 anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditempatkan di Terumbu Layang-Layang.

Kedua : Gugusan Kepulauan Natuna

Menurut Mohd Hazmi Mohd Rosli (2013), gugusan kepulauan Natuna adalah gugusan kepulauan yang berselerakan di tengah-tengah Laut China Selatan yang memisahkan Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak. Ia terletak lebih kurang 450km di utara pulau Singapura. Pulau terbesar di dalam gugusan kepulauan Natuna adalah Pulau Serindit atau nama lainnya, Pulau Bunguran. Nama antarabangsa yang diiktiraf bagi Pulau Bunguran ialah 'Natuna'. Walaupun dikatakan terpencil, Kepulauan Natuna terletak di kawasan laluan utama perdagangan antara Asia Timur dan Asia Barat. Berpusatkan kota Ranai sebagai ibu negerinya, Kepulauan Natuna terdiri daripada 272 buah pulau yang terletak di barat laut Pulau Borneo .

Tuntutan Malaysia ke atas gugusan kepulauan ini di Laut China Selatan bermula sejak tahun 1956 tetapi usaha tuntutan tersebut terhenti tanpa sebab yang diketahui lantas pihak Republik Indonesia mengambil keseluruhan Kepulauan Natuna dan telah dimasukkan sebagai salah sebuah wilayah di dalam Republik Indonesia berdasarkan Surat Keputusan Delegasi Republik Indonesia, Provinsi Sumatera Tengah bertarikh 18 Mei 1956. Republik Indonesia mengambil keseluruhan gugusan Kepulauan Natuna berdasarkan kepada prinsip menamatkan konfrantasi Indonesia-Malaysia yang berlaku pada tahun 1963-1964 dan berlandas kepada undang-undang antarabangsa sesebuah wilayah itu boleh diperolehi oleh sesebuah kerajaan atau kuasa pemerintah melalui empat cara iaitu perluasan wilayah melalui cara semulajadi (accretion), penyerahan wilayah (cession), penjajahan, dan effective occupation ataupun prescription (merujuk kepada tindakan sebuah negara yang mezahirkan kedaulatan dengan cara mengamalkan penguasaan ke atas wilayah tertentu tanpa dibantah oleh negara-negara lain). [6]

Isu tuntutan ke atas kepulauan Natuna tidak terhenti begitu sahaja, China telah mencetuskan semula isu tuntutan ini apabila mendakwa gugusan kepulauan Natuna apabila negara Tembok Besar itu dalam satu kenyataan telah memaparkan Peta Laut China Selatan pada tahun 1947 dan mendakwa penandaan 9 titik garis sempadan maritim negara itu yang didalam termasuk jugalah keseluruhan gugusan kepulauan Natuna. Hal ini menyebabkan Presiden Indonesia, Joko Widodo membidas kenyataan Beijing dalam satu sidang akhbar semasa lawatan beliau ke Jepun. Menurut Joko Widodo, Beijing perlu berhati-hati dalam menentukan garis sempadan maritim negaranya kerana penandaan garis sempadan maritim itu secara jelas Beijing telah menceroboh Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) yang dimiliki oleh Indonesia. [7]

Ketiga : Tuntutan Pulau Batu Putih
Pertikaian mengenai status Pulau Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks) dan Terumbu Karang Selatan (South Ledge) yang berlarutan selama 28 tahun akhirnya diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 di The Hague, Belanda, dengan menyerahkan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura. ICJ turut memutuskan bahawa Middle Rocks yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika di selatan Pulau Batu Puteh menjadi milik Malaysia manakala status satu lagi bentuk maritim iaitu South Ledge akan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pertikaian hak kedaulatannya menjadi perebutan antara Malaysia dengan Singapura sejak 1979 ketika Malaysia menerbitkan peta rasmi baru. Isu perebutan Pulau Batu Puteh ini adalah signifikasi sejarah Wilayah Maritim Malaysia yang telah menjalani tempoh perebutan lebih 28 tahun. Wan Adibah Wan Dahalan (2003) menjelaskan menurut rekod, antara tahun 1824 hingga 1851 berlaku 25 kemalangan kapal berhampiran Pulau Batu Puteh. Pada tahun 1851, rumah api telah dibina oleh Kapten James Horsburgh dari Scotland, Empayar British dan dinamakan rumah api Horsburgh. James Horsburgh dari Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) telah melakukan kerja-kerja hidrografi dan melukis peta kedalaman kawasan ini. Pembinaan ini bertujuan bagi membantu kapal-kapal yang akan melalui Selat Singapura seterusnya Selat Melaka.

Secara ringkasnya, Malaysia menuntut pulau ini atas faktor sejarah tetapi Singapura menuntutnya atas faktor pulau ini berstatus teraa nullius (tidak bertuan). Sembilan tahun kemudian, iaitu pada 6 Februari 2003, Malaysia dan Singapura telah menandatangani perjanjian khas untuk merujuk kes kepada ICJ. Namun kes ini berpihak kepada kerajaan Singapura.[8]

Kesimpulannya :

Menjaga kedaulatan maritim negara umpama menggenggam bara api. Memperlihat kepada ketegangan yang sengaja dicetuskan oleh negara China memang membuatkan kita menjadi kurang senang ditambah lagi dengan situasi gawat pendemik COVID-19 menuntut Malaysia agar lebih agresif dan tegas dalam menjaga maruah dan harga diri kedaulatan negara ini. Malaysia sebuah negara yang kecil sekecil cili padi, tetapi jangan disangka tiada "pedasnya".

***Nor Azizuddin Abdul Manan ialah Penyelidik Ph.D di salah sebuah universiti awam tempatan

Laut China Selatan: China, AS perlu hormati undang-undang maritim antarabangsa


KUALA LUMPUR, 26 Apr – PAS menggesa semua pihak agar menghormati garis sempadan perairan negara-negara ASEAN dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) setiap negara yang berada dalam lingkungan kawasan Laut China Selatan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pencerobohan mana-mana pihak terhadap kawasan tersebut adalah dianggap sebagai mencabuli undang-undang maritim antarabangsa dan kedaulatan sesebuah negara.

“PAS memandang serius laporan tentang kapal penyelidikan milik China, Haiyang Dizhi 8 yang berada berdekatan dengan kapal penerokaan milik Petronas yang dipercayai berada di kawasan perairan milik Malaysia,

“Ia boleh dianggap sebagai satu usaha untuk menimbulkan intimidasi mahupun provokasi terhadap Petronas dan juga pencerobohan terhadap perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, kerajaan China perlu melihat persahabatannya dengan negara-negara ASEAN sebagai satu kaedah untuk menyelesaikan masalah secara diplomasi dan perundingan tentang tuntutan bertindih Laut China Selatan dan kepulauan di sekitarnya.

“Sebarang pertikaian berpanjangan dan konfrontasi tidak akan menguntungkan mana-mana negara dan pihak yang berkepentingan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, semua pihak diminta mematuhi undang-undang antarabangsa yang telah dipersetujui dan ditetapkan sama ada oleh UN Convention on the Law of the Sea ( UNCLOS ) dan juga keputusan timbang tara oleh International Court of Justice ( ICJ) serta the International Tribunal for the Law of the Sea ( ITLOS).

“Jika semua pihak mematuhi dan bertanggungjawab terhadap undang-undang dan juga keputusan yang ditetapkan, sebarang tuntutan bertindih mampu diselesaikan secara baik dan aman begitu juga pertikaian yang berpanjangan serta lebih buruk mampu dielakkan,

“Laut China Selatan dan kawasan kepulauan di sekitarnya perlu dikekalkan sebagai zon selamat dan bebas oleh semua pihak memandangkan ia adalah salah satu laluan perdagangan utama dunia, disamping kaya dengan hasil lautan seperti perikanan dan juga hasil minyak dan gas,” tegas Abdul Hadi.

Selain itu, jika berlaku sebarang ancaman di perairan tersebut serta kawasan kepulauan di sekitarnya, ia bakal menjejaskan ekonomi dunia serta negara-negara di sekitarnya dan juga nelayan-nelayan yang bergantung kepada hasil laut untuk menampung keperluan ekonomi mereka.

Manakala dengan kehadiran 2 buah kapal perang milik Amerika Syarikat juga mampu memburukkan keadaan serta mungkin menimbulkan intimidasi kepada China.

“Perseteruan dua kuasa besar dunia antara Amerika Syarikat dan China tidak harus dibabitkan ke pentas ASEAN memandangkan negara-negara ASEAN mengamalkan sikap saling menghormati hak, diplomasi dan perundingan dalam mengekalkan keamanan serantau,

“Berpadalah dengan ancaman pandemik COVID-19 yang kini perlu dihadapi dengan sebaiknya oleh semua negara. Ancaman nyawa dan ekonomi rakyat terbanyak wajar diberi keutamaan oleh semua pihak,” ujarnya.

Oleh demikian, PAS menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang antarabangsa dan kedaulatan antara negara.

“Ruang diplomasi dan perundingan harus diutamakan dalam usaha untuk menyelesaikan sebarang pertikaian dan tuntutan,

“Kekalkan dan hormati kedaulatan negara-negara ASEAN dan perairannya. Malaysia dan ASEAN harus berusaha untuk menjamin keamanan serantau, menjaga kepentingan dan kedaulatannya,” katanya. – AirTimes

Sumber: https://www.airtimes.my/2020/04/26/laut-china-selatan-china-as-perlu-hormati-undang-undang-maritim-antarabangsa/

Aktivis Hong Kong kembali berhimpun, tuntut 'lima permintaan'


HONG KONG : Penunjuk perasaan pro-demokrasi Hong Kong cuba mencetuskan protes walaupun negara itu masih melaksanakan perintah kawalan pergerakan yang tidak membenarkan perhimpunan beramai-ramai.

Sekumpulan aktivis itu berhimpun di pusat beli-belah Landmark pada Rabu.

Bagaimanapun protes yang diadakan itu dalam keadaan aman tanpa sebarang keganasan.

Penunjuk perasaan hanya melaungkan slogan sambil menunjukkan sepanduk.

Protes tersebut adalah bagi menuntut semula ‘lima permintaan’ yang digesa tahun lalu termasuk hak mengundi dan siasatan bebas terhadap tindakan anggota polis.

Setakat ini, beberapa protes seumpamanya dileraikan oleh pihak polis sejak beberapa hari lalu.

Gelora di Laut China Selatan


oleh: Abdul Muein Abadi

ISU kehadiran kapal China dan kapal perang Amerika Syarikat di perairan kita kelihatan masih belum reda meskipun Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah membuat kenyataan akhbar yang cukup penting tentang isu itu minggu lepas.

Memetik antara kenyataan bertarikh 23 April 2020 berkenaan:
Malaysia menegaskan komitmen untuk mempertahankan kepentingan dan haknya di Laut China Selatan. Malaysia berpandangan bahawa Laut China Selatan perlu kekal sebagai laut yang aman bagi laluan perdagangan. Maka, segala perkara yang berkait dengan Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berasaskan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuklah Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS) 1982.
Pada 26 April 2020, data daripada South China Sea News menunjukkan bahawa kapal hidrografi China, Haiyang Dizhi 8 telah memasuki perairan di Kawasan Kerjasama Malaysia-Vietnam. Pada hari sama juga, kapal pengawal pantai China Haijing 5203 dikesan berada 3 batu nautika dari pelantar minyak di perairan Miri.

Pada 27 April pula kapal pengawal pantai China dirakam berada di perairan Bintulu, Sarawak sepertimana yang dikongsi laman Malaysia Military Power. Maka tidak hairanlah jika kapal-kapal perang Amerika Syarikat (AS) masih berterusan menjalankan pelbagai simulasi latihan di Laut China Selatan. Pelbagai aktiviti latihan dijalankan seperti di atas kapal USS America (LHA 6).

Sesungguhnya, perkembangan itu benar-benar menjadi perhatian para penganalisis antarabangsa. Malah, Hishammuddin sendiri juga telah mengingatkan kedua-dua Amerika dan China:

Sebagai bekas Menteri Pertahanan, saya benar-benar mengambil maklum dan sedar dengan situasi semasa. Kita mesti menghindari insiden kemalangan yang tidak disengajakan di perairan ini.
Meskipun undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan pelayaran, kehadiran kapal-kapal perang di Laut China Selatan berpotensi meningkatkan ketegangan yang boleh mengakibatkan kesilapan perkiraan serta memberi kesan kepada keamanan, keselamatan, dan kestabilan di rantau ini.

Diplomatik

Hishammuddin menutup kenyataan akhbar beliau seperti berikut:

Pendirian kami adalah bahawa sebarang pertikaian seharusnya diselesaikan dengan cara muhibah melalui kaedah yang aman, diplomasi, dan kepercayaan bersama antara kesemua pihak yang terlibat. 
Hanya kerana kami tidak membuat sebarang kenyataan umum mengenai isu ini tidaklah bermakna kami tidak mengusahakan segala langkah di atas, kami telah mengusahakan komunikasi terbuka dan berterusan dengan semua pihak yang terlibat, termasuklah Republik China dan Amerika Syarikat.
Mesej yang disampaikan oleh kerajaan Malaysia sebenarnya sudah cukup jelas. Dalam keadaan seluruh dunia sedang bergelut dengan isu pandemik Covid-19 serta kejatuhan harga minyak global, kita tidak memerlukan konflik tambahan di Laut China Selatan.

Namun begitu, mungkin ada yang merasakan kerajaan Malaysia seolah-olah kurang keras terhadap China mahupun AS. Perlu diingat, ibarat menarik rambut dalam tepung, Malaysia telah menggunakan saluran diplomatik yang rasional dan wajar bagi mengendurkan gelora antara China dan AS.

Malah, dalam konteks negara kita, ekonomi kita bergantung pada hubungan yang baik dengan kedua-duanya iaitu Beijing dan Washington. Eksport kita ke China sahaja tidak kurang daripada RM140 bilion manakala ke AS pula menghampiri RM100 bilion setahun. Dalam keadaan kita merancang untuk memulihkan ekonomi segera pascapandemik Covid-19 nanti, permintaan daripada China dan AS tentulah amat kita harapkan.

Dalam masa sama, seperti ditegaskan Hishammuddin, kita tetap tidak berganjak walau seinci pun dalam mempertahankan hak kita untuk mengeksplorasi sebarang sumber hidrokarbon dalam Zon Ekonomi Eksklusif serta perairan kita. Buktinya, kapal West Capella yang disewa Petronas masih tetap berada di kawasan yang kita tegaskan sebagai wilayah kita.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda

PKP: Dua orang boleh satu kenderaan - Ismail Sabri


PUTRAJAYA, 29 April -- Kerajaan memutuskan untuk memberi sedikit kelonggaran bagi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat dengan membenarkan dua orang bergerak dalam satu kenderaan bermula hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka perlu terdiri daripada ahli keluarga dari rumah yang sama dan pergerakan itu bagi membeli makanan dan barang keperluan harian.

“Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.4) 2020 telah diwartakan dan berkuat kuasa 29 April 2020 hingga 12 Mei 2020,” katanya dalam sidang media berkaitan PKP di sini, hari ini.

Sebelum ini hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan bergerak bagi membeli makanan dan barang keperluan harian.

Kelonggaran SOP itu juga menyaksikan kerajaan kini membenarkan pergerakan bagi membeli keperluan harian dan mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan melebihi 10 kilometer sekiranya keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat di dalam radius 10 kilometer dari kediaman individu.

Mengulas dakwaan seorang peguam kononnya PKP tidak diwartakan, Ismail Sabri berkata kerajaan mewartakan kesemua peringkat PKP dari yang pertama hingga terkini.

“Kalau tidak ada pewartaan tentu saja polis tidak boleh melaksanakan sebarang tindakan. Kerajaan mewartakan setiap satu PKP sebelum ia berkuat kuasa,” katanya.

Ismail Sabri berkata beberapa lagi kelonggaran dalam PKP fasa sekarang akan diumum dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata polis menangkap 643 orang kerana ingkar PKP semalam, menjadikan jumlah kumulatif tangkapan kepada 21,749 orang.

Seramai 838 rakyat Malaysia pulang ke tanah air semalam dan dikuarantin wajib manakala 653 pelajar dari zon utara akan dihantar pulang di zon sama menaiki 44 bas bermula petang ini.

--BERNAMA



Kebenaran solat Jumaat, tarawih dibincangkan esok: Ismail Sabri


PUTRAJAYA - Semua kementerian akan terlibat pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) esok bagi membentangkan prosedur operasi standard (SOP) baharu termasuklah kebenaran bagi orang Islam menunaikan solat Jumaat atau tarawih di masjid.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh rakyat dan pengumuman berkaitan SOP tersebut akan diumumkan oleh beliau sendiri esok atau Jumaat ini.

"Kita faham ada ibu bapa bekerja dan tidak ada sesiapa menjaga anak mereka. Perkara ini akan dibincangkan esok oleh semua kementerian bagi mengeluarkan perincian SOP. Semua kementerian akan mencadangkan SOP mereka.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad turut terlibat dalam mesyuarat bagi menyediakan SOP esok. Pelbagai persoalan ditimbulkan apabila terdapat kelonggaran dalam PKP keempat ini dan sebenarnya ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

"Ada juga yang bertanya adakah solat tarawih dibenarkan dengan syarat kita mengamalkan jarak satu meter dan begitu juga dengan solat Jumaat," katanya pada Sidang Media (Non- Health) di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, beliau telah menerima surat cadangan dan permohonan menyambung semula kempen Liga Malaysia (Liga-M) daripada Kementerian Belia dan Sukan.

"Perkara ini juga akan kita bincangkan dan jika dibenarkan kita akan sediakan SOP. Namun seperti saya maklumkan sebelum ini buat masa sekarang perlawanan bola sepak Liga-M tidak dibenarkan," katanya.

Industri boleh beroperasi kapasiti penuh mulai hari ini

MENYEDARI keperluan mendesak untuk menangani krisis ekonomi semasa, kerajaan bersetuju supaya sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 1, 2 dan 3 meningkatkan kapasiti sepenuhnya dan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing.

Kebenaran itu diputuskan selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang bersidang semalam (27 April 2020) bagi membincangkan kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan mesyuarat EAC sudah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang bersidang pada hari ini dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri serta turut dihadiri oleh semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

"Kebenaran ini berkuatkuasa mulai esok (29 April 2020). Syarikat yang diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran

"Syarikat di dalam sektor yang dibenarkan ini wajib mematuhi syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi sektor masing-masing.

"Kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan dikenakan tindakan undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin berkata, inisiatif ini akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan luar negara.

Menurutnya, keputusan itu juga akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Sementara kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan kebiasaan baharu dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan," katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2020/04/572212/industri-boleh-beroperasi-kapasiti-penuh-mulai-esok

Polis serbu penempatan haram Batang Kali, 238 warga tempatan ditahan


KUALA KUBU BHARU, 28 April -- Polis yang menyerbu sebuah penempatan haram dibina dengan khemah plastik di Kampung Ulu Rening, Batang Kali di sini, hari ini, menahan 238 warga tempatan termasuk bayi.

Dalam operasi pukul 5 petang itu, pihaknya menahan 76 lelaki dewasa, 77 wanita serta 85 kanak-kanak dan bayi, yang berada di kawasan hutan yang baru diteroka itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan soal siasat, penduduk terbabit mendakwa, mereka adalah ahli Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara.

“Kita masih siasat persatuan ini dan apa yang kita tahu, mereka ini makan, mandi dan tinggal di kawasan ini.

“Polis masih menyiasat sejak bila kesemua mereka ini berada di kawasan itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu (KKB) di sini, malam ini.

Mengenai dakwaan kononnya mereka berada di kawasan itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa, beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Apa yang pasti mereka telah melanggar PKP dan mereka ini datang dari pelbagai negeri, ada Kuala Lumpur, Kelantan, dan lain-lain,” katanya.

Fadzil berkata pemeriksaan kesihatan akan dijalankan terhadap mereka, yang kini ditempatkan di Dewan Serbaguna KKB.

“Pihak Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Daerah KKB, turut membantu proses pemeriksaan kesihatan serta urusan kebajikan mereka,” katanya.

Zakat Fitrah 1441H/2020M



Ini Kadar Zakat Fitrah 2020 di negeri-negeri dalam Malaysia:

▪Selangor: RM7, RM14, RM21
▪Wilayah Persekutuan: RM5, RM7
▪Johor: RM7, RM10
▪Perlis: RM7
▪Penang: RM7, RM16
▪Negeri Sembilan: RM7
▪Perak: RM7, RM14, RM21
▪Pahang: RM7
▪Kedah: RM5, RM7, RM14, RM21
▪Melaka: RM7, RM 14
▪Terengganu: RM 7
▪Kelantan: RM7
▪Sabah: RM6, RM7.50
▪Sarawak: RM7

Sebab musim PKP, majoriti negeri galakkan BAYAR FITRAH SECARA ONLINE.

1. Selangor : fpx.zakatselangor.com.my
2. Wilayah Persekutuan : zakat2u.com.my/payment/fast
3. Kedah : jom.zakatkedah.com.my
4. Perlis : bit.ly/2VMqN5L
5. Penang : bit.ly/2Ko9zqj
6. Kelantan : zakat.e-maik.my/v5/index.php
7. Terengganu : bit.ly/2Vrxvz3
8. Perak : ezakat.maiamp.gov.my/v4/
9. Pahang : bit.ly/2KljrRA
10. Negeri Sembilan : bit.ly/3eEbyEB
11. Melaka : bit.ly/2RVHb2E
12. Johor : fitrah.maij.gov.my
13. Sarawak : bit.ly/2zmhimp
14. Sabah : bit.ly/3bucJo

Semua bayaran Zakat Fitrah bermula dari 1 Ramadhan 2020 (Maghrib) sehingga Sebelum Solat Raya Aidilfitri.

Ke mana perginya Dana RM 1 Billion untuk Rohingya dibelanjalan oleh kerajaan PH?

KUALA LUMPUR – Dana dari sebuah negara Timur Tengah yang dijanjikan untuk diberi kepada Malaysia bagi membantu pelarian etnik Rohingya, tidak diterima oleh kerajaan ketika Barisan Nasional (BN) memerintah.

Sebaliknya, dana dengan jumlah yang besar itu difahamkan diterima oleh kerajaan yang mengambil alih pemerintahan selepas BN tidak lagi bernasib baik untuk mentadbir negara, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Menurut Ahmad Zahid, kerajaan berusaha untuk mendapatkan bantuan tersebut namun, tidak ada satu sen pun diterima oleh kerajaan ketika itu.

“BN mengusahakan bantuan daripada sebuah negara dan ketika kerajaan BN memerintah bantuan itu tidak sampai satu sen kepada kerajaan Malaysia,” katanya pada sidang media khas bagi menjelaskan isu ucapan videonya mengenai Rohingya yang tular, baru-baru ini.


Ahmad Zahid turut menegaskan, wang dari dana tersebut juga tidak ada yang masuk dalam mana-mana yayasan atau mana-mana akaun peribadi milik sesiapa.

Beliau yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata, perkara itu perlu diperjelaskan kerana tidak mahu pelbagai tuduhan dilemparkan kepada BN berhubung perkara itu.

Qatar merupakan sebuah negara yang sebelum ini dikatakan mahu menginfaqkan dana berjumlah RM1 bilion kepada kerajaan Malaysia bagi kegunaan kebajikan etnik Rohingya di negara ini,

Dana tersebut diusahakan oleh kerajaan ketika Ahmad Zahid yang ketika itu juga merupakan menteri dalam negeri.


Pada 2017 Kerajaan Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Qatar melalui Qatar menerusi Qatar Development Fund (QDF) bersetuju memberi penajaan dana terhadap tiga projek tumpuan iaitu memberi latihan kemahiran dalam sektor perladangan dan perkilangan; mengendalikan prasekolah dan sekolah rendah bagi anak-anak Rohingya dan skim perlindungan insuran untuk rawatan dan perubatan.

Qatar juga meminta Malaysia menyediakan satu pelan perlindungan insurans menerusi sebuah syarikat insurans bagi memastikan pelarian Rohingya itu mendapat rawatan perubatan yang terbaik. QDF akan membiayai bayaran premium insurans itu dan kemudahan itu hanya khas kepada pelarian Rohingya yang berlindung di Malaysia.

Ahmad Zahid menjelaskan perjalanan sekolah anak Rohingya mengikut silibus sistem pendidikan Myanmar sekarang dengan tujuan apabila konflik yang berlaku di negara itu tamat, anak-anak ini dapat melanjutkan pelajaran menggunakan silibus sama apabila pulang ke sana.

Begitu juga dengan status pelarian Rohingya dan ‘orang hanyut’ lain. Katanya, mereka akan berada di sini bagi tempoh tertentu dan diberikan pelbagai bantuan kemanusiaan, sebelum dihantar ke negara ketiga atau kembali ke negara asal.

Saya percaya dasar ini masih kekal, katanya.- MalaysiaGazette

Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/04/27/bn-tidak-terima-dana-bantu-pelarian-rohingya-ahmad-zahid/

PH buntu tentukan Ketua Pembangkang



Roslan SMS

Parlimen akan bersidang pada 18 Mei ini. Khabarnya pihak kerajaan telah memohon nama Ketua Pembangkang baru dari Pakatan Harapan, blok parti terbesar yang menguasai bangku pembangkang.

Tetapi sehingga kini PKR, DAP dan Pan masih belum memutuskan siapakah calon mereka walaupun nama Anwar Ibrahim disebut-sebut.

Ketua Pembangkang yang lepas adalah Dato Ismail Sabri (BN) yang kini menjadi menteri kerajaan PN.

Di dalam PH hari ini DAP dengan 42 kerusi parlimen muncul sebagai parti terbesar. Masalahnya mengapa DAP menolak jawatan Ketua Pembangkang?

Mengapa tidak Kit Siang atau Guan Eng sahaja yang dicalonkan? Takkanlah dengan bilangan kerusi terbanyak PKR akan tolak pencalonan tokoh DAP itu, Pan pula pasti taat menyokong mustahil Pan berani sanggah DAP.

Kit Siang sebagai MP veteran cukup berpengalaman dengan berkali-kali memegang jawatan ini sebelumnya.

Setelah "Team Azmin'" angkat kaki tinggalkan PKR, parti itu sudah tunggang-langgang. Di Selangor mereka terpaksa kekalkan Amiruddin sebagai MB, Dorayah dan Haniza sebagai EXCO walaupun mereka orang Azmin kerana bimbang lebih ramai akan ikut jejak angkat kaki tinggalkan PKR.

Anwar ternyata gagal sebagai Presiden. Parti sendiri goyah, cita-cita menjadi PM berkecai dan kini mahu menuntut pula jawatan Ketua Pembangkang.

Kenapa takut sangat DAP ke hadapan menjadi Ketua Pembangkang?

Sementara itu bekas PM Tun Dr Mahathir pula telah menyatakan enggan duduk di bangku kerajaan walaupun partinya Bersatu merupakan komponan PN.

PH telah pecat Bersatu, marahkan Tan Sri Muhyiddin tetapi masih main kayu tiga dengan Tun. Tun pula telah menghancurkan peluang Anwar jadi PM bila letak jawatan sebagai PM. Anwar cukup marah dengan Tun.

Nampak bercelaru dan serabut sungguh PH ini.

Selesailah masalah rumah tangga terlebih dahulu sebelum mahu pertikai dan ganggu kerajaan PN yang semakin didukung dan diyakini rakyat.

Berita baik buat rakyat Terengganu - MB




Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

KERAJAAN Persekutuan bersetuju untuk mengurangkan kadar pemotongan bayaran hutang Terengganu kepada lima peratus berbanding 25 peratus, melalui royalti minyak atau Wang Tunai Petroleum (WTP) tahun ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Facebook miliknya, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, pengurangan potongan itu dipersetujui hasil pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Berita gembira buat rakyat Terengganu hari ini apabila Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bersetuju mengurangkan kadar pemotongan bayaran hutang negeri Terengganu daripada 25 peratus kepada lima peratus pada 2020 daripada bayaran WTP.

"Pertemuan tengah hari tadi (hari ini) turut disertai Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang membincangkan agenda berkaitan urusan kewangan kerajaan negeri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Kerajaan Terengganu sebelum ini menyuarakan harapan supaya pemotongan 25 peratus hutang kerajaan negeri itu menerusi WTP dipertimbangkan semula.

Pemotongan itu bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan yang lebih khusus kepada keperluan rakyatnya terutama ketika menghadapi pandemik Covid-19.

Tahun lalu, kerajaan negeri menerima RM1.277 bilion WTP daripada Kerajaan Persekutuan yang dibayar secara berperingkat mulai Januari hingga September.

Jumlah diterima itu adalah nilai selepas potongan hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 25 peratus atau RM129 juta.


Tahap stress meningkat sepanjang PKP



Oleh : Dr. Mohd Nasir bin Abd Kadir

Anda perlu tahu apakah tanda dan pencegahan stress yang baik. Sejak pelaksanaan PKP hingga ke hari ini pihak kami menerima terlalu banyak aduan keganasan rumah tangga dan perceraian, di sini kami kongsikan kepada anda beberapa point penting bagaimana untuk mengenalpasti masalah emosi yang mewarnai akhbar dan media sosial kebelakangan ini.

APA ITU STRES?

Stres atau tekanan adalah tindak balas fizikal, emosi dan mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau tuntutan

ADAKAH STRES SESUATU YANG BAHAYA?

Tidak

Bila stres rendah, hasil kerjanya juga rendah kerana kurangnya motivasi dan tumpuan kepada kerja.

Bila stres berada di peringkat tinggi, seseorang itu akan mengalami tekanan dan menunjukkan tanda-tanda stres.

Stres di peringkat sederhana adalah yang paling baik kerana ia akan meningkatkan motivasi dan perkembangan hidup seseorang itu.

pengurusan stres
(Sila rujuk Graf Stres Hans Selve)
BAGAIMANA SAYA TAHU, SAYA MENGALAMI STRES?

Fizikal

Gementar
Berpeluh
Rasa seram sejuk
Tangan dan kaki rasa sejuk
Sakit kepala atau rasa mual/nak muntah
Bernafas laju
Kering mulut
Kerap buang air kecil
Kerap buang air besar
Cirit birit
Kurang selera makan
Mudah dapat serangan penyakit:
a. Asma
b. Sakit belakang badan
c. Masalah penghadaman
d. Sakit kepala
e. Gatal-gatal
Masalah hubungan kelamin contoh kurang minat melakukan hubungan seksual
Sakit-sakit badan
Cepat letih
Psikologikal

Kebimbangan
Keliru dan kurang daya tumpuan
Sukar kawalan diri
Perubahan emosi:
a. Tekanan perasaan
b. Kekecewaan
c. Mewujudkan permusuhan
d. Rasa tak berdaya
e. Kurang sabar dan cepat marah
f. Lemah Semangat
Susah nak tidur
Mudah terpengaruh mengambil bahan yang terlarang seperti dadah dan arak
Gangguan Fikiran

Sukar membuat keputusan
Kurang minat terhadap aktiviti harian
Tidak merasa tercabar terhadap situasi yang sukar
Pemikiran positif terganggu disebabkan
a. Sering berfikiran negatif
b. Kurang memberi perhatian
c. Hilang keyakinan diri
d. Hilang tumpuan
Penurunan kekuatan mental dalam menghadapi perasaan bingung, takut, kecewa dan cepat marah
Tingkah laku

Bercakap dengan cepat dan kuat
Menguap
Suka gigit jari, mengetap bibir, kerap mengerakkan jari, letih
Perasaan yang negatif:
– Mudah tersinggung
– Terlalu bergantung kepada orang lain
– Suka memberi komen dan kritik orang lain
– Boleh bertindak ganas
– Bertindak secara tidak logik
– Bertindak keterlaluan dan terlalu beremosi
Kurang Kecekapan diri:
– Mudah lupa
– Selalu membuat kesilapan
– Sering terlibat kemalangan
Kurang produktiviti kerja
Menindakkan keupayaan diri sendiri
PUNCA STRES

Stres Ancaman (survival): Berlaku apabila anda berada dalam keadaan terancam sama ada dari segi emosi, fizikal dan perasaan seperti takut untuk mengatasi ancaman yang sedang dihadapi.
Stres dalam diri sendiri: Di mana anda adalah seorang yang mempunyai personaliti Jenis A iaitu bercita-cita terlalu tinggi, berkehendakkan kesempurnaan dalam semua kerja, terlalu mementingkan kerja dan mengharapkan hasil yang tinggi.
Apabila anda terlalu mengharapkan kesempurnaan yang sukar dicapai. Lima harapan kesempurnaan yang tidak realistik oleh seseorang itu adalah:
Anda mengharapkan orang lain mengagumi dan menyayangi anda
Anda menggagap diri anda kompeten setiap masa
Anda mempercayai orang lain yang menyebabkan segala kegagalan anda
Anda mengharapkan setiap kerja yang di hasilkan adalah sempurna yang dikehendaki oleh anda dan orang lain perlu mengikut kata-kata anda
Anda mempercayai pengalaman buruk yang lepas akan mempengaruhi masa depan anda
Stres Persekitaran Tempat Kerja Anda

Stres disebabkan persekitaran :

Ruang tempat kerja yang sempit
Ruang dan keadaan kerja yang tidak sesuai
Bising
Kawasan yang kotor dan tidak selesa
Pencemaran
Pengurusan persekitaran yang tidak cekap
Stres Disebabkan Bahan Kimia Dan Pemakanan

“Caffeine” boleh menyebabkan hormon stres dalam badan anda meningkat, sukar hendak tidur dan menyebabkan anda tidak selesa.

Peningkatan kandungan gula dalam darah dari pengambilan makanan yang manis dan coklat boleh memberi tenaga berlebihan kepada diri anda dalam masa yang singkat. Keadaan ini menyebabkan badan anda menghasilkan lebih banyak insulin bagi mengimbangi kandungan gula itu . Ia boleh memberi kesan ke atas penurunan tenaga yang mendadak selepas kenaikan kadar gula yang tinggi.
Pengambilan garam yang berlebihan boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah dan meletakkan badan anda mengalami stres disebabkan berlebihan bahan kimia.

Stres Disebabkan Cara Hidup Dan Pekerjaan

Faktor yang menyumbang kepada stres jenis ini ialah:

Beban kerja yang tinggi atau terlalu kurang
Dibebani oleh tanggungjawab di luar keupayaan dan pengalaman anda
Menghadapi banyak rintangan yang tidak sepatutnya diselesaikan oleh anda
Tekanan dari segi masa dan tarikh luput kerja yang perlu disiapkan
Kurang kemampuan untuk mengikuti peredaran masa
Perubahan dasar dan prosedur di tempat kerja
Kurang mendapat maklumat, nasihat dan sokongan yang bersesuaian
Tidak jelas tentang objektif yang hendak dicapai
Tidak jelas tentang kehendak ketua terhadap peranan anda
Dibebani dengan tanggungjawab terhadap orang bawahan, sumber kewangan dan peralatan
Tekanan perkembangan kerjaya seperti:
• Dalam tempoh percubaan, kecewa dan jemu terhadap pekerjaan sekarang
• Kenaikan pangkat di luar kemampuan diri
• Tidak jelas tentang perkembangan kerjaya pada masa akan datang
• Tiada peluang kenaikan pangkat
• Tiada jaminan pekerjaan
Tekanan daripada organisasi atau pelanggan seperti
• Tekanan dari pihak atasan
• Campur tangan terhadap bidang tugas
• Tuntutan berlebihan daripada pelanggan
• Gangguan terhadap perancangan kerja
• Gangguan telefon
Tekanan atas diri sendiri dan keluarga seperti:
• Masalah kewangan
• Masalah hubungan dengan keluarga
• Penyakit yang dialami
• Perubahan hidup seperti kelahiran, kematian, perkahwinan dan penceraian.
KOMPLIKASI

Apakah Yang Akan Terjadi Sekiranya Saya Tidak Ambil Berat Masalah Stres Yang Dihadapi?

Dalam jangka masa panjang, stres boleh memberi kesan yang teruk kepada diri anda. Anda perlu mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini, sekiranya tidak, ia akan memberi kesan kepada diri anda seperti berikut:
. Mudah keletihan dan cepat penat
. Kekecewaan
. Hilang semangat ( “burn out” )

PENCEGAHAN

Apa Perlu Saya Lakukan Untuk Mengurangkan Stres?

Anda perlu menerima kenyataan yang anda sedang mengalami stres.
Anda perlu kenal pasti punca yang menyebabkan anda stres.
Pelajarilah teknik dan kaedah pengurusan stres.
Sekiranya tiada perubahan dalam masalah stres yang anda hadapi selepas tiga minggu anda amalkan teknik dan pengurusan stres yang disarankan ini, berjumpalah dengan pakar dan dapatkan bantuan mereka.

http://www.kmj.matrik.edu.my/mengenai-kami/jabatan-pengurusan-pelajar/unit-kaunseling-kerjaya/17-unit-kaunseling-kerjaya/118-pengurusan-stress

Pembayaran fasa kedua BPN bermula 4 Mei - Tengku Zafrul



KUALA LUMPUR, 28 April -- Pembayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan dibuat bermula 4 Mei depan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pembayaran tersebut meliputi kesemua penerima BPN terdiri daripada golongan B40 dan M40, sama ada isi rumah atau individu bujang.



Menurutnya, sehingga 26 April, lebih 3.26 juta permohonan baharu dan rayuan telah diterima iaitu masing-masing sebanyak 2.96 juta dan 305,000.

“Proses ini akan tutup pada hari Khamis, 30 April ini dan pengumuman pembayaran pula akan dibuat pada minggu depan selepas proses semakan selesai,” katanya ketika membentangkan Laporan Laksana Ketiga Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, bagi pembayaran fasa pertama BPN sebanyak 7.74 juta penerima telah menerima bayaran yang berjumlah RM5.47 bilion.

Menurutnya, proses bayaran tunai bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank berjalan lancar bermula sejak 17 April lepas dengan lebih 157,000 orang menerima bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.

Sementara itu mengenai Dana Pinjaman Mudah PKS yang berjumlah RM6.3 bilion, beliau berkata, sehingga 26 April, sebanyak RM4.5 bilion telah diluluskan untuk 8,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Manakala bagi Geran Khas Prihatin untuk perniagaan mikro, permohonan geran khas ini akan dibuka mulai Jumaat ini.

“Proses permohonan akan diselaraskan dan diumumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam masa terdekat,” katanya.

Mengenai Program Subsidi Upah pula Tengku Zafrul berkata sehingga 26 April, permohonan subsidi upah yang diluluskan telah meningkat daripada 159,000 majikan melibatkan sejuta pekerja kepada 195,000 majikan yang melibatkan 1.5 juta pekerja.

“Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.35 bilion, iaitu peningkatan daripada RM1.2 bilion pada minggu sebelumnya,” katanya.

-- BERNAMA

COVID-19: PKP tidak mampu hapus jangkitan secara menyeluruh - KP Kesihatan



PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memaklumkan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh menghapuskan secara menyeluruh penularan wabak COVID-19.

Sebaliknya, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, masyarakat perlu bersedia menghadapi virus berkenaan untuk tempoh yang lebih panjang.

Bagaimanapun, kata beliau, keupayaan dan pencapaian Malaysia dalam melandaikan lengkung dan
mengawal penularan virus COVID-19 adalah kejayaan bersama rakyat dan kerajaan.

"Pelaksanaan PKP di negara ini merangkumi empat pelan tindakan utama, di mana dua tindakan adalah oleh kerajaan dan dua lagi tindakan adalah melibatkan masyarakat umum.
"Tindakan yang telah diambil kerajaan adalah kawalan pergerakan dan kawalan sempadan. Kawalan sempadan diperlukan untuk mengurangkan kes-kes import COVID-19 memandangkan lebih 180 buah negara yang terbabit dengan jangkitan ini," katanya dalam sidang media harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, hasil kawalan pergerakan juga dapat dilihat daripada pelaksanaan PKP tahap 1, 2 dan 3 menyaksikan pengurangan kebolehjangkitan COVID-19.

"Kementerian Kesihatan akan meneruskan aktiviti-aktiviti pembendungan dan pengawalan namun, penglibatan aktif rakyat adalah amat penting sekali.

"Justeru, dua tindakan yang perlu diteruskan rakyat dan penduduk adalah dengan mengamalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter dan menjaga tahap kebersihan diri terutama kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman," jelasnya.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid-19-pkp-tidak-mampu-hapus-jangkitan-secara-menyeluruh-kp-kesihatan-240574

Syarikat dibenarkan boleh beroperasi sepenuhnya - MITI

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi kebenaran beroperasi pada kapasiti penuh tanpa sekatan.

Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada kewajipan mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetap bagi sektor masing-masing.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, inisiatif itu akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan luar negara.

"Kebenaran ini berkuatkuasa mulai esok. Syarikat yang telah diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta merta dan dikenakan tindakan undang-undang.

"Ini tentunya akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Sementara kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan 'kebiasaan baharu' dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan," katanya.

Beliau berkata, penularan wabak COVID-19 memberi kesan kepada kesihatan rakyat dan juga ekonomi negara, sekali gus menyaksikan kerajaan mengambil langkah proaktif khususnya pelaksanaan PKP bagi membendung penularan wabak itu.

Katanya, kerajaan juga bertanggungjawab untuk memulihkan ekonomi termasuk melindungi mata pencarian rakyat, di mana usaha itu adalah untuk membina semula ekonomi yang mampan, berdaya saing, mengembalikan keyakinan pelabur serta menjamin pekerjaan.

"Usaha memerangi COVID-19 belum berjaya sepenuhnya tetapi kita telah dapat melandaikan keluk (curve) ke tahap yang terkawal. Namun, kita tidak seharusnya alpa dan akan terus berusaha sedaya upaya untuk menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat," katanya.

Mohamed Azmin berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang bersidang membincangkan kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

Mesyuarat meneliti kajian dan cadangan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, MITI, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Nasional, selain disertai Kementerian Kesihatan (KKM) yang diwakili oleh Menteri Kesihatan serta Ketua Pengarah Kesihatan yang membentangkan pandangan dan maklum balas di atas perkara yang dibincangkan.

"Perbincangan semalam tertumpu kepada keperluan untuk memulakan semula (restarting and reviving) rantaian bekalan ekonomi secara menyeluruh yang dapat membantu perniagaan untuk meneruskan operasi sepenuhnya, membina semula stok yang terjejas serta membolehkan penyampaian perkhidmatan dan barangan yang efisyen kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata, keputusan mesyuarat EAC dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang pada pagi tadi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta turut dihadiri oleh semua Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/04/682771/syarikat-dibenarkan-boleh-beroperasi-sepenuhnya-miti

MACSA: Isu Rohingya - Mengimbangi Hak Kedaulatan Negara dan Hak Kemanusiaan

Gambar sekadar hiasan

MACSA menyuarakan kebimbangan dalam perdebatan terkini mengenai isu mengimbangi hak kedaulatan negara Malaysia dan tanggungjawab negara terhadap pelarian, khususnya kumpulan Rohingya. Kami berpandangan ada keperluan yang mendesak untuk kesemua rakyat memahami apa yang sebenarnya berlaku supaya tidak timbul kebencian melulu berdasarkan berita palsu.

Pertama, kerisauan akibat terlalu ramai kaum Rohingnya adalah kebimbangan yang munasabah dan perlu diakui oleh semua. Malangnya akibat ini, pelbagai andaian yang tidak benar dan ekstrim diambil oleh sebahagian masyarakat. Ini berlaku adalah kerana kurang jelas apakah polisi dan tindakan kerajaan menanganinya selama ini.

MACSA percaya, penyelesaian yang baik adalah untuk Kerajaan memperjelaskan polisi dan tindakan yang diambil berkenaan dengan pelarian Rohingya. Penjelasan ini dapat menghuraikan bahawa polisi Malaysia bukanlah untuk memberikan kerakyatan dan mahu mereka pulang ke negara asal mereka, pada akhirnya. Dalam perkara ini kerajaan berpegang kepada prinsip non refoulement di bawah undang2 antarabangsa. Mereka ini akan dipulangkan apabila keadaan mereka selamat dan terma2 penghantaran balik dipersetujui oleh kedua belah pihak. Rakyat juga perlu tahu proses ini akan mengambil masa yang lama. Selain itu, kerajaan juga harus menerangkan bahawa Malaysia telah lama berusaha menempatkan pelarian Rohingya di negara lain dan telah mengambil beberapa tindakan untuk mendesak pematuhan dari Myanmar. Sementara menanti dipulangkan, kita perlukan satu dasar efektif untuk mereka yang berada di sini.

Kedua, MACSA mengambil maklum tentang  beberapa insiden yang menunjukkan sesetengah pelarian Rohingya tidak mengamal kebersihan yang baik dan ada yang berseteru terhadap rakyat Malaysia. Namun, meskipun wujud di kalangan pelarian Rohingya yang berkelakuan sedemikian, ia tidak mewajarkan prejudis menyeluruh digunapakai ke atas semua kaum Rohingnya. Dalam pada rakyat dunia bermatian memerangi wabak COVID-19, wabak kebencian ini tidak seharusnya diberikan tempat untuk menular di hati-hati rakyat Malaysia.

Untuk menyelesaikan masalah ini selain dari penguatkuasaan, kita harus mengambil maklum pertembungan budaya. Ramai dari kaum Rohingnya ini dhaif, miskin dan tidak berpelajaran, semenjak mereka datang dari Myanmar lagi. Jadi pembudayaan termasuk amalan kebersihan amatlah berbeza daripada rakyat Malaysia. Jurang pembudayaan akibat kemiskinan ini tidak wajar dijadikan galas untuk meneruskan prejudis yang kuat.

Apa yang harus dilakukan adalah mengiktiraf aduan rakyat Malaysia yang sah ini dengan meningkatkan tahap pembudayaan kaum Rohingnya untuk mendekati tahap pembudayaan rakyat Malaysia sendiri. Untuk ini, kita perlukan badan-badan yang mewakili pelarian Rohingnya untuk sama membantu. Organisasi bukan kerajaan (NGO) dan
organisasi masyarakat sivil (CSO) misalnya bukan sahaja perlu menumpukan kepada pemberian bantuan kemanusian tetapi juga merapatkan jurang pembudayaan sosial di antara kita. Untuk langkah jangka masa panjang, pembudayaan ini hanya dapat diterapkan melalui pendidikan. Dengan ini diharapkan, kita dapat duduk bersama dengan aman.

MACSA menggesa segala tuturcara kebencian tidak berasas dihentikan segera. Kritikan yang berasas patut diluahkan dan diterima tetapi tularan perkara palsu dan yang tidak boleh disahkan untuk memupuk kebencian mestilah dibendung setegas-tegasnya.

KENYATAAN BERSAMA:

LUKMAN SHERIFF ALIAS ialah Pengasas Malaysian Lawyers’ Circle (MLC) merangkap Pengerusi MACSA.

PROF MADYA DR. RAFIDAH HANIM MOKHTAR ialah Presiden, Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) merangkap Pengerusi Bersama MACSA.
© all rights reserved
made with by templateszoo