NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SPM 2019: 8,876 peroleh keputusan cemerlang


PENCAPAIAN calon Sijil Pelajaran Malaysia bagi tahun 2019 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya, dengan Gred Purata Nasional (GPN) yang dicatatkan bagi tahun 2019 adalah 4.86 berbanding 4.89 pada 2018.

Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim berkata, 8,876 calon atau 2.28 peratus calon memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua matapelajaran berbanding 8,436 calon atau 2.15 peratus pada 2018.

Pada tahun 2019, peratus calon yang layak menerima sijil SPM meningkat sebanyak 0.33 peratus iaitu 86.72 peratus (337,773 calon) berbanding 86.39 peratus (338,350 calon) pada 2018, katanya.

“Bilangan calon yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya lima kepujian termasuk Bahasa Melayu dan lulus Sejarah adalah 246,645 calon,” katanya ketika pengumuman analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2019 di Kementerian Pendidikan, Putrajaya pada Khamis.

Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

Trend GPN pada 2015 ialah 5.08, 2016 (5.05) dan 2017 (4.90).

Pada tahun 2019, seramai 389,498 calon telah menduduki peperiksaan SPM.

Habibah berkata pada 2019, seramai 307,445 calon atau 78.93 peratus telah menguasai dua bahasa iaitu sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Mengenai pencapaian mengikut lokasi, beliau berkata pencapaian calon SPM di bandar dan di luar bandar meningkat pada 2019.

"Namun, pencapaian calon di bandar adalah lebih baik daripada calon di luar bandar. Perbezaan ini menyebabkan jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar bertambah 0.01 pada 2019 berbanding 2018," katanya.

Mengenai prestasi mata pelajaran, Habibah berkata keputusan peperiksaan SPM 2019 menunjukkan sebanyak 48 dari 83 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi manakala 27 mata pelajaran mencatatkan penurunan.

Habibah berkata, tiga mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Moral menunjukkan peningkatan prestasi manakala mata pelajaran teras yang lain iaitu Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik dan Sains mencatatkan penurunan.

“Prestasi Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan yang tertinggi sebanyak 0.17 peratus manakala Sains menunjukkan penurunan tertinggi iaitu sebanyak 0.14 peratus,” katanya.

Mengenai calon berkeperluan khas, Habibah berkata seramai 16 calon berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Habibah berkata, 1,402 calon berkeperluan khas telah menduduki SPM 2019 dan daripada jumlah itu, 61.34 peratus atau 860 calon layak dianugerahkan sijil SPM.

“Hal ini menunjukkan bahawa semua calon yang menduduki peperiksaan SPM berpeluang memperoleh kejayaan,” katanya.

Mengenai keupayaan calon menjawab soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Habibah berkata secara keseluruhan, 56 peratus calon SPM 2019 telah menguasai KBAT dengan baik berbanding 61.1 peratus calon pada tahun 2018

Ditanya mengenai perbezaan jumlah calon yang mendaftar bagi SPM 2019 iaitu 416,416 calon berbanding calon yang menduduki iaitu seramai 389,498 calon, Habibah berkata ia disebabkan terdapat calon yang tidak hadir.

Kepada soalan negeri mana yang mencatatkan keputusan SPM 2019 terbaik, beliau berkata Kementerian Pendidikan tidak memberi tumpuan kepada pencapaian berdasarkan negeri tetapi pencapaian calon itu sendiri. - BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo