Rom Timur dan Rom Barat bertaut

oleh:Abdul Muein Abadi 

SEPULUH kapal terbang tentera Rusia Il-76 tiba di Pangkalan Tentera Udara Pratica di Mare, Rom, Itali sejak awal minggu ini.

Pesawat milik Russian Aerospace Force itu membawa hampir seratus orang pakar perubatan Rusia bersama-sama unit kenderaan dan peralatan untuk mendiagnosis dan menyahkuman Covid-19.

Kesemua itu hasil inisiatif Presiden Rusia, Vladimir Putin yang ingin membantu Itali, negara paling terjejas akibat Covid-19, susulan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte pada 21 Mac lalu.

Kehadiran pasukan bantuan pakar perubatan dan peralatan dari Rusia itu tidak boleh dipandang remeh. Bahkan Financial Times (FT) melaporkan peristiwa tersebut sebagai bersejarah.

Umum mengetahui bahawa Itali antara negara pengasas Kesatuan Eropah (EU) serta sekutu dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dikepalai Amerika Syarikat (AS) iaitu seteru utama Rusia sejak era Kesatuan Soviet lagi.

Bahkan Itali dilapor menempatkan bom nuklear B61 AS di pangkalan tentera Aviano dan Ghedi, namun kini hubungan bilateral antara Itali sebagai pewaris Rom Barat dengan Rusia, pewaris Rom Timur (Kristian Ortodoks) kembali bertaut.

Pastinya, sebagai negara anggota EU dan NATO, Itali terikat untuk melaksanakan dasar sekatan ekonomi dan ketenteraan terhadap Moscow.

Negara pewaris Rom Barat itu tentu diingatkan dengan ‘jasa besar’ Rancangan Marshall oleh AS yang membantu memulihkan ekonomi Itali dan Eropah Barat pasca-Perang Dunia Kedua.

Itali pasti sedar dengan ancaman Rusia yang sering dilaungkan Washington biarpun hakikatnya AS yang tidak henti-henti meluaskan wilayah NATO ke sempadan Rusia.

Bagaimanapun, realiti semasa benar-benar menguatkan peluang untuk pertautan kembali hubungan Rom-Moscow.

Dari sudut pandang sejarah, Rusia boleh dianggap sebagai pewaris utama kekuasaan Rom Timur yang dahulunya diwakili Empayar Kristian Ortodoks Byzantine.

Empayar yang berpusat di Constantinople, kini dikenali sebagai Istanbul, tumbang selepas penaklukan Sultan Muhammad Al-Fateh daripada Uthmaniyah. Itali pula tapak utama pembentukan Empayar Rom yang asal.

Pewaris

Sejarah mencatatkan bagaimana pada tahun 1,054, perpecahan agama antara Timur-Barat ini terjadi.

Dalam peristiwa yang dikenali sebagai Great Schism ini, Gereja Roman Katolik mengisytiharkan Gereja Ortodoks Timur sebagai terkeluar daripada ‘jalan ke syurga’ apabila Kardinal Humbert of Silva Candida meletakkan bull of ecommunication di altar Gereja Hagia Sophia, Constantinople.

Dari segi politik pula, Empayar Rom Timur (Byzantine) wujud selepas keruntuhan Empayar Rom Barat.

Berbeza dengan Rom Timur yang dikuasai Kristian Ortodoks, Rom Barat lebih berpengaruh dari segi jumlah pengikut Katolik yang lebih besar.

Bahkan ajaran Kristian Katolik cukup sinonim dengan nama ‘Roman Katolik’. Namun, Rom Timur memiliki tempat yang istimewa dalam Islam kerana nama empayar itu diabadikan dalam al-Quran iaitu surah al-Rum.

Kisah Empayar Rom Timur itu dicatatkan dalam al-Quran berkenaan peperangan tentera Islam dengan Parsi maksudnya: “Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran ALLAH jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA, dan DIA jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (Ayat 1-5).

Kini, pewaris Rom Timur dan Rom Barat saling membantu mendepani ujian Covid-19 daripada yang Maha Esa.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post