PM8: Muhyiddin angkat sumpah hari ini



KUALA LUMPUR, 6 Rejab 1441H, Ahad – Selepas seminggu negara menghadapi kemelut kepimpinan politik, Malaysia hari ini bakal menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dijadual diadakan di Istana Negara pada 10.30 pagi ini.

Majlis berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen.

Pelantikan Muhyiddin, 72, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Perdana Menteri kelapan, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Pagoh itu dilantik ke jawatan nombor satu kerajaan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Feb, sehingga mencetuskan krisis politik tanah air, menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa dan perubahan gabungan parti-parti politik.-Bernama

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post