Perang Di Bumi Islam : Nasib Pelarian Umat Islam Bagai Telur Di Hujung Tanduk.



Saat ini, seluruh dunia sedang dalam keadaan kelam kabut dan ketakutan akibat daripada penularan wabak coronavirus atau Covid-19 yang begitu meluas di seluruh dunia. World Health Organization ( WHO ) baru – baru ini mengisytiharkan coronavirus sebagai pandemik atau wabak besar kepada dunia sebagaimana yang dikategorikan kepada penyakit batuk kering, cacar dan juga HIV.
Selain WHO yang sedang mencari anti virus atau penawar kepada wabak coronavirus atau Covid-19, banyak negara – negara di dunia juga sedang berusaha mengekang penularan wabak tersebut daripada merebak sehingga mampu menjejaskan negara dan juga rakyat mereka. Wuhan di China yang dipercayai bermulanya penularan wabak tersebut, penduduknya dikenakan perintah berkurung untuk mengekang wabak tersebut daripada merebak dengan lebih meluas.

Itali telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara dalam usaha menyekat wabak tersebut daripada merebak. Amerika Syarikat juga baru – baru ini telah mengenakan sekatan perjalanan dan larangan masuk ke atas warga Eropah dan beberapa negara Asia. Begitu juga banyak negara lagi yang telah mengenakan sekatan perjalanan ke atas warga negara yang mempunyai kadar jangkitan yang tinggi dan juga individu yang disyaki pembawa wabak Covid-19.

Walaupun penularan wabak Covid-19 begitu meluas dan masih belum ada vaksin khusus yang mampu mengubatinya, kebanyakkan negara – negara di dunia ini baik negara maju mahupun negara membangun mempunyai kepakaran, pengalaman dan juga infrastuktur untuk mengekang wabak ini daripada merebak dengan cepat dan lebih meluas berdasarkan pengalaman wabak pandemik lalu seperti batuk kering dan HIV.

Dengan WHO yang sedang berusaha bertungkus – lumus untuk mengenal pasti punca utama wabak Covid-19, cara untuk menanganinya dan juga mencari jalan untuk menghasilkan vaksin yang mampu melawan wabak tersebut serta menyembuhkan pesakit, lambat laun pasti akan ada perkembangan positif dalam usaha untuk menangani wabak tersebut. Saat ini, kita semua umpama mengejar masa, tempat dan ketika agar tidak dijangkiti mahupun tergolong sebagai pembawa wabak Covid-19.

Dalam semua kekalutan ini akibat daripada kepantasan merebaknya dan bahayanya covid-19, ramai yang seakan lupa akan segolongan manusia yang tidak mampu berbuat apa – apa jika dijangkiti atau menjadi pembawa wabak Covid-19 iaitu pelarian samada akibat daripada peperangan, penjajahan mahupun pembersihan etnik terutamanya umat Islam. Peperangan di Yemen, Syria, Afghanistan, Libya, Sudan, penjajahan regim Israel ke atas Palestin serta pembersihan etnik di Myanmar dan Xinjiang, China telah menghasilkan puluhan juta pelarian yang bertebaran di seluruh dunia.

Mungkin ada segelintir pelarian ini yang telah melepasi tahap kesukaran di kem – kem pelarian dan telah berjaya hidup dengan agak selesa, namun majoriti daripada pelarian ini masih terkapai – kapai di kem – kem pelarian di serata dunia dalam jumlah yang besar iaitu jutaan orang. Daripada jumlah tersebut, masih ramai lagi yang cuba melarikan diri samada dari medan perang, kezaliman penjajahan atau pembersihan etnik.

Mereka terkandas di kampung halaman atau negara mereka sendiri yang porak peranda tanpa tempat tinggal, bekalan air bersih dan tenaga eletrik serta infrastruktur minima yang sudah tentunya kekurangan keperluan perubatan asas, sama seperti situasi pelarian – pelarian umat Islam yang bertebaran di seluruh dunia. Bayangkan bagaimana nasib umat Islam yang berjumlah jutaan orang ini jika merebaknya Covid-19 dikalangan mereka ?

Umum kita mengetahui kekurangan yang terdapat di kem – kem pelarian di serata dunia seperti kekurangan makanan berkhasiat, bekalan air bersih serta bekalan ubat – ubatan asas yang terhad. Apatah lagi selalu kita tentang bagaimana layanan yang diberikan terhadap pelarian umat Islam terutamanya di negara – negara Eropah malah adakalanya mereka dizalimi dan ditindas kerana beragama Islam.

Disaat mereka sememangnya sudah berada dalam kesusahan, bagaimanakah jika Covid-19 ini merebak di kem – kem pelarian yang dihuni umat Islam ? Sudah tentu nasib mereka bertambah buruk dan mampu menyebabkan kematian yang besar jumlahnya memandangkan keadaan kem – kem tersebut begitu sesak dengan manusia dan serba kekurangan serta kemampuan wabak Covid-19 menular di serata tempat dengan begitu pantas dan mudahnya ia menjangkiti manusia.

Apakah yang mampu dilakukan oleh badan – badan yang sepatutnya membela umat dan Dunia Islam jika berlaku sedemikian ? Melihat kepada keadaan sekarang betapa bercelarunya Dunia Islam dan kebanyakkan bersikap memihak samada kepada negara – negara Islam yang kaya dan berpengaruh atau musuh – musuh Islam, tidak nampak langsung keadaan ini akan berubah untuk kebaikan Dunia Islam dan umatnya. Ternyata umat dan Dunia Islam kini amat lemah dan terumbang – ambing.

Umat Islam Aset Terpenting Dunia Islam.

Dengan jumlah populasi sebanyak 2 billion orang, Islam adalah agama kedua terbesar didunia. Namun daripada jumlah tersebut, hampir 1 peratus daripadanya adalah pelarian akibat perang, penjajahan mahupun pembersihan etnik. Boleh dikatakan kebanyakkan negara dikalangan Dunia Islam dikategorikan sebagai negara membangun atau negara dunia ketiga. Hampir 35 peratus daripada populasi umat Islam boleh dikategorikan sebagai berpendapatan rendah atau miskin.

Namun kebanyakkan negara Dunia Islam kaya dengan sumber alam semulajadi seperti minyak dan gas, mineral dan berkedudukan strategik di setiap sudut benua yang sepatutnya mampu menjana hasil lumayan untuk menampung kehidupan umat Islam mahupun negara masing – masing. Entah dimana silapnya, hanya segelintir sahaja negara Dunia Islam dan umat Islam yang berkemampuan untuk hidup selesa mahupun mewah. Selebihnya hanya negara – negara dunia ketiga yang dikategorikan miskin.

Selepas kejatuhan Kerajaan Othmaniah dan perang dunia pertama, Dunia Islam terjerat dalam perang yang berpanjangan dan perebutan kuasa. Disaat ini juga banyak dikalangan negara Dunia Islam masih dijajah oleh kuasa imperialis Barat yang mengaut hasil bumi Dunia Islam untuk kepentingan mereka. Perang dunia kedua menyaksikan banyak negara Dunia Islam telah keluar dari era penjajahan mahupun cengkaman imperialis Barat dengan mengisytiharkan kemerdekaan.

Namun ada juga negara Dunia Islam yang dijajah ketika perang dunia kedua seperti Palestin namun majoritinya berjaya keluar dari cengkaman penjajah. Ketika itu kebanyakkan negara Dunia Islam telah mempunyai sumber ekonomi yang kukuh seperti minyak, mineral seperti bijih timah, emas dan berlian malah ada negara Dunia Islam yang berkedudukan strategik menjadi pelabuhan singgahan kapal – kapal perdagangan yang mengaut hasil yang lumayan.

Hanya ketika itu, sumber tenaga manusia negara Dunia Islam masih berada dikategori tidak mahir dan berpendidikan rendah. Sekarang dengan pelbagai kepakaran, teknologi dan cerdik pandai dikalangan umat Islam, Dunia Islam masih lagi tidak berubah secara amnya. Dunia Islam masih lagi ketinggalan dalam pelbagai sudut walau mempunyai sumber tenaga manusia yang banyak, berkemampuan serta berkebolehan. Walau terdapat negara Dunia Islam yang kaya raya, majoriti Dunia Islam masih ditakuk lama seperti 70 tahun dahulu.

Sumber kekayaan yang ada di Dunia Islam telah menjadikan peperangan sebagai jalan untuk mendapatkan kuasa dan berkuasa. Negara Dunia Islam yang kaya menindas negara Dunia Islam yang miskin. Juga Dunia Islam menjadi berpuak – puak dan memihak samada kepada yang kaya mahupun berpengaruh besar. Yang menjadi mangsa ialah umat Islam kerana akibat persengketaan ini, umat Islam terutamanya rakyat biasa tidak mampu bangkit setelah kehancuran terutamanya selepas peperangan.

Majoriti yang menjadi mangsa akhirnya menjadi pelarian samada akibat peperangan, penjajahan, penindasan mahupun pembersihan etnik. Masa depan mereka menjadi gelap dengan tiada jamiman kehidupan yang baik untuk diri dan keluarga mereka. Ramai dikalangan mereka menjadi umpan mahupun sasaran pihak yang bertelagah lalu menjadi korban akibat kerakusan sesetengah manusia yang gila untuk berkuasa.

Akhirnya seperti yang kita lihat hari ini, majoriti negara Dunia Islam yang bertelagah musnah sama sekali dan jutaan rakyatnya menjadi pelarian. Pihak – pihak yang bertelagah kerana inginkan kuasa tetap hidup mewah dan senang lenang tanpa memikirkan nasib umat Islam yang dijanjikan bulan bintang namun sebenarnya hanya tipu daya dan muslihat licik pemerintah yang rakus dan tamak. Ada yang berjaya melarikan diri namun banyak yang terkorban.

Umat Islam yang tidak berdosa menjadi pelarian meninggalkan kampung halaman dan negara mereka untuk mencari hidup baru. Ada dikalangan mereka berjaya namun majoritinya masih hidup melarat dan terkandas di kem – kem pelarian di serata dunia selama bertahun – tahun. Akibat sikap tamak dan rakus segelintir pemerintah dan pihak – pihak yang bertelagah, Dunia Islam kehilangan sumber tenaga manusia yang cukup banyak malah ada dikalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara Dunia Islam.

Jika pemerintah dan pihak – pihak yang bertelagah ini sedar, merekalah sebenarnya pemusnah masa depan negara dan rakyat mereka sendiri samada kerana tamak dan gilakan kuasa. Mereka lupa bahawa amanah sebagai pemimpin itu besar sebagaimana yang dinyatakan dalam Al – Quran dan Hadith namun mereka ingkar dan melanggar amanah Allah SWT kerana tamak dan gilakan kuasa. Yang menjadi korban ialah rakyat mereka dikalangan umat Islam.

Jika mereka iaitu pemerintah dan pihak – pihak yang bertelagah kerana perebutan kuasa ini sedar tanggungjawab mereka sebagai pemimpin, sudah tentunya mereka tidak akan mensia – siakan rakyat mereka dikalangan umat Islam. Mereka sepatutnya berganding – bahu membangunkan negara mereka seterusnya memakmurkan negara mereka untuk masa depan yang lebih baik. Dengan sumber tenaga manusia yang begitu ramai dan berkebolehan, pemerintah dan pihak yang bertelagah ini lebih rela rakyat mereka menjadi pelarian demi cita – cita untuk berkuasa dan ketamakan atas khazanah bumi negara mereka.

Akhirnya, jutaan rakyat yang tidak berdosa menjadi pelarian yang entah bila dapat mengecapi masa depan yang lebih baik. Mereka ini hidup kais pagi makan pagi tanpa kemudahan asas yang mencukupi. Ramai yang kebuluran malah ada yang mati akibat daripada kekurangan tersebut. Tangan – tangan pemimpin dan pihak yang bertelagah ini dipenuhi dengan darah dan airmata umat Islam yang tertindas dan tidak berdosa yang tentunya akan menjadi saksi dihadapan Allah SWT kelak setelah mereka menemui ajal.

Alangkah ruginya Dunia Islam kerana dengan pelbagai kelebihan yang dikurniakan Allah SWT, ia disalah guna, disia –siakan dan diambil untuk kepentingan diri sendiri. Tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh Allah SWT telah disalah guna. Sumber tenaga manusia yang begitu ramai dikalangan umat Islam yang sepatutnya diambil manfaat untuk pembangunan negara dijadikan umpan dan tebusan untuk habuan diri sendiri.

Natijahnya, akibat sikap tamak dan gilakan kuasa Dunia Islam telah hilang ruh Islam dan tali persaudaraan. Apa yang terjadi dikalangan umat dan Dunia Islam saat ini adalah akibat kelemahan umat dan Dunia Islam sendiri terutamanya pemimpin dan pihak – pihak yang bertelagah untuk berkuasa. Mereka inilah sebenarnya yang menjadi penyebab utama kehancuran kesatuan Dunia Islam dan patut dipersalahkan.

Akibat tindakan mereka, jutaan umat Islam menjadi pelarian. Bayangkan jika disaat ini mereka iaitu jutaan umat Islam yang menjadi pelarian sedang bersesak – sesak di kem pelarian untuk meneruskan kelansungan hidup mereka dijangkiti oleh Covid-19, apakah nasib mereka seterusnya ? Jika diikut lazim saat ini, sudah tentunya mereka ini akan terkorban dalam jumlah yang cukup besar. Maka tangan – tangan pemimpin dan pihak yang bertelagah ini akan terpalit darah yang mampu menjadi saksi kekejaman dan kezaliman mereka.

Islam Memimpin Perpaduan Dan Kecemerlangan.

Islam seharusnya dijadikan sandaran untuk memimpin perpaduan dikalangan negara Dunia Islam tetapi sayangnya Islam digunakan untuk kepentingan pemimpin tertentu dan pihak – pihak yang bertelagah untuk kepentingan mereka sendiri supaya kekal berkuasa mahupun merebut kuasa. Sebenarnya mereka – mereka ini telah lari daripada matlamat Islam yang sebenar sebagai pemimpin dengan mengutamakan kehendak mereka. Yang menjadi mangsa ialah jutaan umat Islam yang tidak berdosa yang menjadi korban mahupun pelarian.

Oleh itu kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar sebagai pemimpin kepada rakyat dan umat Islam. Jadikanlah Islam sebagai asas perpaduan dan ambil iktibar atas segala kemusnahan serta malapetaka yang berlaku. Tiada satu pun keuntungan yang diperolehi akibat daripada perseteruan yang berlaku namun hakikatnya umat dan Dunia Islamlah yang paling rugi. Lihatlah disekeliling nasib jutaan umat Islam yang menjadi pelarian akibat dari sikap dan ego segelintir pemimpin negara Dunia Islam.

Dunia Islam sebenarnya mampu menyinar kembali dengan lebih cemerlang dan gemilang asalkan dipupuk tali persaudaraan dan perpaduan dikalangan Dunia Islam. Dunia Islam mampu menjadi lebih maju dan membangun jika perpaduan dijadikan asas dalam mengukuhkan kesepaduan dan mengembalikan kekuatan Dunia Islam. Namun selagimana negara – negara Dunia Islam berpuak – puak dan bersengketa sesama sendiri, masih jauh lagi perjalanan untuk mengembalikan kegemilangan dan kekuatan Dunia Islam.

Semoga Pimpinan Negara Dunia Islam Diberikan Hidayah Dan Petunjuk Oleh Allah SWT.

Islam Memimpin Perpaduan.

***YB Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Burok.

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post