NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS utamakan agenda pemulihan ekonomi negara


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengutamakan agenda memulihkan ekonomi negara dan memastikan pembangunan seimbang antara Semenanjung, Sabah serta Sarawak.


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata ia adalah antara matlamat utama yang diletakkan dalam pentadbiran kerajaan baharu berteraskan kerjasama Perikatan Nasional.

Katanya, inisiatif lain yang turut digariskan PAS mencakupi usaha merapatkan jurang sosioekonomi antara golongan kaya dan miskin.

“Mesyuarat PAS hari ini membincangkan beberapa perkara, termasuk harapan supaya Kerajaan Persekutuan dapat meningkatkan tahap pendidikan.

“Kita juga inginkan prinsip federalisme sentiasa dijaga, selain mengajak rakyat Malaysia untuk memelihara keharmonian dan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Kita perlu berlaku adil dan menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan barisan kepemimpinan utama parti.

Kali pertama menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 46 tahun, Abdul Hadi menegaskan misi utama kini adalah untuk menyelamatkan negara daripada krisis politik yang berpanjangan.

Ditanya pembahagian jawatan dalam Kabinet bersandarkan pegangan kerusi dalam Perikatan Nasional, Ahli Parlimen Marang itu berkata percaturan berkenaan belum dibincangkan.

“Selamatkan negara dulu daripada krisis politik. (Pembahagian jawatan dalam Kabinet akan dibuat) dalam tempoh terdekat.

Kepada soalan sama ada wujud keperluan mengadakan sidang khas Dewan Rakyat, Abdul Hadi mengambil pendirian langkah sedemikian tidak wajar, memandangkan Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Abdul Hadi berkata, titah baginda sebaliknya harus dihormati dan dipegang bagi mengelak polemik politik di negara ini tidak terus meruncing.

“Titah Agong sudah cukup untuk pecahkan keraguan itu selepas mendapat pandangan daripada wakil rakyat dan berteraskan prinsip demokrasi berparlimen,” katanya.

Sumber:https://www.bhplus.com.my/berita/politik/2020/03/661052/pas-utamakan-agenda-pemulihan-ekonomi-negara

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo