NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Dan Pengaruh Pondok, Simbiosis!



Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Insyaallah Pondok Pasir Tumbuh atau Madrasah Bakriah Diniah akan menyaksikan kehadiran ribuan ulama serta para asatizah ke Ijtimak Pondok yang berlangsung pada tanggal 7 Mac ini. Dalam suasana politik yang suhunya panas membahang namun penggerak-penggerak pondok yang dinamakan Majlis Muafakat Pondok Malaysia yang dipengerusikan oleh Ustaz Mokhtar Senik yang juga merupakan alumni Pondok Pasir Tumbuh Kelantan membuktikan bahawa PAS masih merupakan wadah perjuangan yang tak mampu dipisahkan daripada institusi agama tradisional berpengaruh negara ini.

Minggu ini sempena dengan pelancaran Majlis Muafakat Pondok Malaysia peringkat negeri Kedah ,ratusan ulama dan asatizah berhimpun di Kompleks PAS Kota Sarang Semut. Kedah antara negeri pengkalan kuasa PAS dan mempunyai pengaruh PAS yang kuat akibat kekuatan pondok dan madrasah. Himpunan ini juga turut menggamit kehadiran penggerak pondok daripada Pulau Pinang, Perak ,Terengganu dan Perlis. Agak paralel antara PAS dan pondok.
Kawasan yang subur dengan tradisi pondok ini pula terbukti menjadi kawasan yang kuat menerima pengaruh PAS. Secara tidak langsung negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu menjadi pertapakan kepada PAS dalam meluaskan sokongan massa.

Pimpinan PAS terus memanfaatkan ruang untuk mendekati guru-guru pondok kerana kedudukan guru pondok yang dihormati dalam hirarki masyarakat Melayu. Menguasai guru pondok bermakna PAS akan terus relevan kepada masyarakat, ini adalah kerana justifikasi sosial seseorang guru agama dengan kebenaran. Di Kelantan pada zaman awal penubuhan PAS usaha-usaha terus dibuat untuk mendapatkan dokongan guru-guru pondok.

Dalam jajahan Bachok pula ialah Tuan Guru Haji Muhammad, Tuan Guru Haji Awang Padang, Tuan Guru Haji Muhammad Zain bin Osman dan beberapa orang lagi tokoh ilmuan Islam. Manakala di sebelah Tumpat, Tuan Guru Haji Sulaiman bin Haji Omar, Tuan Guru Haji Yaakob Kelong, Tuan Guru Haji Daud Geting dan lain-lain lagi. Manakala di Jajahan Machang ialah Tuan Guru Haji Razali Ismail di Pulai Chondong dan Tuan Guru Wan Yusuf bin Che Tengah. Di Kuala Krai ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman. Di Tanah Merah ialah Tuan Guru Haji Nik Daud Bukit Remah. Di Pasir Puteh, Tuan Guru Haji Muhammad di Selising, Tuan Guru Haji Abdul Muttalib Bukit Abal, Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal dan lain-lain lagi.

Kejayaan PAS adalah kerana cita-cita politik Islamnya diterima oleh rakyat Kelantan dan Terengganu kerana rakyat kedua-dua negeri ini memandang tinggi tok guru dan guru-guru agama yang menjadi calon-calon parti itu. Pengaruh tok-tok guru ini cukup kuat pada masa itu, iaitu apabila guru-guru pondok ini memberi sokongan kepada PAS, juga rakyat juga mudah terpengaruh dan mencontohinya seperti yang berlaku kepada Tuan Guru Haji Abdullah Tahir di Pondok Bunut Payong, Kelantan. Begitu juga dengan kemenangan Tuan Guru Haji Ahmad Hussien pada tahun 1955.

Pondok telah menjadi sebahagian institusi yang penting dalam Pendidikan Islam di alam Melayu ini termasuk di Indonesia, Thailand, Malaysia. Pondok dan PAS telah begitu sinonim dan dikenal pasti semenjak dekad 1950-an lagi, guru-guru dan pelajar pondok telah mendokong PAS. Pandangan bahawa pondok dan tuan guru pondok telah memberikan lonjakan besar terhadap pengaruh PAS turut dipersetujui oleh tokoh veteran PAS Kelantan, Salahuddin Abdullah (2010):

"Boleh dikatakan majoriti tokoh-tokoh agama di Kelantan menyokong penuh perjuangan PAS. Mereka terdiri daripada para tuan-tuan guru yang memimpin pondok-pondok pengajian agama di seluruh negeri Kelantan dan menggunakan pengaruh mereka untuk kepentingan PAS. Antara mereka ialah Tuan Guru Haji Abdul Ghani Kubang Bemban, Pasir Mas. Tokoh ini telah memberi sokongan padu kepada PAS dan menyebarkan konsep perjuangan PAS kepada rakan-rakan sejawatnya, tuan-tuan guru yang lain di Pasir Mas. Di Kota Bharu, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, Bunut Payong begitu amat menonjol menyokong PAS meskipun sudah agak berusia. Beliau sering diwakili oleh menantunya, Tuan Guru Haji Husin Rahimi. Di Kubang Kerian, Tuan Guru Haji Ahmad Kenali, Tuan Guru Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar di Pondok Terusan Limbat, Tuan Guru Haji Hasan Ketereh, Tuan Guru Haji Ismail Perol, Tuan Guru Haji Yusuf Padang Kala dan semua tok-tok guru institusi pondok di Kota Bharu ini menjadi penyokong PAS."

Pendidikan Islam termasuk pendidikan pondok mula mendapat nafas baru apabila berlakunya kebangkitan Islam yang bersifat fenomena di seluruh dunia. Serentak dengan kesedaran untuk mengembalikan kesedaran dan kemuliaan Islam, seruan supaya Pendidikan Islam dimartabatkan kembali berlaku serentak dengan permintaan tinggi peserta-peserta kebangkitan Islam untuk mendapatkan ilmu-ilmu Islam. Sekolah-sekolah pondok di negara ini mula bertenaga kembali, bahkan mula menawarkan kemahiran teknikal yang lain seperti asas perniagaan.

Di Kelantan, dengan kemenangan PAS pada tahun 1990, menyaksikan sekolah-sekolah pondok yang sedia ada mengalami penyuburan dan ransangan daripada kerajaan negeri. Antaranya dengan penubuhan Pusat Pembangunan Pondok, bantuan 'one-off', penubuhan pondok moden di Kandis, Bachok. Kelantan selepas tahun 1990 menyaksikan juga penubuhan pondok-pondok baru di seluruh negeri itu. Di samping itu, kerajaan negeri Kelantan juga menyediakan sumbangan kepada pusat-pusat pengajian pondok. Ini dilakukan sebagai mengenangkan jasa yang telah disumbangkan oleh pusat pengajian tersebut dalam mengembangkan agama Islam. Ia juga berperanan memastikan Islam itu sentiasa terpelihara sebagai warisan dari generasi ke generasi sehingga ke hari ini.

Terengganu juga menyaksikan sekolah-sekolah pondok sebagai tempat PAS berkembang. Antaranya Pondok Alur Keladi, Pondok Tok Jiring, Pondok Kuala Ibai, Pondok Losong dan beberapa buah sekolah pondok yang lain. Kerajaan PAS di Terengganu juga sepanjang pemerintahan singkatnya (1999-2004) telah mengambil usaha untuk membantu pondok-pondok tradisional yang sedia ada di negeri itu. Kerajaan negeri telah memberikan bantuan kepada pelajar pondok seperti bantuan zakat melalui MAIDAM. Beberapa pondok, seperti Pondok Kuala Ibai telah dibantu melalui bantuan "one off" serta bantuan zakat untuk pelajarnya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Bersambung.

(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo