Pakej Prihatin Adalah Amat Komprehensif



MAZLI NOOR
2 Syabaan 1441H
27 Mac 2020

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini adalah amat komprehensif. Jesteru Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri dan mengucapkan syabas atas tindakan yang amat tepat ini.

Kami berpandangan Pakej Prihatin ini mengambil kira semua elemen-elemen penting dalam kitaran ekonomi yang sudah pasti mampu untuk terus menyokong agregat penawaran dan permintaan, seterusnya mengekalkan keseimbangan. Ini nyata sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri iaitu hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Pakej yang komprehensif ini juga menepati komen kami pada 3 Mac 2020 lalu iaitu bagi memastikan kesan maksima bantuan yang ditawarkan melalui pakej rangsangan harus merangkumi semua sektor dan bukan terhad kepada sektor pelancongan sahaja. Ini bagi memastikan wujud kesan rantaian dalam sistem ekonomi yang seterusnya menghasilkan kesan gandaan yang akan menyokong pertumbuhan.

Langkah positif Kerajaan yang turut mengadakan bantuan sokongan bagi menyokong aktiviti ekonomi juga dilihat amat tepat. Ini dalam bentuk kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi bagi menyediakan internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta. Selain itu, tambahan RM400 juta akan dilaburkan untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan. Ini sudah pasti akan terus memperkasa ekonomi digital sebagai enjin pertumbuhan baharu dalam suasana krisis sekarang.

Disamping pengumuman Pakej Prihatin ini, faktor lain yang juga penting adalah langkah pengoptimuman kos yang juga perlu dilakukan dengan komprehensif di semua peringkat, samada di pihak penawaran dan juga permintaan, terutama dalam paras minyak mentah yang merudum sekarang. Semua pemain industri dan pengguna harus berjimat cermat untuk mengelakkan pembaziran sumber. Ini termasuk menyemak semula struktur kos masing-masing bagi memastikan harga boleh diturunkan dengan penurunan harga minyak, yang seterusnya menyokong pelaksanaan Pakej Prihatin. Penguatkuasaan di pihak Kerajaan perlu dilakukan bagi memastikan ini berlaku.

Apa yang lebih penting sekarang adalah pelaksanaan yang berkesan. Kami yakin dalam suasana seluruh rakyat dan negara yang terkesan dengan krisis Covid-19 ini, maka seluruh lapisan jentera Kerajaan dan juga rakyat keseluruhannya akan berganding bahu dan bekerja keras untuk memastikan Pakej Prihatin berjaya.

Semasa mengulas pakej terdahulu kami menyatakan keyakinan bahawa sekiranya pelaksanaan dapat dilakukan dengan berkesan maka sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.8% untuk tahun 2020 masih boleh dicapai. Jesteru kami masih mengekalkan sasaran tersebut buat masa ini. Namun begitu kami akan terus meneliti angka-angka semasa ekonomi, terutama bagi suku pertama 2020 nanti sebagai asas sebelum mengeluarkan sasaran baharu.

MAZLI NOOR islah Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.



0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post