Impak Ekonomi COVID19 – Syahir Sulaiman


Sebaik sahaja pelancong membatalkan tempahan, majikan mengarahkan pekerja bercuti, dan kerajaan menghadkan pergerakan, itu adalah petanda ‘krisis wabak’ yang perlu dibendung sudah bertukar menjadi ‘krisis ekonomi’ yang perlu dikawal.

Impak penularan wabak COVID19 tidak lagi terhad kepada risiko kesihatan yang boleh mengundang kehilangan upaya dan nyawa, namun turut menyumbang secara langsung terhadap kerencatan aktiviti ekonomi (disruption) dalam aspek permintaan, pengeluaran, pelaburan dan pendapatan.


Secara umumnya terdapat lima kesan rantaian ekonomi yang terjejas dengan penularan wabak COVID19 di seluruh dunia, dan turut menjejaskan ekonomi Malaysia.

1. Pertama, sektor pengilangan yang terjejas dengan penutupan operasi, menyumbang kepada pemberhentian pekerja dan penawaran barangan yang terhad di pasaran.

2. Kedua, sektor pelancongan dan pengangkutan yang terjejas dengan pembatalan tempahan, menyumbang kepada kerencatan ekonomi dalam sektor perkhidmatan.

3. Ketiga, sektor komoditi yang berdepan dengan kejatuhan harga akibat kejatuhan permintaan di peringkat dunia, khususnya minyak mentah, sawit dan getah.

4. Keempat, sektor pekerja dan pengguna yang diarahkan bercuti atau berdepan dengan sekatan pergerakan (movement control), menyumbang kepada kelemahan permintaan dan perbelanjaan.

5. Kelima, pasaran kewangan dan matawang yang berdepan dengan ketidaktentuan global serta pemindahan modal daripada pasaran yang berisiko tinggi.

Namun, terdapat sektor tertentu yang mendapat kesan ‘positif’ di sebalik kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan ini, antaranya portal pembelian online (cth. Lazada, Shopee) dan penghantaran makanan (cth. Foodpanda, GrabFood), menunjukkan potensi yang amat besar terhadap masa depan ekonomi digital (gig-economy) di negara kita.

Di peringkat yang lebih mikro pula, terlalu sukar untuk mengukur impak ekonomi terhadap segmen peniaga dan isirumah yang terjejas dengan penularan COVID19. Ini kerana tiada siapa yang boleh meramalkan tempoh masa ‘kitaran pandemik’ yang masih memuncak untuk memasuki fasa mendatar (flattening the curve), dan seterusnya fasa menurun dalam tempoh terdekat ini.

Lebih membimbangkan adalah kesan ekonomi yang terpaksa ditanggung oleh golongan rentan (vulnerables) dalam kalangan B40 dan M40 yang berdepan risiko kehilangan pendapatan, pemberhentian kerja, serta ketidakcukupan rawatan dan makanan yang boleh menjejaskan kehidupan seharian, seterusnya terdorong untuk terjebak dengan hutang.

Pastinya bantuan kewangan dalam bentuk tunai (cash assistance) dan penangguhan bayaran pinjaman (moratorium) adalah solusi jangka pendek yang perlu disegerakan bagi meringankan beban semua pihak yang terjejas, khususnya pesakit dan keluarga, majikan dan pekerja, serta petugas kesihatan (frontliners) yang terpaksa bekerja melebihi masa.

Justeru semua pihak perlu memberikan kerjasama untuk menjayakan misi utama, iaitu mengekang penularan wabak (contain the pandemic) dengan menghentikan jangkitan ke paras terendah, kerana ini sahaja yang dapat mengurangkan impak negatif COVID19 terhadap ekonomi rakyat dan negara.

- Syahir Sulaiman, pelajar ekonomi dan pengkaji politik
- 20 Mac 2020

(Penulisan Siri 1 menggariskan secara umum impak COVID19 terhadap ekonomi. Siri 2 akan mengulas langkah yang telah diambil kerajaan bagi merangsang ekonomi, manakala Siri 3 akan mengupas langkah yang boleh diambil untuk memulihkan ekonomi pasca-COVID19)
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget