NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dr M: Anwar ‘liberal’, orang Melayu tidak sokong


PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu tidak menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim kerana falsafah politik liberal yang dibawanya.

Dalam satu temu bual dengan akhbar Sinar Harian baru-baru ini, beliau berkata, orang Melayu belum bersedia menerima ideologi liberalisme kerana bimbang kedudukan mereka terancam.

“Ini kerana orang Melayu hanya tinggal kuasa politik hari ini,” katanya.

“Dulu sebelum ini Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) keluar parti (Umno) dan tubuh parti Semangat 46. Tetapi itu parti Melayu. Anwar keluar-keluar dia buat parti liberal. Dia nak dapat sokongan daripada DAP maka dia ajak DAP masuk, PAS masuk. Falsafah dia liberal,” katanya, merujuk kepada krisis politik pada 1998 yang menyaksikan Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan keluar Umno.

Ketika ditanya tentang pandangannya mengenai Anwar, Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau mempunyai masalah dengan ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Saya menghadapi masalah dengan Anwar. Saya mengaku. Semasa saya menjadi presiden Umno, Anwar tersingkir dan dia kena hukuman penjara.

“Bila kita nak lawan dan nak jatuhkan Najib (Razak), saya berpendapat bahawa antara Najib dengan Anwar, saya rasakan Najib lebih bahaya.

“Jadi saya sanggup rujuk kembali dengan Anwar, bahkan saya turut bekerjasama dengan DAP. Kalau tidak kita tidak boleh kalahkan Barisan Nasional (pada pilihan raya umum ke-14),” katanya.

Pada 24 Feb lepas Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri sekali gus menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa di peringkat persekutuan.

Ini mencetuskan krisis politik lebih seminggu sehinggalah presiden PPBM Muhyiddin Yassin dengan sokongan Barisan Nasional (BN), PAS, GPS dan beberapa ahli Parlimen lain dilantik sebagai perdana menteri ke-8 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmnad Shah pada 1 Mac.

Mengikut perjanjian dalam kalangan pemimpin PH sebelum pilihan raya Mei 2018, Mahathir akan menyerahkan kepimpinan kerajaan kepada Anwar pada satu tarikh yang tidak ditentukan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo