NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dipecat, bangun semula dan kini PM ke-8


AKHIRNYA selepas seminggu berteka-teki mengenai siapa calon Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengganti.



lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan diadakan pada hari ini jam 10.30 pagi di lstana Negara.

Pelantikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Perdana Menteri kelapan itu sekaligus menamatkan krisis politik negara selepas tumbangnya Pakatan Harapan yang menerajui negara lebih kurang 22 bulan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018 lalu.

Jika diimbau kembali perjalanan Ahli Parlimen Pagoh itu sebelum menerajui kepimpinan negara sebaris dengan nama-nama Perdana Menteri yang lain, laluan Muhyiddin bukanlah semudah yang dilihat pada hari ini.

Muhyiddin yang lahir pada 15 Mei 1947 memulakan karier politik pada tahun 1971 selepas dilantik sebagai Bendahari UMNO Muar-Pagoh dan seterusnya beliau diberi kepercayaan menjadi Ketua Pemuda UMNO Pagoh serta Setiausaha Pemuda UMNO Johor, tiga tahun kemudian.

Beliau yang mempunyai empat cahaya mata kemudiannya membuat langkah yang lebih besar dengan menjadi ahli Dewan Rakyat selepas memenangi kerusi Parlimen Pagoh sejak 1978. Seterusnya bermula 12 Ogos 1986 hingga 3 Mei 1995, Muhyiddin menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Johor ke-13 menggantikan Datuk Abdul Ajib Ahmad.

Muhyiddin seterusnya memenangi beberapa jawatan tertinggi dalam UMNO antaranya Ahli Majlis Tertinggi UMNO (1985), Naib Presiden UMNO (1993 dan 2000) dan Timbalan Presiden UMNO (2009).

Beliau juga pernah memegang beberapa portfolio menteri antaranya Menteri Belia dan Sukan; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Pelajaran.

Muhyiddin ketika zaman mudanya. Kredit: Al-Attas University of Life

Pada 10 April 2009, Muhyiddin dilantik menerajui barisan Kabinet negara sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kedudukannya itu dilihat sebagai selangkah sahaja lagi untuk menjadi pengganti kepada Najib yang pada ketika itu terpalit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International.

Dipecat

Namun pada tarikh keramat 24 Jun 2016, sosok diri yang dilihat sentiasa merendah diri dan sering meletakkan parti UMNO sebagai keutamaan dipecat daripada jawatan Timbalan Presiden parti atas kesalahan pelanggaran disiplin.

Pemecatan itu dibuat oleh UMNO selepas menilai Muhyiddin sepentas dengan pembangkang yang pada ketika itu menyerang pimpinan dan parti serta menuntut Najib melepaskan jawatan.

Tersingkirnya Muhyiddin pada ketika itu dilihat sebagai pengakhiran karier politik buat anak jati Johor itu, namun atas semangat menegakkan kebenaran, Muhyiddin bersama beberapa pemimpin lain yang menyokongnya terutamanya dari UMNO itu sendiri menubuhkan parti Bersatu pada 7 September 2016.

Mengambil kira kesukaran untuk menjatuhkan Barisan Nasional dalam PRU14, kepimpinan Bersatu membuat keputusan untuk bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Amanah di bawah satu gabungan dinamakan Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin (tengah) ketika menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan pada tahun 1998 sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel.
Muhyiddin (tengah) ketika menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan pada tahun 1998 sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel.
Ternyata gabungan tersebut membuahkan kejayaan di mana selepas 60 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah negara, parti itu runtuh ekoran tsunami rakyat pada PRU14.

Beliau kemudiannya mengepalai Pengerusi Pakatan Harapan Johor dan menempatkan diri dalam Kabinet PH selaku Menteri Dalam Negeri.

Setelah 22 bulan, selepas desakan daripada komponen PH yang mahukan Dr Mahathir membuat peralihan kuasa dengan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berlaku apa yang dipanggil Langkah Sheraton.

Rentetan itulah seminggu kisah ‘telenovela’ berkisarkan siapa bakal menerajui kerajaan dan siapa bakal Perdana Menteri kelapan dihidangkan kepada rakyat.

Namun akhirnya, rezeki bergelar Perdana Menteri memihak kepada Muhyiddin selepas mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/72036/KHAS/Peralihan-Kerajaan/Dipecat-bangun-semula-dan-kini-PM-ke-8

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo