#COVIDー19: Penangguhan Semua Aktiviti Keagamaan Di Masjid Dan Surau Serta Panduan Pengurusan Jenazah Mangsa Covid-19


KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

PENANGGUHAN SEMUA AKTIVITI KEAGAMAAN DI MASJID DAN SURAU SERTA PANDUAN PENGURUSAN JENAZAH MANGSA COVID-19

Setelah mendapat titah perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, maka saya mengumumkan bahawa:

Berdasarkan kepada taklimat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020 di Hotel Pulse Grande, Putrajaya, mesyuarat telah mengambil ketetapan berikut:

a. Semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan bermula 17- 26 Mac 2020. Jawatankuasa masjid dan surau disarankan untuk membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan mengelakkan jangkitan. Tempoh sepuluh (10) hari berkenaan adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

b. Sekiranya berlaku kematian akibat COVID-19, pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-107 yang bersidang pada 10-11 Februari 2015 mengenai hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) di Malaysia. Kelonggaran diberikan sekiranya ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah. Jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut.


c. Bagi pelaksanaan perihal (a) dan (b), Muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri.

Dengan titah perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, pelaksanaan perihal (a) dan (b) juga adalah terpakai di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Sekian.

SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)
16 MAC 2020

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post