NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Covid-19: Zakat Selangor agih RM15 juta bantu pihak terjejas perintah kawalan pergerakan


SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan khas sebanyak RM15 juta sebagai bantuan segera bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Ketua pegawai eksekutif LZS Saipolyazan M Yusof berkata, agihan itu bertujuan membantu golongan penjaja, peniaga kecil dan pekerja berpendapatan rendah yang terjejas sumber pendapatan akibat pelaksanaan perintah tersebut.


“Golongan yang terjejas boleh memohon bantuan ini bermula 25 Mac dengan menghubungi talian Zakat Selangor, iaitu 1 300 88 4343 (Isnin-Jumaat 10.00 pagi hingga 3.00 petang),” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata LZS akan mempercepat penyaluran bantuan kewangan bulanan pada 23 Mac berbanding tarikh biasa iaitu 25 Mac kepada asnaf sedia ada yang menerima agihan bulanan.

Katanya, peruntukan agihan khas itu akan turut disalurkan bagi menampung keperluan peralatan perubatan di hospital yang beroperasi menangani Covid-19.

Saipolyazan berkata, LZS juga akan menyalurkan bantuan makanan kepada penuntut Institut Pengajian Tinggi yang terputus bekalan melalui peruntukan agihan khas.

“LZS akan sentiasa melihat keperluan yang timbul dari semasa ke semasa bagi menyantuni semua pihak yang mengalami kesukaran sepanjang tempoh Covid-19,” katanya.

Isnin lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo