NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Covid-19: MAIWP lulus bantuan zakat tambahan


KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah meluluskan RM12.1 juta peruntukan zakat tambahan bagi menyantuni asnaf dan menampung keperluan perubatan susulan situasi wabak Covid-19 yang melanda negara kini.

Pengerusi MAIWP, Dato’ Sri Syed Hussien AlHabshee menyatakan selaras dengan seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri agar kebajikan asnaf sentiasa dipelihara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Berikutan itu, MAIWP telah meluluskan bantuan tambahan zakat khas kepada 24,196 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Setiap asnaf akan menerima RM500 dan penyaluran bantuan ini akan melibatkan perbelanjaan dana zakat keseluruhan sebanyak RM12.1 juta yang akan disalurkan awal April nanti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, MAIWP sebelum itu telah mempercepatkan penyaluran Bantuan Zakat Kewangan Bulanan bagi bulan Mac pada 19 hari bulan kepada bilangan penerima yang sama dengan perbelanjaan sebanyak RM9.67 juta.

Menerusi kenyataan itu, bantuan bulanan pada kebiasaanya disalurkan pada setiap 25 hari bulan.

Selain itu, katanya bagi menampung keperluan peralatan kesihatan dan perubatan di hospital ekoran Covid-19, MAIWP telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3.27 juta yang akan disalurkan kepada 7 buah hospital di Wilayah Persekutuan.

Bantuan yang diberikan berbentuk peralatan pernafasan seperti BIPAP Machine (ICU) bernilai RM80,000 setiap satu, ventilator ICU bernilai RM150,000/unit, home ventilator bernilai RM90,000/unit dan peralatan-peralatan lain yang bernilai antara RM5,000 hingga RM20,000 setiap satu.

“MAIWP dari semasa ke semasa akan sentiasa melihat keperluan yang timbul bagi menyantuni semua pihak yang mengalami kesukaran semasa tempoh Covid-19 ini selari dengan misi #musaadahCOVID19 oleh Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama).

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan. Dengan zakat yang dibayar, asnaf di Wilayah Persekutuan dapat disantuni sebaik mungkin terutamanya ketika berhadapan situasi Covid-19 ini,” katanya.- HARAKAHDAILY 21/3/2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo