NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Amerika Lancar Satelit Perang Nuklear & Angkasa


Oleh: Abdul Muein Abadi

1. Ketika seluruh dunia sibuk dengan wabak COVID-19, Amerika baru sahaja melancarkan satelit Advanced Extremely High Frequency keenam (AEHF-6) yang cukup kritikal untuk perang nuklear dan angkasa lepas pada jam 4.18 pagi tadi (waktu Malaysia).

2. Satelit AEHF-6 ini juga merupakan pelancaran pertama oleh US Space Force sejak ditubuhkan pada 2019. Pelancaran ini menandakan sempurnanya sistem satelit AEHF buatan Lockheed Martin – yang lain dilancarkan sejak 2010 – bukan sahaja kritikal untuk komunikasi Amerika dan sekutunya sewaktu Perang Nuklear, tetapi ia juga mampu bertahan (survive) dari impak serangan senjata nuklear (Info lanjut: https://www.lockheedmartin.com/en-us/products/aehf.html).

3. Untuk rekod, pelancaran satelit AEHF-6 ini hadir dalam tiga konteks: pertama, Amerika keluar daripada Perjanjian Intermediate-Range Nuclear Forces (INF) pada Ogos 2019; kedua, kekalahan Amerika kepada Rusia dalam perlumbaan mencipta peluru berpandu nuklear ‘hypersonic’ (apabila Rusia berjaya menguji Avangard pada Disember 2019); dan ketiga, apabila ‘Konfrontasi’ antara satelit Amerika dengan Rusia dilaporkan pada Februari 2020.

4. Pada 10 Februari 2020 buat pertama kali dalam sejarah ‘konfrontasi’ antara satelit Amerika dengan satelit Rusia di angkasa lepas telah dilaporkan portal terkemuka TIME dengan tajuk ‘Exclusive: Strange Russian Spacecraft Shadowing U.S. Spy Satellite, General Says’ (https://time.com/5779315/russian-spacecraft-spy-satellite-space-force/). ‘Konfrontasi’ itu terjadi apabila satelit Rusia yang dikenali sebagai Cosmos 2542 dan Cosmos 2543 yang dilancarkan sekali gus pada 25 November 2019 kemudiannya menghimpit satelit ketenteraan Amerika, USA 245 yang juga dikenali sebagai KH-11.

5. Menariknya, kedua-dua satelit Rusia itu dilancarkan dalam satu roket yang sama iaitu Soyuz-2.1v sebelum mereka berpisah menjadi dua satelit yang berasingan di angkasa lepas; bahkan gerakan tersebut menyamai gerakan sistem persenjataan, menurut Jeneral John "Jay" Raymond, Komander Angkatan Angkasa Lepas Amerika.

6. Hakikatnya, satelit KH-11 Amerika itu sendiri ialah satelit ketenteraan dengan kod nama Keyhole/CRYSTAL yang dioperasikan oleh National Reconnaissance Office (NRO) berfungsi untuk merisik kelengkapan ketenteraan asing.

7. Ternyata, perlumbaan senjata kini telah memasuki peringkat yang serius di angkasa lepas di mana menurut Jeneral Raymond, setakat ini tiada struktur diplomatik yang boleh menghalang ‘Mutually Assured Destruction’ (MAD) antara Amerika, Rusia, dan juga China.

8. Hakikatnya, Amerika juga giat membina sokongan dari negara-negara sekutu yang lain – meski pun hakikatnya Washington yang lebih mendominasi. Sebagai contoh, Sistem AEHF yang baru disempurnakan ini – sejak pelancaran AEHF-1 pada 2010 – melibatkan lima kuasa dunia iaitu Amerika, United Kingdom (UK), Australia, Kanada, dan Belanda.

9. Misi pelancaran satelit AEHF-6 ini ialah misi Keselamatan Nasional pertama Angkatan Tentera Angkasa Amerika Syarikat (US Space Force) sejak diwujudkan secara rasmi oleh Presiden Donald Trump pada 20 Disember 2019. Satelit ini dilancarkan oleh United Launch Alliance melalui roket Atlas V (https://www.ulalaunch.com/missions/atlas-v-aehf-6).

10. Secara jelas, Lockheed Martin menerangkan sistem satelit AEHF ini berfungsi ‘memberikan talian komunikasi yang kukuh kepada para pemimpin angkatan tentera senior di setiap peringkat konflik, termasuklah ketika perang nuklear’ (gives senior leadership a survivable line of communications to military forces in all levels of conflict, including nuclear war).

11. Satelit AEHF-6 ini melengkapkan keseluruhan sistem satelit AEHF yang menjadikannya sukar untuk ditembusi mahu pun diceroboh – paling kritikal daripada impak elektro-magnetik senjata nuklear: ‘The system features encryption, low probability of intercept and detection, jammer resistance and the ability to penetrate the electro-magnetic interference caused by nuclear weapons to route communications to users on land, at sea or in the air’.

12. Satelit ini juga memberikan lonjakan lima kali ganda dari segi kadar data, sekali gus memberi transmisi komunikasi taktikal ketenteraan yang jauh lebih baik seperti video masa sebenar, peta-peta pertempuran, serta data yang disasarkan: ‘Individual user data rates will be increased five-fold, permitting transmission of tactical military communications, such as real-time video, battlefield maps and targeting data. In addition to its tactical mission, AEHF assures the critical protected communications links for national leaders, such as the President and Joint Chiefs of Staff, in all levels of conflict’. Kemampuan ini menjadikan sistem satelit AEHF lebih berkuasa berbanding sistem satelit sebelumnya iaitu ‘Military Strategic and Tactical Relay’ (MILSTAR).

13. Konfigurasi lima kuasa AEHF ini adalah berbeza dengan lima negara yang menganggotai perjanjian perisikan Anglophone UKUSAA (United Kingdom-United States of America Agreement) yang digelar sebagai ‘Five Eyes’ atau FVEY. Belanda menyertai AEHF, tetapi tidak Five Eyes. New Zealand pula ialah anggota Five Eyes, tetapi tidak terlibat dengan AEHF ini.

14. Ternyata, persaingan untuk menguasai ruang angkasa lepas kini memasuki fasa baru dengan Amerika jelas bersedia dengan sistem satelit untuk perang nuklear – diiringi sokongan kuat empat sekutunya di penjuru dunia yang berbeza.

15. Jika Kanada berada di benua Amerika, UK dan Belanda pula di Eropah Barat manakala Australia di Indo-Pasifik.

16. Apa yang pasti, langkah Amerika melancarkan satelit kalis senjata nuklear ini selari dengan tindakannya yang keluar daripada Perjanjian Intermediate-Range Nuclear Force Treaty (INF) pada 2 Ogos 2019. Sebagai tindak balas, Rusia telah membangunkan dan berjaya menguji peluru berpandu Avangard ‘hypersonic glide vehicle’ (HGV) pada Disember 2019.

17. Kuasa ‘hypersonic’ Avangard Rusia ini bukan sahaja mampu mencapai kelajuan 27 kali ganda kelajuan bunyi serta bertahan pada suhu setinggi 2 ribu darjah Celsius, tetapi juga berupaya untuk mengubah haluan di atmosfera, menjadikannya hampir mustahil untuk dipintas.

18. Pastinya, Amerika cukup tidak selesa dengan kemenangan Rusia dalam perlumbaan menghasilkan senjata ‘hypersonic’ yang mampu mengirim peluru berpandu nuklear ke mana-mana kawasan di Amerika sedangkan hakikatnya Amerika yang terlebih dahulu keluar daripada perjanjian INF.

19. Maka, pelancaran satelit yang kalis impak senjata nuklear seperti AEHF ini cukup penting bagi Amerika – sama ada untuk mereka menguasai ruang angkasa mahu pun bagi menghadapi perang nuklear yang mereka sendiri seolah-olah tidak sabar untuk mulakan.


***Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber: https://www.facebook.com/muein.abadi/posts/10216061863208886

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo