NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Agong, Raja Permaisuri yang disayangi rakyat


KEMELUT politik yang melanda negara sepanjang minggu lalu ternyata menyerlahkan lagi kebijaksanaan dan sifat prihatin Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka bukan sahaja amat prihatin dalam hal ehwal pengurusan dan pentadbiran negara malah mengambil perhatian serius dalam soal kebajikan rakyat jelata.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang sinonim dengan sifat sopan, prihatin dan sangat mesra rakyat dilihat membawa naratif baharu dalam istilah ‘raja dan rakyat berpisah tiada’.

Di media sosial, kerap kali tular foto dan video Al-Sultan Abdullah mencemar duli membantu mangsa kemalangan jalan raya dan menziarahi rakyat, serta prihatin setiap kali musibah melanda.

Bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara, Seri Paduka sanggup meluangkan masa selama dua hari untuk menemu bual semua 222 ahli Parlimen bagi mendengar sendiri pandangan mereka dan menentukan pendirian politik bagi membentuk kerajaan baharu sebelum membuat sebarang keputusan.

Sepanjang tempoh itu juga, Seri Paduka turut prihatin dengan petugas media yang membuat liputan di Istana negara dengan menjamu mereka dengan makanan segera KFC dan McDonald's serta nasi berlauk ikan patin masak tempoyak yang dibawa khas dari Temerloh untuk jamuan tengah hari.

Lebih istimewa petugas media turut berpeluang merasai biskut hasil air tangan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keprihatian Seri Paduka menyebabkan banyak syarikat korporat turut memberikan sumbangan kepada media. Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Laksana kata pendeta, emas di dalam gelap tetap memancar sinarnya, begitulah keperibadian terpancar daripada budi pekerti Seri Paduka berdua.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/72150/Pojok/Agong-Raja-Permaisuri-yang-disayangi-rakyat

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo