NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usul Undi Percaya : Dato' Rashid Hasnon Lampaui Bidang Kuasa



Mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Standing Orders of the Dewan Rakyat), jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bukanlah satu jawatan yang berkuasa besar.

Ini kerana Perkara 7 (1) memperuntukkan bahawa tugas Timbalan Yang di-Pertua hanyalah untuk mengetuakan mesyuarat Majlis Dewan Rakyat sebagai pengerusi jika Yang di-Pertua tiada hadir.

Oleh itu, baik Dato' Mohd Rashid Hasnon ataupun Nga Kor Ming, tidak patut membelakangkan ketua mereka, Tan Sri Dato' Mohamad Ariff Md Yusof.

Sebaliknya itulah yang berlaku hari ini apabila Dato' Rashid Hasnon secara terbuka mengeluarkan kenyataan menolak usul undi percaya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang ingin dibawa oleh PAS.

Alasan yang digunakan oleh Dato' Rashid Hasnon, mengikut akhbar Berita Harian, ialah “usul yang ingin dibawa PAS itu tidak menyentuh kepentingan umum dan tidak perlu disegerakan”.

Selaku Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dato' Rashid Hasnon patut tahu ayat yang digunakan dalam Perkara 18 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Perkara 18 (2) menyebut “Tuan Yang di-Pertua hendaklah menolak permintaan (untuk mengemukakan usul) itu kecuali jika dia puas hati iaitu perkara itu ialah perkara tertentu, berkehendak disegerakan dan berkenaan kepentingan orang ramai.”

Langsung tidak disebut dalam Perkara 18 (2) mengenai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, tetapi yang disebut hanyalah mengenai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, menunjukkan ini adalah kuasa mutlak Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Perkara 18 (2) juga menyebut “Seseorang ahli hendaklah mengeluarkan pemberitahu bersurat yang tidak melebihi tiga ratus perkataan kepada Tuan Yang di-Pertua berkenaan dengan perkara yang hendak dirundingkannya itu iaitu sekurang-kurangnya dua puluh empat jam tidak termasuk hari kelepasan sebelum persidangan dimulakan”.

Sekarang ini pemberitahu bersurat yang dimaksudkan oleh Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ini belum pun diserahkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, bagaimana Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sudah boleh menolaknya?

Inilah bahananya bila Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah dipilih dari Ahli-ahli Parlimen kerana sebagai Ahli-ahli Parlimen yang mewakili parti tertentu, mereka pastilah memiliki kepentingan tertentu dan bersifat partisan dalam isu-isu tertentu.

Keputusan hanya boleh dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat setelah pemberitahu bersurat dikemukakan bersekali dengan penjelasan bertulis.

Dalam membuat keputusan ini Yang di-Pertua Dewan Rakyat sewajarnya mengambil kira duluan dalam usul-usul sama yang pernah dibuat pada 1976, 1997 dan 2003.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Sila kongsikan kenyataan ini & maklum balas anda :
https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3094708187205857/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo