NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usul Percayakan PM : Memperteguh Mandat Kepada Ketua Kerajaan

oleh:DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Saya menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa mana-mana perubahan yang dilakukan mengikut perlembagaan negara dan undang-undang negara adalah perubahan yang “sah” sekalipun ia dilakukan mengikut 'tingkap'.

Perlembagaan negara dan undang-undang negara mahupun negeri tidak menghalang perubahan kerajaan walaupun ia melibatkan perubahan keseluruhan kerajaan seperti yang bermula di Terengganu pada 1960 dan paling mutakhir berlaku di Perak pada 2009.

Malah, jika dilihat kepada pembentukan kerajaan Pakatan Harapan di Perak, Sabah dan Kedah selepas berakhirnya PRU 14 pun, ia boleh dikira sebagai penubuhan kerajaan yang dilakukan mengikut 'tingkap' kerana tiada pemenang muktamad di ketiga-tiga negeri ini.

(i) Di Sabah, kedudukannya adalah 29 kerusi WARISAN-Pakatan Harapan dan 29 kerusi Barisan Nasional sehinggalah ADUN Barisan Nasional menyeberang.

(ii) Di Perak, kedudukannya adalah 29 kerusi Pakatan Harapan, 26 kerusi Barisan Nasional dan 3 kerusi PAS sehinggalah ADUN Barisan Nasional menyeberang.

(iii) Di Kedah, kedudukannya adalah 18 kerusi Pakatan Harapan, 15 kerusi PAS dan 3 kerusi Barisan Nasional sehinggalah ADUN Barisan Nasional menyeberang.

Di dalam ketiga-tiga keadaan ini, tidak kedengaran pun pihak-pihak yang sekarang lantang menyelar usaha untuk kononnya mewujudkan Kerajaan Pusat melalui pintu belakang ini bersuara mengecam amalan mewujudkan Kerajaan Negeri melalui pintu belakang.

Jika perubahan kerajaan yang melibatkan pertukaran ketua kerajaan sekalipun adalah dibenarkan oleh perlembagaan negara dan undang-undang negara maka apatah lagi perubahan kerajaan yang sama sekali tidak melibatkan pertukaran ketua kerajaan.

Apa yang paling penting adalah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam melantik seorang Perdana Menteri di bawah perkara 40 (2) (a) perlembagaan negara yang wajib diakuri.

Selagi mana pada hemat Yang di-Pertuan Agong seorang Perdana Menteri mungkin masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat mengikut perkara 43 (2) (a) perlembagaan negara maka beliau akan kekal sebagai seorang Perdana Menteri.

Mengikut perkara 43 (5) perlembagaan negara, Perdana Menteri juga boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan pelantikan mana-mana Menteri dan menggantikan mereka dengan Menteri-Menteri lain mengikut perkara 43 (2) (b).

Inilah yang mahu dilakukan oleh PAS dalam sidang Parlimen yang bermula pada 9 Mac nanti, iaitu mengemukakan “Usul Percaya Terhadap Perdana Menteri" bagi memastikan bahawa Perdana Menteri masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Jangan sesekali dikatakan ini adalah perlakuan yang sia-sia, membazir masa atau tidak mengikut peraturan kerana ia amat penting bagi memastikan kestabilan negara dan selaras dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, khususnya perkara 18 (1).
Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus

Kongsikan kenyataan ini & maklum balas anda di :
https://www.facebook.com/drtakiri/posts/3089957911014218?__tn__=K-R

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo